Kisah kunjungan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini ke kilang PS Poly Pack Sdn Bhd dan PS Food & Beverage Sdn Bhd diusahakan Ir Mohd Zain Harun dan keluarga di Klang, Selangor mencuri perhatian ramai dan tular di media sosial.
Tun Mahathir memuji usaha dan kesungguhan pemilik empayar perniagaan berkenaan hinggakan pujian dan perkongsiannya dikongsi ramai serta diungkap semula. Bahkan beliau begitu kagum dengan inisiatif dan gerak kerja dilakukan operasi kilang diusahakan sejak 2010 itu hingga tidak sedar hampir tiga jam masa berlalu saat kunjungan dilakukan.
Untuk rekod, PS Poly Pack Sdn Bhd merupakan syarikat yang berada di belakang tabir mengubah landskap pek pembungkusan cecair dari botol kepada pek pembungkusan fleksibel, atau lebih dikenali dulu dengan pek isian semula atau ‘refill’.
“Kilang ini mengeluarkan ‘flexible packaging dan polyethylene film/bag’. Banyak mesin canggih digunakan dalam inovasi pembungkusan di kilang ini. Antaranya, Rotogravure Printing Machine, Printing Inspection Machine, Blow Film Machine, Bag Making, Slitting, Cutting, Dry Lamination Machine dan lain-lain,” ujar Tun Mahathir.
Tun Mahathir juga menambah, kaedah pembungkusan di zaman sekarang semakin ke hadapan.
“Dahulunya kita banyak guna botol, umpamanya barangan berair atau minyak, peluntur, susu, jus, kopi, buah kering semuanya dibotolkan. Ini tidak berkesan dari segi ruang dan berat kerana botol itu sahaja punyai jisim tersendiri. Lagi banyak botol, lebih banyak kotak diguna kerana fizikal botol itu sendiri telah memenuhi ruang.
“Tetapi dengan adanya kaedah pembungkusan yang moden dan fleksibel ini, ia menjimatkan ruang, selamat dan jimat kos,” katanya lagi.
Tun M turut menjelaskan, kilang berkenaan bukan sekadar membuat bungkusan kepada syarikat multinasional untuk lebih kurang 80% jenama global barangan harian dalam pasaran yang terbukti digunakan oleh jutaan pengguna Malaysia.
Tambahnya, satu lagi inovasi yang ditunjukkan ialah makanan jenis Meal Ready-to-Eat (MRE).
“Ini biasanya digunakan oleh pasukan polis atau tentera semasa operasi atau pengembara. Selalunya makanan siap masak di dalam bungkusan ini perlu dipanaskan semula mengguna gelombang mikro, oven atau dapur gas.
“Tetapi ada cara baru yang lebih mudah. Mereka perkenal teknik dengan guna bahan ‘carbide’. Makanan siap masak dibungkus dalam ‘pouches’ boleh dipanaskan dengan hanya menuangkan air ke atas sebungkus ‘carbide’ tadi.
Dalam pada itu, Tun Mahathir menyebut sebenarnya begitu banyak bidang yang boleh diteroka terutama industri pembungkusan ini.
“Kita hanya perlu kuasai cara mengguna mesin, komputer, aplikasi moden dan perisian. Jika kita berjaya kuasai bidang ini, pendapatannya begitu lumayan.
“Saya ucap tahniah kepada Ir. Mohd Zain atas keberanian dan kejayaan menguasai industri sedemikian. Saya harap semangat beliau dijadikan contoh pengusaha lain. Semoga syarikat ini terus maju dan membesar di masa hadapan. Selamat Maju Jaya,” katanya.
Sementara itu, Fatin Diana yang merupakan Pengasas Origina juga begitu terharu dengan kata kata dan suntikan semangat diberikan Tun M.
“Saya membesar dengan melihat ketokohan dan kepimpinannya selama ini.
Beliau dikenali sebagai “Bapa Pemodenan” di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.
“Tentunya momen indah bersua muka atas kunjungan hormat itu satu detik berharga yang saya takkan lupa sampai bila-bila,” kata Fatin Diana.
Pengasas produk minuman Origina dan BioWonders itu turut teruja memaklumkan perkembangan terbaharu legasi perniagaannya.
“Malaysia Football League (MFL) mengumumkan syarikat minuman Origina sebagai penaja baharu TM Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023 bermula 26 Oktober lalu.
“Dengan pengumuman ini, Origina akan menjadi pembekal rasmi minuman jus dan susu untuk Liga Malaysia. Minuman Origina dihasilkan untuk menghilangkan dahaga, dan memberi manfaat berganda sesuai untuk kanak-kanak hingga ke dewasa.
“Kami berharap Origina akan menjadi minuman ideal membantu menyegarkan bukan hanya pemain bola sepak malah atlet negara supaya komited semasa latihan intensif dalam meningkatkan tahap prestasi permainan mereka,” kata Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Origina itu.
Fatin turut memberitahu jenama minuman diusahakannnya juga diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pek Express Meals untuk seluruh anggota polis di serata Malaysia yang bertugas semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November lalu.
Turut hadir pada majlis bermakna itu tenaga kerja syarikat berkenaan iaitu Mohd Aliff Mohd Zain (Pengarah PS Poly Pack), Adilah Shuib (Pengurus Besar), Dr Siti Fatimah Zaharah Zulkapli (Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah PS Medipack Sdn Bhd) dan Wan Syakirah Mohd Rasdi (Ketua Pegawai Komersial).
This website uses cookies.