“Terima Kasih & Selamat Hari Raya”, SULTAN SELANGOR Titah Perutusan Istimewa Buat Frontliners!

Hanya tinggal dua hari sahaja lagi tibanya lebaran. Jika tahun-tahun sebelum ini bahang Aidilfitri sudah mula dirasai dengan meriah, berbeza pula suasananya tahun ini. Apatah lagi dengan keadaan negara yang masih ‘berperang’ dengan virus Covid-19.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah perutusan istimewa, khusus buat petugas-petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Selangor Royal Official di laman media sosial, DYMM Sultan Selangor bertitah, “Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada petugas-petugas di barisan hadapan (frontliners

) khususnya kepada para doktor, jururawat dan kakitangan hospital.

Beta amat menghargai pengorbanan yang dilakukan khususnya dalam mendepani risiko merawat kes-kes jangkitan wabak berbahaya Covid-19 yang masih menular. Beta berdua
sentiasa mendoakan agar anda semua terus dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk berkhidmat demi negara. Terima kasih dan Selamat Hari Raya.”

Sehari sebelum perutusan istimewa ini, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya
Aidilfitri kepada rakyat beragama Islam di Selangor dan seluruh negara.

“Sempena bulan yang mulia ini, suka Beta ingatkan agar sekalian rakyat memperbanyakkan ibadat serta menjauhi perbuatan tidak baik yang boleh mendatangkan dosa seperti menyebarkan fitnah dan berita palsu yang boleh memberi kesan yang tidak elok kepada masyarakat.

Di kesempatan ini juga Beta ingin menyeru orang Melayu agar terus bersatu-padu, usah bertelagah dan jangan mengadu domba antara satu sama lain demi mengelakkan perpecahan. Apatah lagi Aidilfitri kali ini kita sambut dalam suasana yang amat berbeza di ketika umat Islam seluruh dunia kini diduga dengan penularan wabak berbahaya Covid-19.
Apa yang penting, rakyat mesti bersatu bagi memastikan wabak ini dapat dikawal dan ekonomi negara terus kukuh.

Ketika sambutan hari raya tahun lalu

Beta ingin mengingatkan agar budaya dan amalan-amalan biasa ketika menyambut Hari Raya selama ini harus kita ubahsuai buat sementara waktu, mengikut norma-norma baharu. Amalan seperti kunjung-mengunjung dan salam-bersalaman tidak sesuai diamalkan buat masa ini bagi mengelak risiko penularan wabak yang masih ada di luar sana.

Budaya balik ke kampung khususnya yang memerlukan perjalanan merentas negeri juga haruslah dielakkan. Jangan berkumpul atau anjurkan majlis rumah terbuka yang hanya akan memungkinkan wujudnya kluster-kluster baharu jangkitan. Meskipun statistik jangkitan kes baharu Covid-19 di Selangor semakin menunjukkan penurunan, namun kita harus terus waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Beta sentiasa berdoa agar Negeri Selangor yang kita kasihi ini dan rakyatnya terus dipelihara Allah Subhanahu Wata’ala sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, harmoni serta dijauhi dari malapetaka, bencana dan segala musibah yang tidak kita ingini. Selamat Hari Raya Aidilfitri.”

 

Sumber: Selangor Royal Official

IKLAN
Share