“Ujian Ini Sangat Berat” Perniagaan Terjejas Angkara COVID-19, Emira Khan Cekal Hadapi Saat Getir

Usahawan muda berjiwa besar, Puteri Emira atau lebih dikenali sebagai Emira Khan akui turut terkesan dengan situasi yang sedang melanda Malaysia kini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak ia telah memberi kesan terhadap perniagaan.

Situasi itu turut dirasai oleh Emira. Pun begitu, Emira kekal positif dan berdoa agar segala kesulitan beransur pergi. Berbekalkan pengalaman pernah merasai jatuh dan bangun dalam perniagaan menjadikan Emira seorang yang sentiasa bersedia dan terus berjuang.

“Saya terlibat dalam industri fesyen. Kesannya memang sangat dirasa. Permintaan terhadap produk (pakaian) semakin kurang. Ketika ini orang lebih mengutamakan keperluan asas. Ujian yang sangat berat tetapi saya percaya ada hikmah di sebalik ujian ini.

Sebagai usahawan, masa itu emas. Setiap masa berharga. Kadang kerja sampai tak ingat dunia. Tapi sekarang dapat rasa nikmat dari segi masa. Bila PKP selain dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga, saya juga dapat muhasabah diri termasuk membetulkan dan memikirkan strategi yang lebih mantap terhadap syarikat.

Selain itu, kesan lockdown terhadap China juga memberi kesan di mana saya tak boleh menempah kain-kain untuk menghasilkan baju. Jadi, saya hasilkan semuanya di Malaysia saja.

Sejak PKP, jadual juga terganggu apabila ada sesetengah kilang tak dapat nak jahit baju raya kami. Takut baju-baju tak sempat siap sebelum tarikh sepatutnya. Tambahan pula, baju-baju yang dah jahit tu tak tahu sempat jual atau boleh jual bila.

Dari segi Work From Home (WFH), ujian untuk syarikat saya juga. Ada staf yang tak boleh nak WFH kerana banyak kerja yang perlu hands on di HQ seperti jurufoto, juru video, pereka, bahagian operasi, dan sebagainya.

Jadi, ini ujian paling mencabar untuk saya fikir strategi dan handle staf yang WFH. Sementara staf yang tidak boleh WFH pula saya perlu fikirkan what their ends are sama ada nak diberi cuti tanpa gaji atau bantu department lain. Saya takut tak adil untuk mereka yang boleh WFH.

Dari sudut hubungan dengan pelanggan pula I get to communicate with my own customers. Selalu akan ada team untuk uruskan bahagian customer service. Secara tak langsung, it’s like bonding, ambil tahu tentang mereka yang mungkin kebanyakan usahawan terlepas pandang sebelum ini.

PERSEDIAAN

Raya sudah hampir, memang tak dinafikan banyak duit habis untuk stok raya. Working capital kurang. Tapi apa yang bagusnya bila kita buat retail business, stok baju tiada tarikh luput. Cuma dari segi rekaan baju, ye, kerana fesyen fast forward. Jadi saya kurangkan yang printed dan banyakkan rekaan plain and simple supaya lebih evergreen.

Seterusnya didik pelanggan untuk create demand. Bersamalah kita berdoa agar rantaian wabak ini berjaya diputuskan sebelum raya ini. Andai kata COVID-19 belum berakhir, kita wajib meraikan hari raya. Jadi kita perlukan juga baju raya. Apa yang saya lakukan ialah buat installment untuk customer. Mereka boleh bayar deposit untuk tempahan.

Saya juga memperkukuhkan lagi platform digital kerana itu adalah kunci kekuatan. Saya merancang untuk menjangkau pasaran ke tahap maksimum. Saya percaya kita tidak boleh memberi tumpuan hanya pada satu benda saja.

Perlu mencuba cabang-cabang perniagaan lain bagi menjana aliran pendapatan berganda. Wang yang datang dari pelbagai sumber memberi manfaat kepada usahawan kecil seperti saya agar aliran wang tidak terhenti.

NASIHAT BUAT GOLONGAN MUDA

Nasihat saya buat golongan muda yang mahu berjaya dalam bidang bisnes, jangan terburu-buru. Paling penting kumpul duit dulu dan cari mentor atau penasihat yang dapat membantu kita ke arah yang betul. Dunia bisnes tak selalunya indah, banyak liku dan cabaran yang perlu ditempuh.

Dalam bisnes juga perlu ada sokongan kuat sebab kita akan selalu kena ‘pukul’. Yang memukulnya ramai tapi kita kena bangun sendiri. Kena sentiasa kuat dan jangan mudah putus asa.”

Wanita berusia 27 tahun dan ibu kepada dua anak ini memiliki darah campuran Cina, Belanda dan Jawa. Hampir enam tahun anak kelahiran Johor Bahru ini membawa Losravelda menjadi antara jenama fesyen modest & modern terkenal di Malaysia.

Kempen Losravelda Raya 2020 bakal membawa mesej “Raya Cara Kita” dalam usaha melengkapkan keperluan sebagai Muslim, pada masa yang sama mengamalkan kesederhanaan ketika menyambut Aidilfitri. Walaupun dengan situasi sekarang, kita sebagai Muslim masih dapat menikmati hari raya dengan cara berbeza, cara kita. Koleksi Losravelda 2020 boleh dilihat di Instagram atau laman web Losravelda. #rayacarakita

Kredit Foto: Instagram Emira Khan

 

Share
Published by
Amy Mohd