Sekalung tahniah buat Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut atas kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dengan Kepujian baru-baru ini. Meskipun sibuk dengan tugas sebagai duta produk, influencer dan karier dakwah namun anak kelahiran Selangor ini tetap komited menyambung pengajian.
Farhatul atau mesra disapa Farha berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Johan qariah tersebut diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-52.
Dalam temu bual bersama Nona, Farha menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada insan tersayang atas kejayaan yang dicapai hari ini.
“Alhamdulillah bersyukur dan berterima kasih kepada ibu, Hajah Jaliah Haji Simin dan arwah ayah, Allahyarham Haji Panut Markum yang telah banyak mendoakan saya sehingga berjaya. Tak dilupakan, guru-guru, pensyarah dan keluarga.
Perasaan saya bercampur-baur, gembira, terharu dan dalam masa sama sebak sebab di sebalik kejayaan saya capai ini ada cabarannya. Alhamdulillah akhirnya saya dah berjaya melepasi semua.”
Tambah Farha lagi, “InshaAllah ada niat nak sambung master, doakan yang terbaik. Memang rancang nak sambung dan selain belajar, sekarang saya dah masuk bidang pelancongan juga dan menjadi Pengarah Bimbingan Agama Vacasia Tours and Travels Sdn Bhd.
Semoga bisnes yang saya pegang ini berjaya dan saya juga ada impian buat kelas Al-Quran untuk memberi manfaat kepada masyarakat.”
Oktober lepas, Farha memperoleh tauliah untuk mengajar Agama Islam dan berceramah dalam bidang Al-Quran bagi kategori kanak-kanak dan dewasa dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Meniti usia 24 tahun dia mewakili suara anak muda berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Farha yang juga merupakan Ikon Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan berperanan menyalurkan bantuan kepada masyarakat memerlukan di seluruh dunia di samping menjayakan misi kemanusiaan.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat buat Farha untuk menyampaikan ilmu Al-Quran dan suntikan inspirasi kepada golongan wanita untuk mengejar impian.
Berkat Kerja Keras, AISYAH HIJANAH Bersyukur Miliki Kereta Idaman Porsche Carrera 911 4S Cabriolet Bernilai Hampir RM1 Juta!!
Personaliti media sosial, pempengaruh, pendakwah Aisyah Hijanah sememangnya diketahui seorang wanita Muslimah yang kuat bekerja. Hasilnya, dia pernah dianugerahkan Certificate of Excellence menerusi kategori Young Entrepreneur In Islamic Bussiness di SEBA Awards serta Islamic Fashion Award.
Aisyah yang juga seorang usahawan dan pengasas kepada butik dan jenama Hijanah serta Hijanah Books ini juga seorang yang berpendidikan malah cukup pandai membawa diri.
Dan baru-baru ini, Aisyah yang juga ibu kepada dua orang cahaya mata bernama Khadeeja dan Hassan Syarif berkongsikan satu hantaran di mana dia bergambar di hadapan sebuah kereta mewah, dipercayai kereta idamannya Porche Carrera 911 4S Cabriolet berwarna hitam yang dibelinya. Menurut sumber, Aisyah berkongsikan kegembiraaanya apabila berjaya memiliki kereta idamannya itu yang dikhabarkan bernilai RM 1 Juta.
Aisyah juga turut menyatakan dia sudah lama memasang impian memiliki kereta mewah berkenaan sejak kecil. Malah, wanita berusia 24 tahun itu mendedahkan dia sentiasa mendoakan agar impiannya untuk memiliki kereta idaman termakbul suatu hari nanti.
“Alhamdulillah al kulli hal, haza min fadhli Rabbi. Dari kecil suka tengok kereta ini. Selalu doa “Semoga suatu hari nanti Aisyah ada kereta ini,” tulisnya di ruangan hantaran tersebut.
Sementara itu, pemilik nama Aisyah Hijanah Azhari yang juga memiliki pendidikan Sarjana dalam bidang Psikologi dari UKM ini meluahkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan kepada dia dan suami, Aliff Teega. “Alhamdulillah, semoga segala nikmat hanya menjadikan Aisyah dan Aliff sentiasa merendah diri, lebih bersyukur dan tidak lupa diri.
Aisyah yang juga pengasas kepada pertubuhan bukan kerajaan Muslimah Care yang diasaskan untuk membantu golongan yang ditimpa kesusahan terutama kaum wanita ini turut juga merakamkan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya dari dulu sehinggalah ke hari ini.
Tahniah NONA ucapkan kepada Aisyah, semoga kejayaannya ini menjadi inspirasi buat para wanita di luar sana.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Hampir Diisytiharkan Muflis, CHEZ HAMDAN Bangkit & Kini Lebih Sukses Dengan ChezKamya Professional
Hampir diisytiharkan muflis dek pandemik COVID-19, rupanya terselit hikmah tersembunyi buat Halimi atau Chez Hamdan untuk bangkit dan seterusnya mencabar keupayaan diri. Berbekalkan bakat yang dimiliki, beliau kini menjadi pilihan utama para selebriti dan VIP dalam perihal dandanan rambut menerusi salun serta produk rambutnya, ChezKamya Professional.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Dengan 18 tahun pengalaman menata rias rambut, Chez Hamdan membuktikan tiada apa yang mustahil. Bersama kemahiran dan ilmu dalam genggaman, beliau mencipta nama sebagai pendandan rambut profesional sekaligus membina empayarnya sendiri sehingga dikenali seperti kini.
“Awal dahulu, saya sekadar cuba-cuba saja menggunting rambut adik. Entah bagaimana, kepuasan itu timbul apabila ramai memuji tambahan lagi banyak permintaan dari rakan-rakan sekolah membuatkan saya tak menang tangan,” singkap bapa kepada dua orang cahaya mata ini.
Tatkala dirinya masih tercari-cari hala tuju karier diidamkan, Chez Hamdan menyambung pengajian dalam jurusan perakaunan di sebuah universiti tempatan. Angkara kurang minat dalam bidang akaun membuatkan anak kelahiran Jerantut, Pahang itu mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam kursus penggayaan rambut di sebuah akademi di Kuala Lumpur.
“Waktu itu saya sedar saya dah menghampakan harapan kedua ibu bapa saya walaupun sudah punya income sendiri hasil memotong rambut kawan-kawan di kolej. Saya percaya bakat hairdressing saya ini boleh menjana pendapatan lumayan.”
Mengulas tentang skop tugas sebagai penggaya rambut, anak kedua daripada lima beradik itu berkata mendandan rambut nyata memberikan kepuasan tersendiri serta tanggungjawabnya adalah memberi konsultasi kepada pelanggan mengenai imej yang sesuai dengan bentuk muka, tekstur dan gaya rambut.
“Sepertimana bidang-bidang lain, bergelar penggaya rambut juga menjanjikan masa hadapan yang cerah sekiranya kita betul-betul berusaha, asalkan anda punya minat dan sentiasa fokus dalam memberikan yang terbaik,” ujar Chez yang cukup berpegang kepada prinsip jangan pernah berputus asa.
Walaupun terpaksa bergelut dalam industri untuk mencipta nama, apatah lagi bidang penggayaan rambut yang lazimnya dipelopori kaum Cina, Chez Hamdan mengakui perjalanannya tidak mudah apabila berhadapan liku-liku perniagaan.
Bermula daripada seorang shampoo boy kepada junior hairstylist, beliau kemudian membuka salun rambutnya sendiri di Setapak pada 2010, namun malang sekali operasi perniagaan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19 yang menimpa negara. Lantas, Chez terpaksa memikirkan jalan keluar lain bagi menyara kehidupan dengan menjual produk rambut orang lain secara atas talian.
“Pada waktu itu, saya terduduk malah bergelut untuk mencari jalan keluar. Mati akal dan turut diserang anxiety. Nak run business pun sudah tidak mampu lagi akibat lockdown dan sebagainya. Namun alhamdulillah berkat sokongan isteri, anak-anak dan keluarga, saya kembali bangkit untuk mengeluarkan produk sendiri hasil daripada pengalaman saya dalam bidang kecantikan rambut.”
Mengakui melihat apa yang terjadi tertulis hikmah yang tersembunyi, ternyata wabak yang melanda seluruh negara ini mengubah perspektif pendandan rambut berusia 37 tahun ini. Jika sebelum ini, Chez hanya bergantung kepada tangannya dalam membentuk dan menggayakan rambut, kini Chez mula tampil lebih berkeyakinan bergelar seorang usahawan dalam mengemudi perniagaan salun serta produk rambutnya, Chezkamya Professional.
Usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil. Selepas sebulan pertama produknya dijual, ia mencapai sasaran ditetapkan meskipun ketika itu negara berada dalam fasa awal pandemik. Melihat produknya semakin laris, Chez menubuhkan syarikat Chez Profesional Sdn Bhd pada November 2020 yang berpangkalan di Taman Melawati Kuala Lumpur dan mengambil sembilan orang pekerja.
“Jika tidak kerana pandemik, mungkin saya masih terus berada di zon yang selesa dan hanya menguruskan operasi sebuah salun walaupun saya sedar perniagaan tersebut hanya menunggu masa bagai telur di hujung tanduk.
Bahkan wabak ini juga mengajar saya untuk mengambil risiko serta berfikir di luar kotak, sekaligus membiasakan diri dengan operasi jual beli dalam talian. Norma baharu ini jelas mengubah attitude dan cerminan diri saya dari seorang yang pemalu kepada seorang yang berani mengambil risiko dan sentiasa bersedia mendapani cabaran,” ujar suami kepada Sharifah Haziah Akmar ini.
Dengan terlahirnya kerjasama bersama bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli ia kembali membakar semangat untuknya bagi meneruskan kecintaannya dalam bidang penggayaan rambut. Lalu, wujudlah perkongsian pintar atau ‘smart partnership’ di antara dua usahawan bumiputera berkenaan menerusi kehadiran salun pelbagai tarikan yang dikenali sebagai ChezKamya Professional. Jadi apa istimewanya salun ini berbanding salun lain di luar sana.
“Bukan sekadar sebuah salun rambut biasa, salun ini merupakan sebuah pusat sehenti yang turut menitik beratkan kecantikan dan kesihatan rambut baik dari segi produk mahupun perkhidmatan yang disediakan. Di salun yang berkeluasan 3,600 kaki persegi, kami menawarkan perkhidmatan yang profesional dengan hasil yang pasti memuaskan serta dilengkapi 15 tempat duduk yang selesa,” jelas Chez yang memasang impian besar untuk membuka salun rambutnya di luar pasaran Malaysia seperti Indonesia bagi mengukuhkan lagi jenama tersebut di persada dunia.
Menyajikan perkhidmatan terkini, jenama ChezKamya kini dilihat cukup dikenali sebagai trendsetter terutamanya dalam soal kepakaran mewarna rambut serta potongan unik sehingga menjadi pilihan VVIP dan selebriti tempatan.
“Di ChezKamya, perkhidmatan di salun ini sentiasa ditambahbaik dengan memperkenalkan pasukan barber berpengalaman untuk menarik lebih ramai pelanggan lelaki serta segmen kecantikan, manicure dan pedicure buat golongan wanita. Dengan kadar dikenakan sangat berpatutan pelanggan sendiri dijamin dapat merasai servis taraf kayangan apabila berkunjung ke salun ChezKamya,” katanya.
Apatah lagi dengan kewujudan rangkaian produk penjagaan rambut merangkumi penjagaan kulit kepala syampu, keratin mask, penyembur keratin, serum dan tonik yang diperbuat dari bahan-bahan bermutu tinggi seperti Tricogen, Biotin dan Zpt, menerusi tagline ‘Your Home Your Saloon’, produk hebat ini nyata berkualiti sama seperti di salun, bebas silikon, diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga berpatutan.
“Setiap satu produk kami turut memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan produk (R&D). Di Chezkamya, kami sentiasa mahu berevolusi serta menambah baik mutu produk agar lebih premium dan semestinya berkesan untuk setiap jenis rambut. Yang pasti, kami mahu mencipta fenomena. Doakan kami,” akhiri Chez Hamdan.
Lakar Sejarah Buat Malaysia! DR ISKANDAR IDRIS Profesor Diabetes Pertama Universiti Nottingham UK
Perlantikan sebagai Profesor Perubatan Diabetes dan Metabolik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Nottingham, United Kingdom bukan sahaja kemuncak kejayaan peribadi Prof Dr Iskandar Idris malah melakar sejarah buat Malaysia.
Ini membuktikan anak Malaysia mampu bersaing di universiti bertaraf antarabangsa dan menjadi pendorong serta sumber inspirasi kepada rakyat negara ini khususnya golongan muda.
Tidak menyangka akan dipilih menyandang jawatan tersebut pada Januari 2022, Dr Iskandar, 52, menyifatkan pencapaian itu berkat usaha dan penat lelahnya selama ini sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi buat dirinya di persada antarabangsa.
Universiti Nottingham tersenarai dalam Kumpulan Russell yang terdiri daripada 24 universiti penyelidikan awam berprestij di United Kingdom dan ditubuhkan pada tahun 1798, kemudian menjadi kolej Universiti pada tahun 1881.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati memandangkan Universiti Nottingham sangat kompetitif. Bukan satu laluan mudah untuk seseorang itu dilantik menyandang jawatan ini. Saya juga turut menjalankan penyelidikan dalam rawatan baharu untuk penghidap diabetes,” katanya.
Menurut Dr Iskandar, beliau meluangkan 50 peratus daripada masanya untuk memberi perhatian kepada kajian dan penyelidikan manakala sebahagian lagi dihabiskan dengan melakukan rutin klinikal.
Selain persaingan sengit, beliau turut diuji dengan pelbagai cabaran dalam proses menjalankan penyelidikan serta kajian di perantauan.
Menurut anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini, kekangan kewangan, masalah mendapatkan dana, beban tugas selain pada masa sama terikat dengan tanggungjawab pekerjaan hakiki antara isu yang harus ditangani secara bijak.
Ditanya mengenai pemilihan bidang diabetes untuk diterokai berbanding bidang lain, Dr Iskandar menjelaskan penyakit itu dilihat semakin meningkat dan mengancam masyarakat di negara ini.
“Faktor kedua ialah pengkhususan dalam diabetes turut membabitkan endokrinologi iaitu kajian tentang kelenjar endokrin dan rembesan hormon, jadi bidang ini turut membabitkan banyak penyakit lain.
“Misalnya diabetes turut mencakupi aspek kesihatan mata, buah pinggang, jantung, kaki selain melibatkan pelbagai golongan pesakit kanak-kanak, wanita hamil selain kami turut melakukan praktis perubatan am,” jelasnya.
GIAT JALAN PENYELIDIKAN
Mendapat sokongan padu daripada bapanya, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Idris Abdul Rauf, beliau menyatakan isterinya, Hayley Hobbs Iskandar serta tiga anak mereka Zakary (17), Luq (14) dan Erica (12) turut menjadi tulang belakang utama.
“Bapa saya insan paling banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk saya terus berjaya dalam bidang yang diceburi. Beliau amat menyokong anak-anaknya untuk terus belajar dan mendalami ilmu.
“Isteri sangat memahami minat dan kerjaya saya memandangkan beliau juga dalam dunia perubatan,” katanya.
Isteri Dr Iskandar merupakan tenaga pengajar di Universiti Nottingham dan jururawat di Jabatan Kardiologi.
Berkongsi perjalanan kehidupannya, Dr Iskandar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, sebelum bersekolah menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
“Pada tahun 1988, saya melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham dalam jurusan perubatan. Pada tahun 1994 saya menamatkan pengajian dan bergelar doktor.
“Selain itu saya turut menjalankan penyelidikan Eksperimen Farmakologi Kebolehtelapan Endothelial dan Rintangan Insulin ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Nottingham, United Kingdom dari tahun 2000 hingga 2002,” katanya.
Dr Iskandar menjalani latihan perubatan am di Birmingham dan menamatkan latihan kepakaran dalam bidang Diabetes, Endokrinologi dan Perubatan Am pada tahun 2004.
Beliau juga Pakar Perunding Kehormat di Hospital Pengajar Derby, pakar perubatan utama Institut Bariatrik dan Metabolik East Midlands, England di Hospital Pengajar Derby selain menganggotai Persatuan Pakar Perubatan Pengkhususan dalam Obesiti UK (APSO-UK).
Kini, beliau giat meneruskan penyelidikan dalam bidang terapeutik dan pemakanan dalam aspek obesiti, metabolisme otot dan komplikasi vaskular diabetes.
Dr Iskandar turut berperanan sebagai Pengetua Penyiasat Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) Pusat Penyelidikan Arthritis United Kingdom untuk Kumpulan Penyelidikan Penuaan Muskuloskeletal dan Perubatan Vaskular.
Di samping hasil kajian dan penyelidikannya diterbitkan secara meluas dalam bidang diabetes, obesiti dan farmakologi, beliau turut aktif menyampaikan syarahan dalam aspek klinikal dan penyelidikan di dalam dan luar negara.
Menyentuh mengenai diabetes di Malaysia, Dr Iskandar berpendapat rakyat negara ini memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap penyakit tidak berjangkit itu.
Namun katanya, kekangan kos perubatan yang tinggi terutama bagi membiayai kos rawatan baharu memberikan sedikit kesulitan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik.
“Diabetes berlaku di mana-mana sahaja sama ada di England atau Malaysia, sehingga memaksa (sektor) penjagaan kesihatan bekerja keras dalam merawat pesakit diabetes terutama yang berisiko tinggi,” jelasnya.
Dr Iskandar menambah, faktor genetik termasuk trend tertentu melibatkan etnik berbeza seperti Melayu, Cina serta India, diet harian, gaya hidup dan kurang bersenam adalah antara penyebab kepada diabetes.
“Masyarakat perlu melakukan langkah pencegahan dengan menjalani gaya hidup sihat selain mengawal pengambilan makanan yang mengandungi lemak dan karbohidrat mengikut keperluan tubuh.
“Paling penting, pesakit melakukan rutin pemeriksaan seperti mata, buah pinggang dan jantung sebagai langkah berjaga-jaga dalam berdepan risiko komplikasi penyakit yang berkait rapat dengan diabetes,” katanya.
Sumber: Bernama