Bangga bila wanita Malaysia mampu ‘bawa’ masakan tempatan ke persada antarabangsa. Secara tidak langsung berjaya mempromosikan budaya dan tradisi negara kepada dunia. Sememangnya usaha Diana Chan dalam dunia kulinari bukan saja memberi manfaat buat diri sendiri. Malah mengangkat juadah Malaysia agar lebih dikenali ramai.
Bagi mereka yang meminati dan mengikuti perkembangan dunia masakan sudah pasti mengenali sosok tubuh selebriti chef yang anggun ini. Wanita bernama Diana Chan mula menempa nama setelah berjaya merangkul gelaran juara pertandingan MasterChef Australia musim ke-9.
Ia sekali gus melayakkan wanita kelahiran Sitiawan, Perak ini membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah AUD250,000 bersamaan dengan RM834,000.
Meskipun sudah hampir lima tahun berlalu namun pertandingan yang berlangsung pada tahun 2017 itu telah melonjakkan nama Diana Chan. Difahamkan dia yang dibesarkan di Johor Bahru sejak usia tiga tahun turut diberi peluang beraksi dalam rancangan masakan termasuk Unplated with Diana Chan di SBS Food Channel.
Terpegun melihat anak Malaysia ini menghidangkan sajian yang begitu istimewa. Terbaharu, Diana menerusi media sosial miliknya turut mempromosikan keenakan kuih tradisi, Kuih Lapis!
Mengimbas kembali pembabitan Diana Chan, dia mula berpindah ke Australia pada usia 18 tahun untuk menyambung pelajaran di Deakin University dalam jurusan perdagangan. Selepas menamatkan pengajian Diana diberi peluang bekerja di sana sebagai akauntan.
Wanita yang berusia 34 tahun ini mendapat inspirasi untuk memasak dari masakan Peranakan Baba-Nyonya yang diwarisi daripada ibu dan bapanya.
Semoga Diana Chan terus bersemangat membawa masakan Malaysia ke persada dunia dan terus mencipta nama dalam dunia masakan.
“Dia Sangat Menjaga Tutur Katanya, Wanita Yang Lembut Tapi Bila Bekerja, LUAR BIASA” – Peribadi IDr Rabiatul Adawiyah Suntik Inspirasi!
Kali pertama mengenali wanita ini, aura kelembutannya menawan hati. Dia lebih senang tersenyum, cuma sesekali mencelah dan berhujah, membayangkan karakter sebenarnya sebagai pakar rekaan hiasan dalaman terbaik di Malaysia. IDr Rabiatul Adawiyah Rasol sesungguhnya wanita yang sungguh menginspirasikan!
Tiba dengan persalinan dress hijau zamrud, penampilan Pengasas Bersama syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman IDW Design & Build Sdn Bhd pada malam majlis Nona Superhero Award memukau tetamu.
Sambil memaut lengan Superhero tersayang, pasangan IDr Lokman Hakim Ahmad Subki ini senang membiarkan tumpuan spotlight diberi kepada suami, almaklum malam itu memang malam istimewa untuk lelaki.
Bukan calang-calang wanita, Rabiatul yang berusia 36 tahun dan ibu kepada tiga cahaya mata ini juga sebenarnya sedang melanjutkan pengajian PhD in Built Environment bersama suami.
Bukan saja pintar, malah kepimpinan beliau dalam mentadbir urus IDW menjadi inspirasi luar biasa kepada usahawan wanita yang lain.
LANCAR APPS
Banyak pencapaian hebat IDW Design & Build sepanjang 15 tahun ditubuhkan. Namun seperti peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, begitu jugalah banyaknya usaha serta ujian yang ditempuhi untuk mencapai kejayaan hari ini.
Semangat Lokman dan Rabiatul yang sama-sama menubuhkan IDW menjadikan mereka kini salah satu gergasi syarikat reka bentuk dalaman milik bumiputera di Malaysia.
Paling luar biasa, aspirasi Rabiatul sebagai pakar hiasan dalaman dan usahawan berjaya jelas menyuntik semangat agar kaum wanita yang lain terus berjuang mencapai impian serta minat masing-masing.
Menariknya serentak dengan kejayaan IDW yang dinobatkan sebagai penerima Nona Best Interior Designer Award dalam acara berprestij Nona Superhero Award, pasangan hebat itu terus mencetuskan sejarah apabila melancarkan aplikasi sendiri di telefon pintar.
Sebagai penaja utama acara berprestij anjuran Majalah Nona, IDW turut mencuri tumpuan apabila pelancaran apps IDW Design menempa nama sebagai aplikasi reka bentuk dalaman pertama di Malaysia yang hadir seiring dengan peredaran semasa.
Mengagumkan! Tonton momen pelancaran eksklusif aplikasi terbaharu IDW Design ni dalam majlis Nona Superhero…
“Kami percaya sekarang ini hampir setiap masa di mana saja, telefon pintar dekat dengan kita untuk mengakses pelbagai perkara, menempah makanan, menonton hiburan dan macam-macam lagi.
Menempa kejayaan sulung pembuka tahun 2022 di anugerah Nona Superhero dan serentak dengan kehadiran aplikasi ini satu momen terbaik untuk terus menguatkan jenama kami kepada semua.” Lokman Hakim
Tambah Rabiatul, menerusi aplikasi itu juga IDW mahu terus agresif melebarkan pengaruhnya.
“Kami sedar ramai sebenarnya di kalangan masyarakat yang ragu-ragu, teragak-agak dan takut mengambil khidmat pakar hiasan dalaman kerana tidak arif tentang tugas pereka hiasan dalaman.
Ada yang idamkan rumah cantik, tapi tidak tahu cara memulakannya. Ada yang memerlukan bimbingan pakar tapi tidak tahu bagaimana selain kekangan masa.
Justeru, aplikasi ini yang boleh diakses di telefon pintar secara tuntas dapat membantu ramai orang berjinak-jinak dengan perkara berkaitan hiasan dalaman.” Rabiatul
Rabiatul juga optimis aplikasi itu mampu menjadi jambatan yang menyatukan mereka dengan masyarakat kerana kelebihan dan ciri antara muka dipamerkan.
Antara fungsi atau ciri-ciri aplikasi IDW Design adalah tip interior design setiap hari, inspirasi dan rundingan rekaan secara percuma serta 200 koleksi rekaan juga diberikan percuma.
Terdapat juga fungsi Market Hall untuk pembelian perabot atau aksesori rumah serta fungsi Project Management yang terkini bagi memudahkan anda menyemak perkembangan projek yang sedang berjalan.
Mudah saja cara untuk memuat turun aplikasi ini. Untuk download apps, anda boleh search terus di Google Play atas nama IDW Design & Build.
Pengguna Android (klik)
Pengguna Apple (klik)
“Kini semuanya di hujung jari. Anda boleh klik pautan YouTube (di sini) atau layari website IDW (di sini) serta Instagram @idw.design (di sini).” Rabiatul
Syarikat ini mula bertapak dalam industri pada 2007 dan pantas mencuri perhatian ramai. Malah pembabitan ekspo di luar negara juga bukti syarikat ini mahu terus belajar dan memberikan terbaik untuk pelanggan tersayang.
Syabas Rabiatul dan setinggi-tinggi penghargaan Majalah Nona buat IDW Design & Build!
“Kalau Ada DOA Tak MAKBUL, Baca Ayat ‘Penghibur hati’ Ini,” Kongsi Oki Setiana Dewi
Pelakon terkenal dari Negara Seberang ini bukan sahaja dikurniakan wajah cantik tetapi mempunyai hati yang murni. Oki Setiana Dewi kini sedang berusaha mengutip dana untuk mendirikan sebuah Masjid pertama di Seville, Sepanyol. Menurut Oki di Sepanyol tidak mempunyai masjid dan menyukarkan umat Islam di sana beribadat.
Tertarik dengan perkongsian Oki tentang sifat bersangka baik kepada Allah SWT dalam salah satu Kuliah Dhuha di Ibu Negara. Antara kupasannya berkenaan tajuk ini;
“Dalam hidup kita tidak terlepas dengan ujian. Ada yang diuji dengan harta, keluarga, pekerjaan, pasangan dan sebagainya. Tiada siapa yang terlepas daripada ujian, sebagaimana dalam surah Al-Baqarah, ayat 155 “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”.
Kita pasti diuji dengan rasa takut. Siapa yang tak pernah rasa takut? Takut dengan sebuah keadaan, takut dengan penyakit, takut dengan harta dan lain-lain. Allah SWT uji manusia dengan ketakutan. Namun hanya orang-orang yang sabar apabila diuji adalah orang yang menang.
Ujian bukan hanya datang dalam bentuk sedih semata-mata tetapi datang juga dalam bentuk kesenangan. Dalam surah Al-Anbiya, ayat 35, “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan,”
Ujian kesenangan apabila dikurniakan harta yang melimpah-ruah, anak yang sihat dan bijak dan kesihatan yang baik namun tidak pernah bersyukur. Tapi Allah SWT tetap mengurniakan nikmat, hati-hati ya ini yang dinamakan istidraj. Istidraj adalah apabila Allah SWT akan beri semua kenikmatan di dunia tetapi akan dihitung di akhirat kelak.
Terdapat tiga golongan iaitu;
1. Golongan paling rendah apabila mempersoalkan ujian yang menimpanya.
2. Golongan tinggi apabila ikhlas apabila diuji dengan dugaan hidup.
3. Golongan tertinggi apabila mengucapkan rasa syukur apabila diuji dengan dahsyat sekali.
Jika kita sentiasa bersangka baik dengan ujian yang diberikan akan membuatkan hidup lebih tenang. Allah SWT Maha Adil dan tidak pernah bersifat kejam terhadap hambaNya. Tetapi kita sebagai manusia tidak pernah faham tentang sifat Allah Maha Adil,” jelas Oki.
Oki menyeru agar kita berdoa bersungguh-sungguh dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT pasti doa akan dikabulkan.
Oki turut berkongsi tentang sepotong ayat yang menjadi ‘penghibur’ hatinya jika doa tidak dimakbulkan seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 216, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pasal sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya,” tutur Oki Setiana Dewi.
Capai 15.3 Juta Langganan. Youtuber China Tersohor, LI ZIQI Cipta Rekod Dunia!
Youtuber terkenal, Li Ziqi kini menjadi perhatian dunia. Gadis cantik berusia 31 tahun berasal dari China ini berjaya mencipta rekod dunia dalam Guinness World Records apabila berjaya memperoleh 14.3 juta pelanggan channel (subscribers) pada Januari 2021 sekaligus menjadi saluran YouTube dengan jumlah langganan tertinggi.
Pengiktirafan itu diberikan pada 3 Februari lalu dan pastinya menjadi detik bersejarah buat Li Ziqi. Menurut South China Morning Post (SCMP), pengumuman itu dibuat menerusi aplikasi Weibo. Li Ziqi Channel yang memaparkan gaya hidupnya di desa berjaya menarik perhatian berjuta penonton dari seluruh dunia.
SIAPA LI ZIQI?
Dilahirkan pada tahun 1990, Li Ziqi merupakan anak yatim piatu dan dibesarkan oleh nenek dan datuknya di Mianyang, wilayah Sichuan, China. Mereka hidup dalam serba kekurangan manakala datuk Li Ziqi merupakan tukang masak di kampung untuk majlis-majlis seperti perkahwinan, keraian dan sebagainya. Dari situlah juga Li Ziqi mendapat kemahiran memasak.
Sebelum aktif sebagai Youtuber, Li Ziqi pernah bekerja di bandar besar. Dia mempelajari pelbagai ilmu kemahiran demi kelangsungan hidup dan mendapatkan masa depan lebih baik.
Namun pada tahun 2012, ditakdirkan neneknya telah jatuh sakit lalu dia membuat keputusan untuk kembali ke Sichuan untuk menjaga neneknya. Selama 8 tahun bekerja di bandar akhirnya Li Ziqi kembali ke kampung halaman demi wanita terpenting dalam hidupnya. Dia menjalani kehidupan biasa termasuk sebagai petani. Keluar rumah awal pagi dan pulang lewat petang. Begitulah rutin Li Ziqi setiap hari.
Sejak itu juga bermulalah perjalanan Li Ziqi sebagai vlogger. Hanya bermula dengan merakamkan diri sendiri lama kelamaan setelah videonya mendapat sambutan barulah Li Ziqi mempunyai team untuk membantunya menghasilkan vlog content. Pada tahun 2017 Li Ziqi menjadi selebriti online terkenal di China sebagai ‘An Oriental Lifestyle Foodie’.
KEUNIKAN VIDEO
Bila menonton video Li Ziqi tidak seperti video-video yang sering kita lihat di Youtube. Ini kerana video Li Ziqi ada mesej tersendiri dalam kehidupan sebenar. Apa yang dipaparkan bukan lakonan sebaliknya rutin kehidupannya sebagai gadis desa. Karya uniknya itu benar-benar memberi impak positif terhadap kehidupan.
Antaranya ialah bagaimana dia memasak pelbagai hidangan yang dipelajari dari datuknya sejak kecil termasuklah cara membuat bakul buluh, menanam sayur-sayuran dan bertukang. Hebatnya Li Ziqi, bukan calang-calang wanita!
Menariknya lagi, tidak seperti video-video memasak yang lain Li Ziqi membuat kelainan dengan memaparkan proses menanam, menuai, memasak, menghidang dan akhir sekali menjamu hidangan tersebut bersama neneknya. Sebab itulah dia digelar sebagai “An Oriental Lifestyle Foodie”.
Ada sesetengah videonya memerlukan masa sehingga 2 ke 3 tahun untuk diproses dan disiapkan dengan sempurna. Sehingga kini, dia telah berkongsi ratusan video dengan lebih 2 bilion tontonan di saluran YouTube sejak mencipta akaunnya pada tahun 2017.
Setakat ini, videonya yang paling popular ialah cara dia membuat makanan ringan Festival Musim Bunga yang diolah dengan kacang tanah, epal dan mangga menggunakan dapur kayu tradisional. Ia mendapat 82 juta tontonan dalam masa singkat.
Selain itu, Li Ziqi mempunyai lebih daripada 5 juta pengikut di kedai dalam talian menerusi platform e-commerce Taobao. Semoga kisah Li Ziqi ini dijadikan inspirasi buat semua khususnya golongan muda.
Berikut beberapa petikan komen pengikutnya di Youtube yang cukup teruja setelah menonton video Li Ziqi.
“When I watched her videos, I felt calm, quiet, beautiful. In her videos, I could hear birds chirping, that is the sound of nature.”
“Thank you for sharing your wonderful life with us. So inspiring! “
“I love watching grandma just sitting in the sun and eating all the delicious things Lizi makes her.”
“This channel has an aesthetic sensibility beyond anything I have ever seen. Thank you, Li Ziqi, for sharing your abundant skills and appreciation of all aspects of nature.”
Kredit Foto: https://liziqishop.com