“Terima Kasih Rakyat Malaysia” 3 Bulan Berjuang Sebagai FRONTLINER, Doktor Wanita Ini Luah Rasa Sebak

Sepanjang 3 bulan berjuang mengekang penularan wabak COVID-19, seluruh rakyat Malaysia menjadi saksi pengorbanan para petugas barisan hadapan. Kita umpama sebuah keluarga besar yang cekal dan sabar mengharungi saat sukar ini bersama-sama.

Sehinggalah 10 Jun 2020 telah menjadi detik ‘keramat’ yang dinanti-nanti oleh semua apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula. Kes baharu kian menurun, lebih banyak kelonggaran diberikan oleh kerajaan.

Salah seorang petugas barisan hadapan, Dr Nurul Huda Mohd Zainol atau Dr Huda pernah berkongsi pengalaman meruntun jiwa ketika menjaga pesakit COVID-19 di awal penularan wabak ini (baca artikel sebelumnya, KLIK SINI).

Dua hari lalu, Dr Huda kembali berkongsi coretan ringkas di akaun Facebook miliknya, Huda Ninol II. Walaupun tempoh 3 bulan itu sangat menduga namun jauh di sudut hatinya berasa sebak ketika terkenangkan memori suka duka sepanjang berada di wad pesakit COVID-19.

SEBAK
“When this over, you surely will be missing all those good memories in fighting COVID-19 with nation. Sejarah terlakar. Sekarang ada satu cerita lagi untuk anak cucu selain cerita darurat di Mesir.

Berjuang selama 3 bulan, Perdana Menteri mengumumkan kini masuk fasa pemulihan. Sedikit sebanyak rasa sebak di hati. Jumlah pesakit juga makin berkurang.

Aktiviti harian rakyat berjalan semula. Tipulah kalau kata kami tidak takut kalau ada kenaikan kes. Tetapi kami tetap akan sedia membantu. Kerana itulah janji kami dari sekolah perubatan lagi.

Antara momen-momen di wad pediatrik.

Terima kasih warga Malaysia dan seisinya. Sesungguhnya tempoh PKP adalah sangat mencabar. Begitu ramai dihentikan kerja, hilang punca pendapatan dan banyak lagi. Tetapi ketahuilah keadaan Malaysia hari ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama semua.

BANGGA BERGELAR DOKTOR
Hari pertama bila tahu kena join team COVID-19, minta Mak potongkan rambut sependeknya. Sungguh, itulah pertama kali aku berambut pendek sebab hendak mudah pakai PPE. Pakar dan juga ahli perubatan lain turut memotong rambut. Demi perjuangan baru ini!

Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan bergelar seorang doktor. Doakan semua kakitangan kesihatan yang ada di sini mendapat kebaikan dalam kerjaya. Moga Allah SWT merahmati semua jasa doktor yang memerah keringat siang dan malam menjaga pesakit.

Detik ketika Dr Huda berpindah dari Pulau Pinang ke Selangor dalam masa singkat demi tugas.

Kepuasan itu yang menyebabkan ada daya dalam kehidupan ini. PadaNya ku bersujud menjadikan hati ini ikhlas seikhlasnya bekerja.”

Dua insan tersayang yang dirindui oleh Dr Huda.

Terima kasih dan tahniah buat para petugas barisan hadapan atas komitmen yang diberikan demi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala jasa dan pengorbanan mereka.

Apa pun kita terus budayakan kehidupan baharu dalam kehidupan seharian seperti menjaga kebersihan dan penjarakan sosial dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Semoga wabak ini beransur hilang seterusnya kita dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala. Tanggungjawab mengawal penularan wabak COVID-19 kini terletak di bahu kita semua.

Kredit: Facebook Huda Ninol II

 

 

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad