MasyaAllah, cantik sungguh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Gaya elegan dan keanggunan Baginda sentiasa menjadi perhatian rakyat.
Keperibadian Tengku Permaisuri Selangor yang penuh kelembutan dan sopan santun ditambah raut wajah jelita membuatkan sesiapa saja pasti akan menoleh banyak kali!
30 Disember lalu, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Cahaya Darul Ehsan Berselawat yang diadakan di Dewan Jenjarom, Seksyen 11, Shah Alam.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Yang Dipertua PEKAWANIS, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Masdiana Muhamad.
Dalam majlis yang dikhususkan untuk muslimat sahaja itu, Baginda berkenan mendengar tausiyah yang disampaikan oleh pendakwah, Hubabah Ummu Salim Ben Hafidz, isteri kepada Al-Habib Umar Ben Hafidz.
Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin anggun mengenakan persalinan jubah indah rona hitam. Penampilan Baginda lebih menyerlah dengan padanan gaya hijab bawal rona pastel. Sekaligus menaikkan lagi seri wajah Baginda.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin tidak ketinggalan beramah mesra dengan tetamu Muslimat yang teruja bertemu dan ingin bersalaman dengan Baginda.
This website uses cookies.