Terpesona dengan aura atlet akuatik terjun negara, Leong Mun Yee. Mana tidaknya, dia bukan hanya seorang wanita yang memiliki rupa paras cantik menawan, bahkan melakar pelbagai kejayaan cemerlang dalam arena sukan dan berpendidikan tinggi. Pakej lengkap!
Menerusi laman web peribadinya, Mun Yee mendedahkan dia mula aktif dalam sukan tersebut seawal usia 10 tahun lagi. Sejak itu, dia diberi kepercayaan mewakili Malaysia hingga sekarang iaitu lebih 20 tahun. Jelas Mun Yee, penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik adalah ketika menyertai temasya sukan terbesar berkenaan di Sydney, Australia pada tahun 2000.
Waktu itu dia baru berusia 15 tahun. Bertitik tolak daripada pencapaian membanggakan, Mun Yee berjaya meletakkan standard yang tinggi dalam kerjaya sukannya sehingga melayakkan diri dalam lima penyertaan Sukan Olimpik iaitu di Sydney pada tahun 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.
Rentetan pembabitan aktif dan dedikasi serta minat mendalam dalam sukan akuatik, Mun Yee mendapat pengiktirafan yang menyaksikan namanya tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak empat kali.
Lebih mengujakan, dia juga melakar pelbagai pencapaian cemerlang di dalam dan luar negara. Buktinya, dia yang ketika itu bergandingan dengan Pandelela Rinong menjadi atlet terjun pertama memenangi pingat Perak dan Gangsa dalam FINA Diving World Championship 2009, 2013 dan 2019 dalam acara 10 meter platform wanita. Malah, ketika Sukan SEA 2017 juga Mun Yee membawa pulang dua pingat Emas dalam acara sama.
Tidak hanya berbakat dan cantik, Mun Yee merupakan graduan Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jelas atlet berusia 36 tahun ini, “Pendidikan adalah sangat penting. Ia ibarat perjalanan sepanjang hayat yang membantu mengasah kemahiran dan pengetahuan seseorang secara peribadi mahupun profesional.”
Bersandarkan kejayaan, bakat dan kecantikan yang dimiliki, Mun Yee turut menjadi buruan syarikat iklan yang mahukan wajahnya menghiasi kempen produk keluaran mereka. Syabas dan tahniah buat Mun Yee. Moga terus mengangkat martabat kaum wanita di mata dunia dan menjadi inspirasi ramai.
Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee