
Syabas Fynn Jamal kerana berjaya menjadi contoh anak yang baik. Walau sudah berstatus isteri dan ibu, tanggungjawab sebagai anak perempuan juga tetap tidak dilupakan. Kalau bukan anak sendiri yang membahagiakan kedua-dua orang tua, siapa lagi, bukan? Apa-apa pun moga segala kebaikan yang dilakukan Fynn Jamal ini memberi pengajaran buat semua agar sentiasa menghargai jasa pengorbanan ibu bapa.
Berangkat ke Eropah lima hari lalu, ia merupakan kali pertama Fynn atau nama sebenarnya Nur Affina Yanti Jamalludin ke sana bersama bapa tersayang. Tanpa ditemani suami dan anak-anak, selebriti yang terkenal dengan penulisan penuh puitis tersebut menganggap percutian istimewa ini adalah peluang terbaik baginya untuk menggembirakan hati insan yang banyak mendidik dan membesarkan dirinya selama ini.
Pemergian Fynn Jamal ke beberapa pelosok Eropah ini antara lain turut bertujuan untuk memenuhi undangan majlis-majlis ilmu yang diadakan di sana. Mengembara dari Birmingham, Glasgow, London dan Paris, ke mana saja destinasi hentian Fynn turut ditemani bapanya.
Malah, menerusi foto-foto yang dikongsikan bekas guru Bahasa Inggeris di Kazakhstan ini … jelas terpancar sinar bahagia dua beranak. Tidak kira ketika mereka sedang makan, dalam kereta api, melawat tempat tumpuan pelancong hinggalah masa di lapangan terbang, Fynn setia memotretkan wajah kesayangannya itu. Terserlah niat ikhlas seorang anak yang sanggup melakukan apa saja demi meraih senyuman bapanya yang berusia 67 tahun.
Isteri Pereka Duo Terkenal, RUZAINI JAMIL Kongsi Pengalaman Lahirkan Bayi Pramatang

Siapa yang tidak kenal dengan pereka duo tersohor negara, Rizman Ruzaini. Terkenal dengan rekaan busana ekslusif di kalangan kerabat, VVIP mahupun selebriti popular tanahair antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fazura, Izara Aishah dan ramai lagi. Di sebalik kejayaan duo ini berdirinya wanita sebagai tulang belakang utama.
Nona berpeluang menemu bual secara ekslusif isteri kepada Ruzaini Jamil yang dikenali sebagai Nurul Hidayati Yahaya. Mesra digelar sebagai Ida, wanita berusia 37 tahun ini bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian.
Wan Rahil Wan Mohd Ruzaini, zuriat sulung yang dinanti-nanti hampir 5 tahun telah membawa sejuta rahmat buat pasangan ini. Berikut perkongsian pengalaman Ida sepanjang bergelar ibu kepada Rahil yang kini berusia 8 bulan.
PENANTIAN
“Alhamdulillah setelah lama menunggu hampir 5 tahun, kami dikurniakan rezeki yang amat berharga dan bermakna. Segalanya bermula apabila kitaran haid saya agak lewat lantas saya pun membuat ujian kehamilan sendiri di rumah. Suami pun ada ketika itu. Ketika mendapat result positive kami menangis kegembiraan. Disebabkan terlalu teruja, suami hendak maklumkan kepada keluarga kami namun saya mencadangkan untuk check dulu dengan doktor untuk confirmation.
Esoknya kami bertemu doktor dan saya disahkan hamil 3 minggu. Kami sangat bersyukur lalu berita gembira itu dikongsi dengan keluarga terdekat serta adik kami, Rizman dan Suraya. Alhamdulillah Allah SWT mendengar doa kami.
Rutin saya memang berubah 360 darjah selepas kehadiran Rahil. Sebelum sambung belajar, saya bekerja di Jabatan yang memerlukan saya pulang lewat. Kadang-kadang jam 2 pagi baru pulang ke rumah. Alhamdulillah selepas habis belajar saya ditempatkan di Jabatan yang tidak memerlukan saya untuk stay back. Allah SWT susun cantik perjalanan kerjaya dan kehidupan saya setelah memiliki zuriat.
Sekarang setiap kali habis waktu kerja saya akan terus pulang ke rumah. Waktu lunch pun saya akan pulang untuk menjenguk Rahil. Kalau dulu saya sering tidur lewat kerana nak siapkan assignment atau kerja pejabat, kini memang tidur awal kerana perlu tidur sekali dengan anak. Saya kekalkan work life balance selepas kehadiran Rahil,” ungkap anak kelahiran Perak ini.
BAYI LAHIR AWAL & PRA MATANG
Rahil adalah bayi pra-matang kerana lahir awal iaitu pada minggu ke-33. Due date sebenarnya pada 10 Disember 2020 tetapi pada 26 Oktober jam 10.30 malam air ketuban saya pecah. Mula-mula ingatkan saya terkencing tetapi lepas air jernih tak henti-henti keluar saya dah rasa lain.
Saya meminta pembantu rumah panggilkan suami yang berada di tingkat atas rumah. Selepas melihat keadaan saya, suami ajak ke hospital. Masa tu saya rasa seperti tiada apa-apa lagi. Siap cakap tidurlah dulu, kita pergi esok saja. Tetapi suami tetap ajak pergi malam tu juga. Saya hubungi kakak dan tanya pendapat. Kakak juga minta saya ke hospital segera. Saya akur dan mujurlah kami dah siapkan awal-awal beg ke hospital.
Kami terus ke SJMC. Lepas ditolak ke labor room, jururawat datang check dan maklumkan bukaan dah 3cm. Masa tu jam 12.30 malam. Disebabkan saya baru 33 minggu, dokotr arahkan saya diberi ubat tahan sakit contraction dan matangkan paru-paru bayi. Tetapi jam 3 pagi saya mula rasa contraction. Doktor maklumkan risiko jika saya bersalin awal tanpa ambil complete cycle untuk matangkan paru-paru bayi. Bimbang bayi mungkin akan dimasukkan ke ICU jika paru-parunya belum matang dan berat tak mencukupi.
Suami ketika itu tak henti-henti membaca surah Yassin dan solat hajat di sebelah saya. Jururawat juga maklumkan jam 7 pagi dia akan cucuk epidural. Pada 27 Oktober jam 6.30 pagi saya rasa sangat sakit. Saya panggil jururawat dan bukaan dah 9cm. Keadaan kelam kabut dan mereka buat preparation. Tak sempat ambil epidural, jam 6.34 pagi lahirlah putera kami dengan berat 2.45kg. Semasa Rahil dilahirkan saya terdengar doktor berkata berat bayi normal maka tak perlu risau. Alhamdulillah Rahil berada 2 hari saja di ICU kemudian dimasukkan ke wad biasa.
Pengalaman melahirkan Rahil membuatkan saya insaf. Sampai terfikir bagaimana ibu saya menanggung sakit sebanyak 7 kali untuk lahirkan anak-anaknya dulu. Saya sangat bersyukur kerana di saat Allah SWT ‘ambil’ semula ibu ketika saya hamil 7 bulan, Allah SWT hadirkan ibu mentua yang sangat penyayang. Beliau menjaga menantunya ini seperti anak sendiri.
Pengalaman mandikan anak, berjaga malam untuk menyusukan dan sebagainya menyedarkan saya betapa besar pengorbanan seorang ibu. Benarlah kata pepatah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
Saya percaya semua ibu bapa sentiasa mengharapkan anak mereka menjadi insan cemerlang dalam akademik serta memiliki sahsiah terpuji, kukuh pegangan agama dan mendapat kerjaya yang bagus kelak. Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan soal agama dan akademik. Arwah ibu dan Abah tidak berkompromi bab solat, mengaji dan akademik. Semasa kecil, arwah Abah mewajibkan kami adik beradik solat berjemaah waktu Subuh, Maghrib dan Isya’. Saya juga khatam al-quran dengan arwah ibu.
Saya beritahu suami kalau boleh nak terapkan amalan solat berjemaah seperti arwah Abah ajar dulu. Kalau boleh juga, Rahil khatam al-quran dengan saya atau suami. Jadi, sejak mengandung kami mula belajar ilmu tajwid, bacaan dalam solat yang betul sebagai persiapan mendidik Rahil. Saat itu baru tersedar, banyak lagi kelemahan dan kekurangan. Benarlah, kadang kala teguran Allah tu dihantar melalui anak.
Begitulah jua harapan kami terhadap Rahil. Paling penting, doa kami agar Rahil membesar sebagai insan soleh dan berbakti bukan saja kepada ibu bapa atau keluarga bahkan buat masyarakat serta negara.
Kami akan memberikan pendidikan terbaik buatnya dengan sifat-sifat mahmudah yang dapat membentuk dirinya ke arah kesempurnaan hidup di duniawi dan ukhrawi. Kami juga sepakat untuk memberi kebebasan kepada Rahil untuk memilih minatnya sendiri dalam kerjaya,” kongsi Ida yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi.
Pasangan ini bernikah pada 5 Februari 2016 serta memilih tema Bollywood dan tradisional Melayu untuk majlis resepsi.
Kredit Foto: Instagram @ida_deqda & @ruzaini.jamil
Pernah Bergelar Ratu Cantik, Pelakon Terbaik & Kini Pensyarah VANIDAH IMRAN Menawan Di Usia 47

Vanidah Imran bukan suatu nama yang asing dalam dunia seni. Bakat seni yang ada dalam dirinya tidak bersandarkan rupa paras semata-mata. Mempertaruhkan filem sulungnya, Putera arahan Zulkifli M. Osman dengan memegang watak sebagai Wan Nuraini nyata Vanidah tidak sia-sia memulakan kerjaya seni seawal usia 21 tahun.

Usai menjayakan filem ini langkah wanita yang berbakat besar sebagai pengacara ini semakin laju merencana perjalanan karier seninya. Lakonan Vanidah Imran diiktiraf sehingga pernah menggondol Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 pada tahun 2007 menerusi filem The Red Kebaya.

Memulakan kerjaya sebagai anak seni membuatkan Vanidah Imran terpaksa melupakan bidang pendidikan buat sementara. Bila sudah tiba ‘masanya’, wanita kelahiran Pulau Pinang ini nekad meneruskan cita-cita mengejar impian mengenggam segulung ijazah yang telah ‘ditinggalkan’. Kagum dengan semangat Vanidah kerana berjaya membuktikan usia bukan penghalang untuk mengejar cita-cita.

Vanidah juga berjaya membuktikan wanita memang hebat dalam multitasking. Sewaktu masih bergelar isteri dan tawaran seni yang tidak pernah putus, Vanidah tetap mampu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Empat tahun ‘berjuang’ membahagikan masa di antara keluarga, kerjaya dan pelajaran akhirnya bekas pelajar sekolah Convent Bukit Nanas ini berjaya memperoleh Ijazah Bahasa Inggeris di Universiti Terbuka Malaysia.

Benar kata orang hendak seribu daya tak nak seribu alasan. Kini wanita yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-48 pada bulan Oktober nanti telah mengapai impiannya bergelar pensyarah. Khabarnya Vanidah telah bergelar pensyarah separuh masa di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Vanidah juga difahamkan kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Seni Persembahan Drama di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Dikurniakan wajah klasik, Vanidah juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 1993 ketika berusia 20 dan berjaya merangkul tempat kedua (First Runner-Up). Dalam pertandingan ratu cantik itu wanita yang berketurunan India-Jawa ini turut memenangi gelaran Miss Photogenic.



Bergelar ibu tunggal, sebelum ini Vanidah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Rashidi Ishak namun bercerai pada Ogos 2018 selepas 17 tahun berkahwin. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran, 20 tahun dan Maryam Rashika, 17 tahun.



Melihat foto yang dikongsikan oleh Vanidah di laman media sosial semasa menyambut Syawal baru-baru ini kelihatan anak-anaknya sudah membesar dan seperti adik-beradik sahaja lagaknya. Nampak awet muda sungguh Vanidah, mungkin salah satu sebabnya adalah kerana mengamalkan gaya hidup dan kerap berlari.


Anak Perempuan Pengasas Kosmetik Dnars Skincare Bertunang, Cantik Siap Pelamin Morocco Style!

Suka bercampur rindu, itulah momen anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare ketika bertunang, cantik majlisnya siap pelamin Morocco Style!
Bersatu hati dalam satu majlis, ikatan pertunangan tanda janji yang manis. Mengintai kemeriahan majlis bertunang Irdina Hakim Jasman atau Dnar, terserlah riak wajah gembiranya menjelang hari bahagia yang berlangsung pada Jumaat, 11 Oktober 2024.
Bertempat di kediaman ibu, Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan, seluruh suasana mahligai itu bertukar wajah.
Selain dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat, majlis bertunang dan menyarung cincin ini dihias indah dengan panel kerawang ukiran kayu bercorakkan Timur Tengah dan bunga-bungaan putih.







Suka bercampur rindu, itulah momen anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare ketika bertunang, cantik majlisnya siap pelamin Morocco Style!
Persis majlis perkahwinan sebenar, perunding dekorasi majlis bijak menghias pelamin mengikut permintaan Dnar.
“Pelamin Dnar pilih ni ialah Morocco Style jadi takde yang dah ready untuk barang-barang ni sebab jarang orang buat.
Tapi Dnar request dengan Awie D Pesona Bridal dan mereka custom semua termasuk ukiran. Semua Dnar serahkan kepada mereka, cuma maklumkan tema dan warna.
Dnar dan pasangan bayar RM6,000 saja untuk pelamin ni sebab kami dah ada baju dan buat mekap sendiri. Sebenarnya pelamin ni sesuai untuk kahwin tau, cantik dan eksklusif,” kongsi Dnar sambil mempelawa bakal pengantin di sekitar Kelantan mendapatkan pelamin yang sama pada harga RM7,500 (pakej penuh).
Namun paling meruntun kenangan, adalah sekeping gambar Dnar disamping Allahyarhamah ibu tercinta yang dibingkai kemas berdekatan pelamin.
‘And I always need you till my last breath when I’m getting older.’



Ringkas tulisan Dnar menggambarkan rindu yang tertahan. Sebagai anak kedua dan anak perempuan sulung dalam keluarga, beliau diuji kehilangan figura seorang ibu ketika usia baru mencecah belasan tahun.
Kini berusia 21 tahun, Dnar bangkit daripada kesedihan menyambung legasi jenama kosmetik DnarsSkincare tinggalan Allahyarhamah Faziani Rohban. Pengasas hebat itu meninggal dunia pada Mei 2019 akibat nahas kemalangan jalan raya.
Memiliki raut wajah yang saling tak tumpah seperti ibu tersayang, adik kepada Iqbal Hakim itu aktif berniaga menggunakan platform media sosial.
Mengimbau kenangan sewaktu Allahyarhamah ibunya menjadi penghias kulit depan Majalah Nona edisi Mei 2016, mendedahkan nama jenama kosmetik Dnars dipilih bersempena singkatan nama Irdina sendiri.
BAHAGIA
Mengikat tali pertunangan selama 6 bulan, majlis pernikahan Dnar dan pasangannya dijangka berlangsung pada April 2025.
“Terima kasih untuk 5 tahun 9 bulan 12 hari perkenalan, my life isn’t complete but you did it perfectly.
Doa ini dilangitkan di tanah suci-Mu pada 17/8/2024 dan Kau mempermudahkan segalanya pada 11/10/2024. Alhamdulillah untuk fasa ini dan bismillah untuk fasa ke seterusnya.”



Menyifatkan jejaka pilihan hatinya sebagai lelaki terbaik dan paling memahami, Dnar sempat menitipkan pesan bahawa setiap manusia layak dicintai.
“Usah downgrade diri demi lelaki, usah juga merayu-rayu atau memilih lelaki terlalu kaya kerana dia akan membuang awak sesuka hati. Apa yang Dnar cerita ni ikut pengalaman sendiri.”
Sempena majlis pertunangan tersebut, Dnar memilih sepasang dress labuh rona krim dengan sulaman emas rekaan pereka fesyen Kashfi Zulkufli. Wajah ayunya di tatarias oleh jurusolek artis, Amy Hana bertemakan Arabic look, menyempurnakan tema majlis dengan konsep serupa.
Semoga bahagia mengiringi kedua-dua bakal mempelai. Adat berdarah manis, bersabarlah meniti pelbagai ujian semoga ikatan jodoh berpanjangan hingga ke jenjang pelamin. Tahniah Dnar!
Masih terkenang kemesraan Allahyarhaman Faziani Rohban sewaktu team Nona bertamu ke kediaman miliknya di Kelantan, jom saksikan video house tour ini…
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/hilang-figura-ibu-usia-15-irdina-bawa-semangat-faziani-rohban-sambung-legasi-dnars/