Sering tampil dengan cara tersendiri menerusi koleksi video kreatif seperti tutorial dan reviu produk berjenama tempatan serta antarabangsa, Nisha Ezzati antara instafamous yang hadir dengan pakej lengkap. Bukan sekadar cantik dan bijak, Nisha juga seorang gadis yang pandai berdikari.
Dalam usia 24 tahun, selain bergelar tutor akademik Nisha juga aktif sebagai seorang beauty vlogger dan YouTube sejak tahun 2009. Nisha sinonim dengan gelaran NishxNish dan #Samprit sehingga mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Lebih membanggakan lagi, selain bergelar hos dan content creator Nisha turut memiliki program bual bicaranya sendiri bertajuk Lipstik Maskara di saluran YouTube.
Nisha bukanlah gadis biasa yang sentiasa leka dengan keseronokan. Dia punya matlamat hidup yang jelas sebagai seorang generasi muda yang berwawasan. Gemar berkongsi tentang isu-isu semasa menjadikan Nisha seorang yang berfikiran matang.
PEKA ISU SEMASA
Ketika diajukan soalan tentang isu-isu wanita yang mudah menyentuh tangkai hatinya, ini jawapan jujur Nisha. “Tak dinafikan sekarang ini banyak kes yang melibatkan hal-hal rumah tangga. Antara isu-isu wanita yang mudah menyentuh hati saya ialah kes penceraian dan penderaan terhadap isteri.
Secara tak langsung ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Kadar golongan ibu tunggal akibat penceraian juga meningkat. Pastinya golongan ini mempunyai masalah dari sudut kewangan serta tiada sumber pendapatan tetap.
Melihat kepada situasi inilah telah menyedarkan saya untuk menjadi seorang wanita yang berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Bagi saya seorang wanita itu perlu ada simpanan sebagai persediaan untuk masa depannya. Alhamdulillah berkat berdikari selama ini saya dapat membayar sendiri kos pengajian termasuk ansuran bulanan kereta. Buat masa ini saya sedang mengumpul wang untuk membeli rumah pula.
Walaupun tinggal bersama keluarga saya tidak pernah lupa untuk membeli barang-barang keperluan rumah dan sebagainya di samping meringankan beban ibu bapa. Sebagai anak saya bersyukur kerana dapat membantu mereka sejak muda dengan hasil titik peluh sendiri,” bicara Nisha.
INSPIRASI
Idola sebenar saya ialah ibu dan nenek. Apa yang membuatkan saya sangat menginspirasikan mereka ialah kejayaan yang diraih dengan cara tersendiri. Walau pun kini berusia 50-an namun ibu masih mementingkan penampilan.
Ibu masih mengamalkan petua jamu yang diwarisi keluarga sejak turun temurun. Selain itu, ibulah yang menjadi tulang belakang buat saya. Untuk perkembangan kerjaya yang lebih baik saya ingin mencabar diri dalam bidang pengacaraan agar lebih mantap,” akhiri Nisha.