Tanggal 6 Februari 2022 pastinya menjadi detik ‘hitam’ bagi seluruh rakyat India apabila mereka kehilangan sebutir bintang yang banyak berjasa dalam industri seni Bollywood. Mendiang Lata Mangeshkar yang berusia 92 tahun meninggal dunia selepas hampir sebulan bertarung melawan Covid-19.
Lata Mangeshkar dilaporkan meninggal dunia pagi Ahad kerana kegagalan fungsi organ di Breach Candy Hospital di Mumbai. Dia dimasukkan ke hospital pada 11 Januari selepas disahkan dijangkiti wabak maut Covid-19.
Perdana Menteri India, Narenda Modi dilaporkan sanggup ‘terbang’ dari New Delhi untuk memberi penghormatan terakhir kepada penyanyi lagenda tersebut di Shivaji Park, Mumbai. Upacara pengebumian Lata Mangeshkar juga dihadiri rakan-rakan industri muzik, selebriti Bollywood seperti Shah Rukh Khan dan pemimpin politik.
Daripada perkongsian di Internet, kelihatan mendiang Lata diarak beramai-ramai ke Shivaji Park dengan potret wajahnya dan ratusan kalungan bunga serta diselimuti bendera India.
Sebagai menghargai sumbangan penyanyi bersuara emas berkenaan, India turut mengisytiharkan perkabungan negara selama dua hari dengan bendera dipasang separuh tiang.
Lata Mangeshkar mula menyanyi di perhimpunan keagamaan bersama bapa tersayang. Memetik laporan Cultural India, nama wanita berbakat besar ini tersenarai dalam Guinness Book of World Records sebagai artis paling banyak merakamkan lagu di dunia.
Lebih mengujakan, dia merakam lagu pertamanya untuk filem Bollywood ketika baru berusia 13 tahun. Sepanjang lebih 7 dekad dalam industri muzik India, mendiang telah berjaya merakam hampir 30 ribu lagu untuk filem Bollywood dan sebagainya.
Bersandarkan bakat dan pencapaian luar biasa itu, Lata Mangeshkar merangkul pelbagai anugerah dan menerima pingat Bharat Ratna iaitu pengiktirafan tertinggi India pada tahun 2001.
Antara lagu nyanyian Lata Mangeshkar yang popular dalam kalangan peminat Bollywood termasuklah Ho Gaya Hai Tujhko dari filem Dilwale Dulhania Le Jayenge dan Humko Humise Chura Lo untuk filem Mohabbatein.
Lata Mangeshkar dilahirkan di Maharashtra pada 28 September 1929 merupakan anak sulung daripada lima beradik kepada pasangan Dinantha dan Shevabti Mangeshkar yang berasal dari keluarga Marathi Brahmin.
Mendiang memiliki tiga adik perempuan iaitu Meena, Asha dan Usha serta seorang adik lelaki, Hridaynath Mangeshkar. Kelima-lima mereka mempelajari muzik klasik India daripada bapa tersayang.
Dikurniakan suara emas, Lata tidak pernah berkahwin dan menjadi penyanyi playback wanita paling berjaya dari tahun 1940an hingga 1980an. Meskipun biduanita ini sudah meninggal dunia namun legasi dan nyanyiannya berjaya menyentuh hati pendengar di seluruh dunia hingga ke hari ini.
This website uses cookies.