Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sememangnya memiliki pakej lengkap seorang Permaisuri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi yang lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri berpendidikan tinggi.
Hari ini 22 Mac merupakan ulang tahun keputeraan Tuanku Zara menyambut yang ke-48. Baginda ialah anak bongsu daripada empat adik-beradik yang diputerakan di Ipoh, Perak. Tahun lalu, sempena ulang tahun keputeraan ke-47 baginda telah berkenan membuka akaun Instagram rasmi milik baginda iaitu Tuanku Zara Salim.
Tuanku Zara bertemu jodoh dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika baginda berusia 34 tahun. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera baginda Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008. Manakala puteri baginda yang diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Nazira Safya pula diputerakan pada 2 Ogos 2011.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Permaisuri Perak ini, Tuanku Zara dilaporkan mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolah dalam sukan skuash dan tenis serta mewakili negeri Perak dalam sukan renang. Selain aktif dalam bidang sukan, baginda juga cemerlang dalam akademik.
Ketika berusia 22 tahun, Tuanku Zara menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom pada Julai 1995. Selepas menamatkan pengajian, baginda berkhidmat dalam industri hydrocarbon di syarikat petroleum negara Petronas.
Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan menyandang jawatan penting dalam projek berskala besar.
Mendekati latar belakang Tuanku Zara, ayahanda baginda iaitu Dato’ Seri William Stanley Walker Davidson atau Salim Davidson ialah seorang peguam terkenal di Malaysia. Manakala ibunda baginda pula ialah Dato’ Seri Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin yang merupakan kerabat diraja Kedah di sebelah bonda baginda.
Tuanku Zara merupakan cicit kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anakanda cucunda saudara kepada Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Sesungguhnya Tuanku Zara memiliki keperibadian dalaman dan luaran yang menawan. Malah, kemunculan baginda dalam istiadat mahupun majlis-majlis rasmi sering mencuri perhatian kerana penampilan Raja Permaisuri Perak ini yang anggun dan elegan.
Pada Ogos lalu, Tuanku Zara berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran ‘Handwashing Kiosk’ di SMK Tasek Damai.
Kredit foto: Instagram Perak Diraja, Royal Terengganu Songket, Malay Royalties
This website uses cookies.