Wow, melimpah ruah rezeki yang dikurniakan kepada Shella Saukia! Bukan hanya memiliki kediaman mewah dan besar bak istana malah perusahaan label Shella Saukia (SS) juga kian berkembang pesat.
Ternyata kejayaan wanita cantik kelahiran Indonesia ini menjadi inspirasi tidak hanya di negara kelahirannya bahkan juga di Malaysia.
Terkenal dengan julukan ‘Crazy Rich Aceh’ dia merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Shellasauki Group yang menguruskan produk baju muslimah, kecantikan dan kosmetik. Shella juga salah seorang pempengaruh terkenal Indonesia yang rapat dengan Rossa dan pereka fesyen serta usahawan Indonesia, Ivan Gunawan
Menetap di bandar Aceh, kompas hidup Shella mula berubah kira-kira enam tahun lalu. Dari kehidupan sederhana dia kini bergelar jutawan dan dikelilingi dengan kemewahan.
Memetik laporan portal Suara.com, di sebalik kemewahan yang dinikmati hari ini, Shella pernah mendiami rumah bantuan mangsa Tsunami ketika bencana tersebut melanda pada tahun 2004.
Menelusuri kejayaan ibu tiga anak ini, Shella mula berkecimpung dalam arena bisnes sebagai reseller. Keuntungan yang diterima hasil jualan produk usahawan lain dimanfaatkan untuk membuat perniagaan sendiri dengan membeli 20 helai tudung. Rezekinya, kesemua tudung tersebut habis dijual!
Sejak itu, bisnes Shella kian berkembang dan hasil kerja keras dia berjaya menghasilkan jenama sendiri dan membina butik mewah.
Kongsi wanita berusia 32 tahun ini di Instagramnya pada April tahun lalu, “MasyaAllah Alhamdulillah. Teman-teman tahu kerja keras Kak Shells dan semua team kan. Siang jadi malam, malam jadi siang.
Nah ini hasilnya. 10 bulan Kak Shells dan suami merantau ke Jakarta. Tak terduga-duga sudah terpampang nyata terbangun Menara SS isinya ada Klinik SS Skin, kantor utama baju SS, tempat tinggal, gudang, ruang meeting, complete.”
Walau kaya dan berjaya, Shella tidak lupa berbakti kepada masyarakat. Bahkan sewaktu Ramadan lepas, dia berkongsi rezeki dan memberi sedekah kepada penduduk sekitar, pelajar tahfiz serta anak-anak yatim.
Bukan itu saja, figura ini turut membina sebuah banglo moden untuk keluarga mentua. Memang cantik, luas dan besar. Siap beli perabot dan segala kelengkapan baharu demi keselesaan keluarga tersayang. Patutlah rezekinya mencurah-curah!
Sebagai usahawan berjaya, Shella tidak lokek berkongsi ilmu perniagaan bersama anak didik dan khalayak.
Dia juga sering berkongsi tip sukses di media sosial khususnya melibatkan kerjaya sebagai ahli perniagaan. Malah, dia sentiasa mengingatkan orang ramai yang mahu mengikut jejak langkah sepertinya agar berniaga dengan niat kerana Allah SWT.
Bersandarkan kemewahan yang dimiliki, tidak hairanlah Shella mampu mengembara ke serata pelusuk dunia. Salah satu perkongsian percutian Shella ialah ketika di Finland dengan menaiki helikopter dan pemandangan indah suasana di sana yang dilitupi salju.
Pada Julai tahun lalu, Shella dilantik sebagai Ketua Dewan Pimpinan Wilayah Perempuan Amanat Nasional (PUAN) Provinsi Aceh.
This website uses cookies.