Kehadiran membawa pelbagai pengertian kepada setiap umat Islam. Namun, kehadiran Ramadan tahun ini sedikit berbeza daripada tahun-tahun yang sebelumnya kerana masyarakat dunia telah diserang pandemik COVID-19. Semoga semua umat Islam terus tabah dengan ujian ini dan mampu melakukan ibadah puasa dengan lebih baik lagi.
Selebriti Elfira Loy juga turut merasai perbezaan berpuasa tahun ini sementelah ini merupakan tahun pertama berpuasa dengan anak sulungnya yang comel itu. Tetapi, Elfira tetap positif dan berusaha melakukan Rukun Islam yang ketiga ini.
“Pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Semoga kita terus kuat diuji. Sebetulnya saya memang teruja pada awalnya dengan kehadiran Ramadan. Maklumlan Ramadan lalu, saya berpuasa dalam keterbatasan itu dan ini kerana hamil.
Tapi kita didatangi ujian virus ini. Tak mengapa, kita tak perlu bersedih sangat. Kita raikannya dengan cara bersederhana. Apa yang lebih utama dapat berbuka puasa, bersahur, bertarawih dan banyak lagi amalan lain bersama keluarga,” kata ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf yang kini berusia enam bulan.
“Saya sebenarnya rasa gembira kerana PKP ini telah membuka ruang untuk saya sekeluarga lebih dekat dan akrab dengan anak. Tak terasa pun PKP sudah melepasi tempoh lebih sebulan.
Sebelum ini masing-masing sibuk dengan kerja jadi, masa berkualiti bersama keluarga itu tak banyak. Malah saya sendiri suka untuk melihat proses tumbesaran anak di depan mata. Ia nikmat dan patut dinikmati,” ujar isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar ini.
Wajah Elfira menjadi ceria serta-merta apabila bercerita tentang perkembangan anak kesayangannya itu. “Nikmat jadi ibu begitu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tanggungjawab itu bukan mudah tapi, saya terus cuba menyesuaikan diri.
Kehadiran anak mengubah kitaran hidup saya. Dulu masa Rayyan baru lahir, saya macam tak percaya sudah jadi mak. Pernah masa dodoikan dia saya tersasul bahasakan diri sebagai kakak. Apabila diingat balik momen itu, memang nak tergelak,” tutur Elfira berkongsi kegembiraan sebagai seorang ibu yang teruja melihat anaknya sudah boleh merangkak ketika ini.
Nampaknya kehadiran Ramadan tahun ini telah membuka pintu rezeki lebih luas buat Elfira. Artis bertudung yang memiliki seramai 4.8 juta pengikut di laman Instagram ini telah disunting oleh jenama tudung popular, Buttonscarves dari Negara Seberang untuk menjalankan kerjasama. Mungkin rezeki anak agaknya, kan Elfira.
Dikhabarkan, hasil daripada jualan koleksi tudung The Maharani Series ini akan digunakan untuk membantu mangsa COVID-19 di Indonesia dan Malaysia.
This website uses cookies.