Hari itu semuanya kembali cerah, dalam hati ini bagaikan riang menyanyi dan apa sahaja di pandangan mata semuanya cantik dan berseri. Tidak seperti hari-hari yang pernah ku lewati. Gelap dan sunyi. Terasa rendah diri dan jauh hati dengan sikap suami. Diri ini umpama tidak dihargai, diperlakukan sesuka hati. Tapi hari ini aku perlu berdiri sendiri, mengatur langkah lebih berani dan meninggalkan luka semalam sebagai satu mimpi ngeri… Cukuplah 5 tahun hati ini dilukai.
Selepas berkahwin, suami suruh sis berhenti kerja. Katanya cemburu sis melayan pesakit lelaki, lalu sis mengikut kata lelaki bernama suami kerana tidak mahu menjadi isteri derhaka dan tidak dicintai. Sis meninggalkan kerjaya sebagai seorang jururawat dan mulalah kehidupan sebagai seorang suri hati En. Suami yang berniaga sendiri.
Selepas setahun, berhenti kerja. Alhamdulillah, kehidupan di tambah seri apabila sis mengandung anak pertama, syukur rezeki yang telah Allah beri. Bahagia waktu itu tidak dapat digambarkan. Suami berjanji bulan dan bintang, mahu hidup semati. Pelbagai janji ditaburi. Setiap hari kami menyulam kasih sayang sepertinya dialah teman syurga ku abadi.
Setelah Danial dilahirkan, suasana rumah bertambah meriah, tiada sunyi yang ada gelak tawa dan suara jeritan baby. Sis bahagia, belum lagi meroyan. Namun, selepas setahun suasana mendung mula hadir di muka bumi sis berlindung. Sis hanya duduk di rumah jaga anak. Duit tak ada. Laki beri cukup-cukup makan, katanya perniagaan tidak semeriah lagi. Tak ada lebih langsung untuk beli baju baru, alat solek atau keluar jalan-jalan. Duduk rumah jaga anak, tapi paling best laki pulak sesuka hati keluar dengan kawan-kawan, balik kerja lewat dan tidak lagi bertanya khabar sis dan anak seperti sebelum ini. Sis terus bersabar.
Sis perasan juga fizikal tubuh ini tidak lagi langsing cantik seperti yang laki puja dahulu. Emm… mungkin laki berubah bila sis jadi gemuk, bukan sengaja, stres di rumah sis duduk, masak dan makan sehingga lupa jaga diri. Ada terfikir nak keluar joging tak ada orang nak jaga anak, nak beli ubat kurus, jamu duit tak ada, nak melawa pun duit tak ada. Saat itulah juga suami mula menunjukkan sisi dirinya yang berbeza. Mula bercakap kasar dan ada ketikanya menghina sis macam lembu. Itu tidak apa lagi, ditendang, tampar dan di maki bila ada yang tidak puas hati. Ada sahaja perkara yang sis buat tidak kena pada matanya. Sis sabar lagi… Walaupun kadang berbulan-bulan sis tak disentuh.
Sis ni nekad nak goda semula laki, so, sis belajar menjahit dekat rumah kawan. Konon-konon belajar nak buat baju baru yang seksi sikit sebab sis dah mula diet kurangkan makan nasi. Laki sikit pun tak hairan, katanya jangan haraplah nak cantik kembali kalau dah begitu acuan barunya. Dalam duduk usaha nak pikat hati laki, tiba-tiba laki kantoi rupanya sis dapat tahu laki menikah sorang lagi dekat Golok. Aduh! Sedih tak terkata, terasa begitu hina, sudahlah nafkah tidak diberi, laki pun bukan kaya sangat lagi tapi boleh kahwin lagi satu. Katanya, laki kahwin anak dara, cantik dan bergaya… Nak bergaduh tidak guna lagi, malas nak biar diri ini lebam sana sini. Apa pun, sis sabar lagi….
Sis reda demi anak. Cuba sedaya upaya selamatkan perkahwinan walau pun lepas, laki dah jarang balik rumah. Paling teruk bila madu dapat anak seorang, nafkah tak diberikan terus. Balik rumah, laki akan bandingkan dengan madu yang cantik, pandai jaga badan, pandai segala serbi… Akhirnya sis mengambil keputusan minta dilepaskan. Sis hilang sabar…
Tak guna sis menunggu lagi. Hidup bersama seumpama sis sendiri, jadi biarlah sis bawa diri, berdiri atas kaki sendiri. Sis minta cerai… Suka dan puas la hati laki, lepas ni tak perlu tidur dengan lembu. Laki pun dengan bangganya, ceraikan sis. Tiada setitik pun air mata sis gugur. Laki sempat cakap, “Aku nak tengok sejauh mana kau boleh hidup tanpa aku… kalau nak datang rujuk balik, jangan harap aku akan terima!”
Selepas tamat tempoh idah, sis pun angkat kaki pulang ke rumah mak. Dari situ sis mulakan hidup baru. Jahit baju, pergi kursus MARA sampai sis boleh buka kedai sendiri. Lama sangat sis jadi bodoh, sedangkan sis bukanlah tidak berilmu. Sis terus jalani hidup dengan Danial dengan bahagia. Sis dah kembali jadi Miss Body Beautiful, wajah pun semakin cantik gebu macam Sajat. Alhamdulilllah saham pun semakin naik. Tapi sis belum terbuka pintu hati lagi nak terima laki lain dalam hidup sis. Takut-takut peristiwa dulu terjadi lagi.
Yang penting… bekas laki setiap hari datang melawat sis dan ambil berat tentang anak. Emmm… bagi sis alhamdulillah bila seorang bapa datang dan bagi kasih sayang kepada anak. Untuk minta rujuk kembali, tak akan mahu sis terimanya lagi. Buatlah apa sahaja… Hantar bunga berjambak ke… Kirim teks whatsapp dengan rangkaian kata manis ke.. Semuanya itu tidak jalan. Ada sis kisah! Memang ramai yang nampak sis kejam tidak melayan atau memberi peluang kepada bekas laki, sis tidak peduli. Tak payah la kembali cuba nak belai manusia yang pernah kau kata lembu ni dulu!
Ada juga suara negatif berkata pada sis, ’Dulu ada laki tak pandai jaga! Bila laki dah lari baru nak bergaya. Tapi orang tak tau, kita jadi mayat hidup sebab ada laki tak guna. Bila bini dah lari bentuk sikit mulalah gatal cari bunga lain yang kononnya lebih berseri. Jadi ada baik hidup sendiri, ada duit sendiri tak harapkan laki.
Apa pun sis bersyukur pada Allah dengan perjalanan yang telah diberi. Ini adalah dugaan hidup untuk sis memperbaiki kehidupan lebih baik. Sis pun tidak mahu berdendam atau marah-marah bekas laki sis lama-lama, cuma berhentilah untuk memujuk sis kembali hidup bersama. Sis doakan yang terbaiknya. Sis pun malas nak bertanya tentang apa terjadi dengan isterinya yang cantik bergaya itu.
Yang sis tahu ingin fokus dengan kehidupan sekarang, terus berjaya dalam perniagaan dan membesarkan Danial dengan cukup ilmu dunia serta akhirat. InsyaAllah, kalau terbuka pintu hati sis untuk terima jodoh baru, sis terima suatu hari nanti. Tidaklah sis terus menutup pintu hati ini untuk terima orang lain, sis pun masih muda dan semakin cantik sekarang! KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI