Kalau tidak kerana azam yang kuat sepuluh tahun lalu, nama Telekung Siti Khadijah (SK)mungkin tidak gah seperti sekarang. Meskipun berdepan dengan pelbagai kesukaran pada awal penubuhannya namun bersandarkan niat untuk membantu menambah pendapatan keluarga dan mengangkat martabat telekung, Padzilah Enda buang perasaan malu sambil menggenggam harapan menggunung agar hasil usahanya mampu memanfaatkan masyarakat kelak.
Kini setelah 10 tahun bertapak di dalam industri, ibu kepada enam cahaya mata ini mampu tersenyum puas melihat kejayaan yang ada di depan mata. Menceritakan kembali saat suka duka mengemudi empayar Siti Khadijah, Pengasas berjiwa besar ini tenang membuka bicara.
“Kalau dulu, dari gigih mengetuk satu-persatu pintu untuk menjual telekung… kini pelanggan kami boleh ke salah satu daripada lebih 30 butik di Malaysia, 2 butik di Indonesia, akan tambah 4 lagi di Indonesia dalam masa dekat. InshaAllah.”
Tambahnya lagi, “Kami bermula dengan 200 helai telekung pertama, yang pada awalnya begitu sukar untuk dijual. Kini sehingga hampir 2000 helai telekung sehari kami hasilkan! Dari khusus mengeluarkan telekung, berkembang ke pakaian wanita dan lelaki… ke produk penjagaan diri sehinggalah ke pembukaan Kolej Seni Jahitan Srikandi.
Dari Nusantara ke United Kingdom, ke Jepun, Turki, Timur Tengah, SK membawa telekung untuk perkenalkan betapa mudahnya disarungkan sebagai pakaian solat buat wanita muslimah seluruh dunia.
Dari anak-anak saya masih bersekolah, kini hampir kesemua keenam-enam mereka bersama-sama meneraju empayar Siti Khadijah. Dari sebuah ruang kecil pejabat yang disewa ke wujudnya sebuah kilang produksi di Malaysia dan Indonesia. Malah, dari hanya kurang 10 kakitangan, kini hampir seramai 300 kakitangan keluarga Siti Khadijah menerima rezeki hasil penjualan telekung dan produk Siti Khadijah.”
Selepas membuka dua butik Siti Khadijah di Bandung dan Jakarta, Indonesia… empat lagi butik akan dibuka di sana tahun ini dengan satu lagi bakal di buka di Jakarta, Pekan Baru, Surabaya dan Makassar dengan nilai pelaburan sekitar RM1 juta.
Pada Malam Sedekad tersebut, sebanyak 15 koleksi terbaharu Siti Khadijah turut diperagakan kepada umum.
This website uses cookies.