Jalan cerita ‘Surga Yang Tak Dirindukan 2’ hampir mirip dengan kisah rumah tangga saya. Kerana suami terpaksa mengahwini, dan saya terpaksa diperisterikan tanpa hati.
Sumpah, ia terlalu membingungkan kerana semenjak madu saya bersungguh-sungguh mahu kami dijodohkan, saya hampir lupa siapa saya yang sebenarnya.
Terima kasih Nona kerana sudi menyiarkan kisah rumah tangga kami ni. Tujuan saya berkongsi sekadar mahu membetulkan stigma bahawa tidak semua isteri kedua itu sejahat-jahat manusia.
Saya merupakan isteri kedua. Sebut saja status ini, semua jari menuding saya sebagai perampas. Sebenarnya saya juga tak pernah meminta berkongsi kasih.
Kisah saya, madu merupakan kakak angkat dan senior saya di universiti. Hubungan kami baik sebagai kakak dan adik, begitu juga dengan kakak-kakak yang lain. Selesai pengajiannya, kami hanya berhubung melalui Facebook dan saya masih terus berkuliah seperti biasa.
Tak lama kemudian, saya dapat kad jemputan darinya. Dia bakal berkahwin dengan seseorang yang saya pasti adalah teman lelakinya, Farid. Saya tahu mereka telah berkawan sejak di bangku sekolah rendah lagi dan cinta itu terus berkembang sampai ke saat ini.
Saya tumpang gembira. Farid sesungguhnya adalah contoh lelaki paling setia di dunia dan mungkin tak wujud lagi kerana kesetiaannya.
Tiga tahun berlalu semenjak majlis perkahwinan mereka, saya akhirnya tamat belajar dan kini bekerja sebagai pegawai kerajaan. Suatu hari, kakak angkat saya telefon dan mahu kami berjumpa.
Tanpa disedari itu rupanya adalah sesi taaruf kami, antara saya dan Farid.
Tiba-tiba kakak menyatakan hasratnya mahu meminang saya bagi pihak suami, malah sudi berkongsi kebahagiaan jika saya merelakannya. Saya pandang Farid dengan fikiran kosong. Berkali-kali saya tanya kenapa, kenapa dan kenapa dan berkali-kali jugalah kakak itu rayu, demi kebahagiaan bersama.
Saya ambil masa tiga bulan untuk memikirkan soal ini. Dalam tempoh itu, Farid tawarkan diri menjadi pemandu teksi, yang menghantar dan mengambil saya dari tempat kerja.
Warak
Momen singkat kami di dalam kereta, saya baru tahu bahawa Farid merupakan seorang hafiz dan merupakan graduan Universiti Al-Azhar. Dia jarang bercakap atau bertanya tentang saya, selalu tersenyum dan kenderaannya selalu terpasang alunan ayat-ayat suci Al-Quran. Hati saya jadi lembut seperti kapas setiap kali memandang wajah Farid.
Akhirnya di depan wali saya, Farid melamar disaksikan kakak angkat yang kini madu saya. Dia sendiri yang menyarungkan cincin pertunangan serta menyiapkan segala keperluan lain.
Dada saya sebak, seolah-olah tercungap-cungap mencari oksigen menjelangnya majlis perkahwinan kami di kampung. Ibu bapa saya tak banyak bertanya. Barangkali mereka juga terpikat dengan personaliti Farid yang sememangnya warak serta bergelar ustaz itu.
Buat seketika, rumah tangga kami bahagia. Madu tinggal di Seri Kembangan, saya pula di Putrajaya. Tidak jauh untuk Farid berulang-alik berjumpa kami berdua.
Mulanya Farid adil membahagikan hari giliran tapi lama-kelamaan, hari saya makin sikit dan kadang-kadang hampir dua minggu baru terlihat kepulangannya.
Demi Cinta
Saya cuba pujuk hati dan bertanya kepada madu mengapa Farid berubah drastik begitu. Katanya sabar sajalah. Inikan keluarga poligami. Baru satu cabaran menanti, ada bersusun lagi. Tabahlah. Saya letak telefon bila ditenangkan.
Fikiran masih lagi positif sehinggalah suatu hari, Farid pulang dan pegang lutut saya, seraya berkata, “I’m sorry I can’t love you and I’m sorry I can’t make you see who I am.”
Ya, suami yang saya nikahi… rupanya masih lagi Farid yang terlalu setia terhadap isteri pertamanya. Cintanya terlalu kuat sehingga apa saja yang diinginkan oleh madu saya akan ditunaikan tanpa bantahan.
Saya dimaklumkan tentang niat madu yang sebenar, iaitu sejak awal lagi mahu berkorban untuk Farid dan memberikan seluruh keizinan untuk suaminya berpoligami. Syaratnya hanya wanita terpilih saja yang dibenarkan.
Dalam kes kami, sayalah orangnya.
Saya tak faham bagaimana pasangan yang terlalu mencintai ini, begitu berbolak-balik hatinya hingga membabitkan saya sekali.
Madu saya yang berhati mulia atau suami saya yang terlalu setia? Entahlah, yang pastinya Farid selaku suami terlalu melebihkan isteri pertama. Selalu saya jenguk di akaun Facebook, foto-foto percutian mereka berdua di luar negara. Gambar saya? Jangan mimpilah.
Kadang-kadang saya marah, tapi saya tenangkan diri kerana jodoh ini rancangan Allah SWT. Menyalahkan takdir ibarat menangisi ketentuan-Nya dan saya tak mahu ingkar sebagai isteri derhaka.
Farid mungkin jarang balik, tapi wang nafkah saya tak pernah diabaikan. Sentiasa dimasukkan setiap bulan untuk belanja segala keperluan, dan saya amat bersyukur kerana itu. Wang tak pernah putus. Untuk ibu bapa di kampung juga ada bahagiannya. Cuma, saya sunyi.
Ya Allah, terlalu sunyi!
Madu saya berjawatan besar dan Farid juga seorang ustaz di sebuah syarikat korporat. Saya terperangkap dalam cinta tiga segi mereka, antara agama dan kekuatan kasih sayang yang terlalu tebal.
Hanya dengan mendekatkan diri pada Al-Quran dan As-Sunnah, saya jadi reda terhadap dugaan ini. Saya mula meletakkan Allah di tempat teratas dan tidak mahu terleka dengan cinta manusia. Saya telan dan hadam hakikat ini, bahawa saya sebenarnya tidak pernah memiliki Farid.
This website uses cookies.