Tak lama lagi dah nak raya, dalam hati terfikir-fikir nak masak lemang sendiri sebab bila beli ada saja yang tak kena. Lemang keras sebab terlebih bakar atau menggunakan api yang kuat atau lemak lemang tak cukup kaw untuk dinikmati di pagi raya.
Tapi tak sanggup pula nak ke hutan mencari buluh, mengadap asap yang memedihkan mata apatah lagi panas bahang api ketika membakar lemang. Jangan risau sebab ada solusi yang boleh kita cuba untuk mendapatkan lemang yang memenuhi standard cita rasa sendiri tanpa perlu menempuh itu semua.
Caranya seperti yang telah di kongsi oleh Sue M Arukin di laman Facebooknya, “Hari itu nampak kat FB ada orang buat lemang dalam paper cups. Tadi saya cuba buat 5 cawan, elok pulak jadinya.
Ini yang dinamakan inovasi. Kalau tak ramai yang suka makan lemang di rumah, bolehlah cuba cara ni, senang dan jimat. Cuma bezanya ia adalah lemang kukus bukan lemang bakar yang selalu orang buat dalam buluh tu.
Bahan-bahannya:
1/2 kg beras pulut – cuci & toskan
600ml santan pekat
1 sudu teh garam halus
5-6 biji cawan kertas (yang saiz tinggi)
Daun pisang secukupnya
Cara membuatnya:
1. Gulung daun pisang yang dah dicuci dan letakkan dalam cawan kertas (saya buat 2 lapis daun pisang).
2. Letakkan beras pulut yang dah dicuci hingga 3/4 penuh atau hampir penuh.
3. Santan dicampur dengan garam lalu kacau sebati. Tuang ke atas pulut hingga lebih sedikit dari paras pulut (lebih kurang setengah inci). Kalau suka lemang tu agak lembik/lembut boleh lebihkan santan.
4. Letakkan cawan kertas berisi pulut dan santan ke dalam periuk pengukus yang dah dipanaskan airnya.
5. Kukus selama 50-60 minit atau hingga lemang masak. Selepas 30 minit mengukus, buka tudung periuk dan kacau sedikit pulut dengan garfu supaya santan menyerap sepenuhnya ke bahagian bawah.
6. Sejukkan. Gunting cawan kertas dan buang. Potong lemang mengikut cita rasa. Boleh makan dengan rendang, kari ayam/daging, serunding, sambal tumis dan dengan durian pun sedap.
Selamat mencuba.