Tanggal 24.12.22 menjadi saksi pelakon Reen RahimĀ selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, pada majlis yang berlangsung di Bora Ombak Marina, Putrajaya.
Aktres berumur 34 tahun itu dinikahkanĀ sendiri oleh ayah pengantin perempuan, Abdul Rahim Abdul Kadir, di hadapan Pendaftar Nikah Putrajaya iaitu Hafizan Ibrahim pada pukul 9.05 malam dengan mas kahwin RM1,988 beserta sedulang barang kemas.
Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki. Pasangan sama cantik sama padan itu memakai busana serba putih pada hari penuh bermakna ini.
Majlis akad nikah itu dihadiri oleh kira-kira 400 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan media.
Sebelum ini, Reen meluahkan rasa syukur kerana mendapat tajaan sebanyak RM15 juta dengan mengadakan tiga majlis iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi. Terdahulu, Reen melangsungkan majlis pertunangan dengan jejaka berusia 28 tahun itu pada Ogos lalu namun bertindak untuk merahsiakannya atas permintaan keluarga.
Menurut Reen, kisah cinta bersama suaminya itu bermula pada dua tahun lepas.
“Jujurnya, di awal perkenalan, saya yang suka pada dia. Namun dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi untuk membalas perasaan saya. Jadi, saya pendam sendiri perasaan ini selama dua tahun perkenalan sehinggalah kami pulang dari mengerjakan umrah bersama-sama,” ujar pelakon cantik ini.
Reen dan pasangan mula membina cinta selepas pulang dari umrah apabila hati kedua-duanya terbuka untuk membawa hubungan persabahatan yang sudah terjalin selama dua tahun ke fasa yang lebih serius.
Pada majlis akad nikah, wajah Reen mendapat sentuhan dari Datin Saidatulnisa Aminuddin manakala busana serba putih sentihan @ariweddingcouture. Reen turut mengenakan aksesori dari @ceresgoldofficial.