Terpaku dibuatnya apabila mendengar titah ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bersempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini. Setiap bait dan tutur kata Baginda jelas serta terang.
Sekaligus membuatkan khalayak terpikat dengan suara Tengku Permaisuri Selangor. Terubat rindu nak dengar Baginda baca berita!
Berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam pada 18 November lepas, DYMM Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-98 tersebut.
Baginda yang mengenakan persalinan tradisi kurung rona biru gelap dan bertudung bawal tampil anggun berseri. Ditambah dengan aksesori rantai leher mutiara yang melengkapkan lagi pesona Baginda.
Dalam titah ucapan, Baginda menyeru agar semua institut pengajian tinggi (IPT) menyediakan program yang dapat membentuk pembangunan bakat dan sahsiah graduan secara langsung dengan dunia sebenar.
Baginda yang juga Pro-Canselor UiTM bertitah, universiti perlu memberi ‘kepercayaan’ kepada pelajar untuk memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan mereka kepada komuniti.
Tegas baginda, perlu diakui bahawa pembangunan bakat merupakan elemen penting dalam membantu meningkatkan ekonomi negara.
Oleh itu juga, Baginda mahu agar sistem pendidikan negara mempunyai keupayaan menghasilkan modal insan berkualiti serta berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.
Baginda turut berbesar hati apabila Kementerian Pendidikan Tinggi telah memperkenalkan Service Learning Malaysia – Universiti For Society atau SULAM dengan menyediakan ruang kepada pelajar untuk memperkembangkan idea mereka kepada komuniti melalui kaedah Pembelajaran Menerusi Pengalaman.
Semasa istiadat pertama hari ini, Baginda berkenan menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang dan sarjana kepakaran perubatan kepada 125 graduan.
Istiadat konvokesyen itu turut dihadiri sembilan orang alumni terawal UiTM, yang dahulunya dikenali dengan Dewan Latehan RIDA dari tahun 1959 hingga 1967.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/pembaca-berita-wanita-pertama-berhijab-di-kaca-tv-pesona-azura-abdul-karim-anggun-usia-55/