Rancangan seorang kenalan rapat untuk mempertemukan Nadia Adila Datuk Radzali dan Nabil Akmal Haji Azlan di sebuah restoran di ibu negara pada tahun 2015 rupa-rupanya penamat kepada pencarian cinta dua jiwa berkasih ini. Meskipun pada awalnya niat mereka berjumpa adalah sekadar untuk berkawan namun perasaan cinta di antara Nabil dan Nadia hadir tanpa diduga.
Terpana dengan renungan asmara yang kian menyelubungi perasaan pada pertemuan berikutnya, jejaka berusia 28 tahun ini lantas memenuhi hasrat hati untuk memperisterikan anak sulung kepada pasangan Datuk Radzali Hassan dan Datin Norishah Ahmad Baharuddin. Biarpun Nadia ketika itu masih bergelar penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di KDU University College, lamaran tersebut tetap mendapat restu kedua-dua keluarga.
Mengimbas kembali detik bersejarah itu, suasana meriah di ruang legar Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur bertukar tenang tatkala lafaz ijab dan kabul berlangsung. Bersaksikan 300 tetamu yang hadir, Nadia yang anggun dalam persalinan indah Rizman Ruzaini kelihatan sebak sebaik bergelar isteri yang sah kepada Nabil dengan hanya sekali lafaz. Sambil ditenangkan ibunda tersayang di atas pelaminan, para hadirin turut tidak ketinggalan menzahirkan rasa syukur.
Berlatarkan dekorasi moden kontemporari ilham Kayangan Gallery, Nadia menerima seutas gelang tangan dan mas kahwin RM1, 000 sebagai hadiah pernikahan. Sebanyak tujuh dulang hantaran berbalas sembilan diberikan kedua-dua mempelai berupa manisan, aksesori perhiasan diri, wangian dan senaskah Al-Quran.
“Syukur alhamdulillah, lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab seperti Nabil akhirnya diperkenankan menjadi suami saya. Sepanjang perkenalan, saya tertarik dengan keperibadiannya yang kelakar, baik hati dan ada ciri lelaki berkeluarga yang saya idamkan. Cara pemikiran Nabil yang berpandangan jauh juga telah memikat hati saya untuk menerimanya sebagai teman hidup.”
Mengadakan majlis persandingan pada keesokkan hari di Dewan Perdana Felda, Nabil dan Nadia diarak seperti putera dan puteri salju yang lengkap berpakaian tuksedo hitam dan gaun kembang berkilauan rekaan Rizman Ruzaini. Pernah berhajat untuk mengadakan persandingan ‘Winter Wonderland’ kerana terinspirasi dengan keindahan musim sejuk, Kayangan Gallery sekali lagi diberi kepercayaan untuk merealisasikan impian perkahwinan Nadia.
Momen yang paling mencuri tumpuan hadirin malam itu, saat pasangan pengantin melangkah masuk ke ruang dewan menuju ke singgahsana yang tersergam indah. Bagaikan berada dalam dimensi musim sejuk penuh romantis tatkala butiran putih umpama kepingan salji menghujani kelibat pengantin yang tersenyum manja di samping pasangan.
Simbahan lampu neon dan dekorasi pelamin yang mengetengahkan hiasan rona putih sebagai simbolik musim sejuk melatari ruang pelamin dengan gaya yang cukup elegan dan mewah. Khidmat solekan segar dan natural sentuhan Leen Zakaria menyerlahkan lagi seri pengantin Nadia. Pada majlis tersebut, tetamu yang hadir termasuk golongan VIP turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah.
This website uses cookies.