Selepas meraih golden buzzer di acara America’s Got Talet (AGT), populariti remaja Indonesia, Putri Ariani meledak ke seluruh dunia.
Namanya menjadi sebutan dan kebanggaan di negara kelahirannya lantaran bakat besar yang dianugerahkan kepada Putri Ariani di sebalik kekurangannya kerana tidak dapat melihat.
Dan baru-baru ini, Putri Ariani menerima jemputan Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo untuk bertemu dengannya di Istana Presiden. Remaja berusia 17 tahun itu yang ditemani ibu dan bapanya dalam pertemuan tersebut, turut membawa bersama Golden Buzzer yang diterimanya.
“Tiada halangan jika mempunyai kemahuan yang kuat dan sanggup bekerja keras,” kata Jokowi ketika menerima kunjungan Putri Ariani.
Dan selepas melihat kejayaannya itu, melihat pada akaun media sosial Instagramnya, Purti Ariani kini sudah memiliki 1 juta pengikut!
Semasa uji bakat musim ke-18 di Amerika Syarikat minggu lalu, Putri Ariani yang mempersembahkan lagunya sendiri berjudul Loneliness, mengagumkan para juri dan penonton sekali gus memenangi Golden Buzzer.
Dia bakal kembali ke A.S, Ogos depan bagi menyambung perjuangan dalam pertandingan tersebut. Jokowi turut menjemput Putri Ariani ke sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos jika ia tidak mengganggu persiapannya.
Putri Ariani berterima kasih atas sokongan Jokowi serta wang saku yang diberikan bagi meringankan beban perbelanjaan semasa menyertai pertandingan itu nanti.
Dia turut menyanyikan dua lagu ciptaan sendiri berjudul Loneliness dan Permata Indah Dunia sambil bermain piano di hadapan Jokowi.
Genggam Ijazah Sarjana Pendidikan Usia 105 Tahun, Cucu Cicit VIRGINIA HISLOP Bagi Standing Ovation!
Bukan calang-calang nenek, wanita ini genggam Ijazah Sarjana Pendidikan usia 105 tahun malah cucu cicit Virginia Hislop siap bagi standing ovation!
Bak kata mutiara, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad. Kisah wanita California, Amerika Syarikat berusia 105 tahun ini meniup inspirasi, khasnya momen beliau berjubah konvo dan berdiri di atas pentas untuk menerima skrol ijazah.
Virginia ‘Ginger’ Hislop menggenggam Ijazah Sarjana Seni Dalam Pendidikan pada Ahad lepas dari Stanford Graduate School of Education (GSE). Ketika beliau bangkit dari tempat duduk, melangkah ke atas pentas dan menerima ijazah, semua di sana bangun memberikan ‘standing ovation’ terhadap kecemerlangannya.
Berdasarkan sumber dari Stanford University, Virginia memulakan pengajian Sarjana beliau pada tahun 1940 sejurus menerima Ijazah Sarjana Muda di GSE (menuntut sejak 1936) dalam jurusan yang sama. Tujuannya agar dapat mengajar dan menjadi seorang guru.
Sayangnya, belum sempat menyelesaikan tesis terakhir, Virginia memutuskan untuk berkahwin dengan George Hislop, juga seorang penuntut di Reserve Officers’ Training Corps (ROTC) GSE yang ketika itu ditugaskan sebagai tentera Perang Dunia II.
“Saya fikir ia (menyambung pengajian) adalah sesuatu yang boleh dilakukan pada bila-bila waktu. Saya sentiasa seronok belajar, jadi itu tidak benar-benar membimbangkan saya – berbeza dengan perkahwinan,” ujar Virginia yang dilahirkan di Palo Alto dan menetap di Yakima, Washington.
PERIBADI
Kejayaannya mengenggam Ijazah Sarjana Pendidikan usia 105 tahun amat membanggakan hingga cucu cicit Virginia Hislop bagi standing ovation tanda hormat.
Tumpuan hidup Virginia mula berubah sejak menimang cahaya mata. Beliau sering mendidik anaknya agar meningkatkan kemahiran akademik di sekolah, malah bergiat aktif di sekolah tersebut sebagai penasihat.
Antara peranan beliau adalah sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yakima School, antara barisan Pengasas Lembaga Pengarah Yakima Community College dan Heritage University di Toppenish, Washington.
Pada usia senja, Virginia sudah kurang aktif dalam dunia pendidikan namun kesempatan yang ada digunakan untuk kerja-kerja kemasyarakatan, membaca dan berkebun – rutin yang memastikan beliau sentiasa sihat dan cergas.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/usia-130-tahun-kenali-sarahouda-stiti-yang-dinobatkan-jemaah-haji-tertua-2024/
Pernah Menderita Kerana Kanser, Kini MONTANA BROWN Bergelar Jururawat Di Hospital Yang Pernah Merawatnya
“Tidak pernah terlintas di fikiran pada usia 24 tahun saya akhirnya berjaya menggapai impian terbesar iaitu untuk berkhidmat di hospital yang pernah merawat saya ketika diserang kanser dahulu.”
Itu antara ungkapan daripada bekas pesakit kanser, Montana Brown yang kini bertugas sebagai jururawat di hospital yang sama dia pernah dirawat sebagai pesakit kanser.
Seawal usianya dua tahun, Montana Brown disahkan menghidap Rhabdomyosarcoma iaitu sejenis kanser yang menyerang bahagian tisu dan otot badan. Bayangkan dalam usia yang sangat muda dan tidak mengerti apa-apa tentang kanser, Montana Brown sudah pun bergelar seorang ‘pejuang’!
Bermula dari saat itu kehidupan Montana Brown tidak seriang kanak-anak seusia dengannya. Setahun dia terpaksa menjalani rawatan kemoterapi di Aflac Cancer and Blood Disorders Center, Children’s Healthcare, Atlanta, Amerika. Namun kehidupan Montana Brown kembali cerah apabila rawatan itu berjaya dan dia sembuh seperti sedia kala.
KANSER KEMBALI MENYERANG
Disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ketika usianya mencecah 15 tahun dan aktif sebagai cheerleader di sekolah, kanser itu kembali menyerang. Tanpa sebarang simptom, Montana Brown tidak menyedari bahawa kansernya kembali merebak.
“Saya langsung tidak menyedari kehadirannya kerana tiada sebarang simptom yang dirasai. Namun, ibu dan bapa saya memberitahu yang mereka merasai ada sesuatu yang tidak kena pada diri saya. Sekali lagi saya menjalani rawatan kemoterapi dan berjaya melawannya buat kali kedua.
Saya bersyukur kepada Tuhan dan sangat terhutang budi dengan jururawat-jururawat di Aflac Cancer and Blood Disorders Center kerana telah berusaha sedaya upaya mereka demi menyelamatkan nyawa saya. Ini cukup menyentuh hati saya. Jururawat di sini semuanya terbaik sejak daripada mula saya dirawat.
Mereka memiliki sifat penyayang, ambil berat dan belas kasihan yang tinggi terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Kasih sayang yang ditunjukkan buat saya dan keluarga itulah detik yang membantu saya untuk terus berjuang sebagai pesakit kanser.
Inilah yang menginspirasikan saya untuk bergelar jururawat. Saya ingin membantu pesakit-pesakit kanser seterusnya berbakti dan menyemai kasih sayang terhadap mereka sama seperti jururawat-jururawat yang pernah merawat saya dahulu.”
Montana Brown mula bertugas sebagai jururawat di bahagian Onkologi Pediatrik, Aflac Cancer and Blood Disorders Center sejak September 2017.
Kebetulan pula, September merupakan bulan kesedaran kanser kanak-kanak. Montana Brown menganggap detik itu adalah paling bermakna dalam hidupnya kerana impian untuk bergelar jururawat sudah menjadi kenyataan.
KONGSI KISAH
Bagi meluahkah keterujaannya, Montana Brown berkongsi kisah di Facebook dan mendapat respon yang sangat hebat daripada para netizen. Tidak kurang juga ada yang menjadikan kisahnya sebagai inspirasi khususnya buat wanita. Hospital tempatnya bertugas turut berkongsi kisahnya di page Facebook.
“Saya terharu kerana Tuhan telah memilih saya untuk menikmati kehidupan yang cukup menakjubkan ini. Saya sangat teruja untuk bertugas di hospital yang benar-benar memberikan inspirasi,” ungkap Montana Brown.
Antara petikan kata-kata netizen terhadap perkongsian kisah Montana Brown di Facebook.
“Saya berdoa semoga anak perempuan saya yang kini sedang melawan kanser otak mendapat peluang seperti ini! Kanser telah mengubah kehidupan anda dan mengajar anda tentang impian terhebat!”.
Semoga Montana Brown terus menjadi sumber inspirasi buat masyarakat. Sehingga kini Montana Brown masih lagi menjalani rawatan kemoterapi di hospital tersebut dan pada masa yang sama turut berkhidmat di situ.
Sumber: BuzzFeed News dan Facebook Montana Brown
“Kalau Suami Masih Izinkan Saya Mengandung, Setiap Tahun Saya Mahu Ada Anak” Datin Noor Kartini
Perkongsian kisah keluarga ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed…
Sememangnya kasih sayang mempunyai indikasi paling dekat di hati seorang wanita bergelar ibu. Begitu juga dengan saya, ibu yang mempunyai 10 cahaya mata yang menjadi penyeri kehidupan saya setiap hari.
Bergelar ibu kepada selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor nyata bukan perkara mudah bagi saya. Biarpun pada awal pembabitan anak ketiga daripada sembilan beradik itu dalam industri seni menerbitkan perasaan gusar di hati, namun saban tahun saya sudah mampu menyesuaikan diri dengan tempias dunia glamor Neelofa.
Kini, dunia glamor itu bukan sahaja dirasai oleh Neelofa malah Nabila serta anak perempuan bongsu, Ameera Khan.
Saya bersyukur sebab Allah pelihara dan kurniakan kesenangan untuk menjaga semua anak-anak. Alhamdulillah, mereka dengar cakap dan tahu peranan masing-masing.
Anak lelaki saya, Mohamed Aqief misalnya yang paling senang jaga antara anak-anak lain. Mohamad Faliq, anak bongsu pula sudah mampu solat lima waktu tanpa tinggal dan rajin berzikir.
Saya terkejut dengan perkembangan Faliq sebab kebanyakan ilmu tentang solat, dia dapat dekat YouTube. Dari situlah dia belajar doa qunut, bacaan tahiyat dan sebagainya.
Memang sejak Faliq kecil lagi saya akan perdengarkan dia Asmaul Husna dan ceramah agama Mufti Menk setiap pagi. Sebelah malam pula saya ajar dia baca surah Al-Mulk sampai dia boleh hafal,” terang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
“Kalau suami masih beri keizinan mengandung lagi setiap tahun saya mahu ada anak. Saya memang sukakan budak-budak dan dari kecil sudah terbiasa dengan adik-beradik ramai.
Ikutkan anak saya sudah ada 10 orang. Tapi tak ada rezeki sebab masa kandungan saya masuk tujuh bulan, anak meninggal dalam perut.
Itu cerita beberapa tahun lepas dan satu-satunya kelahiran yang saya lalui secara pembedahan. Sembilan anak yang ada sekarang ini semuanya lahir normal dan mudah. Paling senang dilahirkan ialah Nabila dan Neelofa sampai bersalin pun dekat rumah saja. Tak sempat pergi ke hospital.
Sama ada suami atau saya sendiri, kami tak pernah pilih kasih dalam mendidik anak. Semua layanan sama rata saja. Jadi, kalau ada yang tanya apa saya buat untuk anak pandai dalam akademik hanya kata-kata perangsang.
Tiada ajaran istimewa pun sebab pada akhirnya nanti kemahuan untuk berjaya itu ada dalam diri sendiri. Tak ada sesiapa yang mampu ubah kalau bukan empunya diri. Saya juga yakin setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri serta kebolehan dan minat masing-masing.
Sebagai ibu, saya sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk mereka berjaya di dalam apa jua yang mereka ceburi.
Saya bukanlah seorang ibu yang menetatapkan standard tertentu untuk keputusan pelajaran anak-anak. Memang Neelofa anak yang paling pandai dan tidak pernah hutang ‘A’ sama seperti Aqief dan Nur Athisha.
Saya lebih gemar memberi sokongan dan dorongan untuk mereka berjaya. Begitu juga kasih sayang yang dicurahkan terhadap mereka, semuanya sama.
Mereka sememangnya amat rapat di antara satu sama lain dan saya merupakan tempat mereka merujuk atau sumber rujukan mereka dalam apa jua sekalipun memandangkan bapa mereka lebih tegas dalam mendidik anak-anak.Namun ketegasan tersebut membentuk keseimbangan di dalam support system kekeluargaan.
Semoga ikatan kasih sayang dan kekeluargaan ini menjadi dorongan untuk masing-masing mengeratkan lagi ukhuwah dan persaudaraan sesama Islam pula, insyaAllah.”