Baru-baru ini pemuzik, komposer dan penyanyi MonoloQue memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan upacara Jejak Tanah anak lelaki tunggal mereka, Gema Lela Bimasakti. Tidak ketinggalan, isterinya Dahlia Nadirah turut berkongsi momen upacara itu di Instagramnya.
Biarpun mengamalkan gaya hidup moden namun pasangan suami isteri ini juga ‘obses’ dengan unsur klasik dan tradisional. Salah satunya ialah adat Jejak Tanah yang menjadi tradisi keluarga mereka. Malah, nama anak-anak mereka juga unik serta klasik iaitu Anggerik Dang Jelita, Seroja Dewi Harapan, Melor Pelangi Merdu dan Gema Lela Bimasakti.
Secara dasarnya, upacara Jejak Tanah dilakukan sebagai lambang seorang bayi itu bakal memulakan langkah dalam kehidupan. Bayi tidak dibenarkan memijak tanah sehingga genap umur setahun. Itu antara pantang larang yang sehingga kini masih diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu Rao atau sinonim dengan Melayu Rawa.
Menurut perkongsian MonoloQue, mereka sekeluarga masih memastikan adat Jejak Tanah ini diteruskan dari generasi ke generasi.
“Kami sekeluarga memang turun temurun masih memastikan adat “urang Rao” yang telah diturunkan dari generasi ke generasi sejak nenek moyang diteruskan jua dalam era globalisasi kini.
“Yang istimewa kali ini kerana meraikan seorang putera, saya dulu pun ber”jejak tanah” Kira lengkaplah satu kitaran hidup, Alhamdulillah.
“Kalau ikut Mak saya, dulu-dulu upacara Jejak Tanah lagi meriah lagi lagi kalau putera. Ada naik kuda pergi ke sungai, ada tembakan berdas das meriam atau senapang dan banyak lagi. Jadi untuk upacara Gema Lela kali ini kami cuba dekatkan jurang kegemilangan itu diiringi Bonang, Saron dan Gong Ibu (terima kasih Sanggar Seni!) Alhamdulillah, upacara cukup sifatnya!”
MonoloQue berharap tradisi keluarga ini teruskan di abad seterusnya dan Gema Lela Bimasakti lebih bersedia menghadapi cabaran dalam kehidupan.
“Semoga adat budaya ini diteruskan lebih ramai terutamanya buat keluarga kami di abad seterusnya nanti, dan semoga Gema Lela Bimasakti kini bersedia menghadapi pancaroba dunia yang fana ini! Amin”
Menjengah di Instagram isterinya, Dahlia Nadirah yang merupakan pengasas jenama SO.LEK Cosmetics dan Gempikat, berkongsi momen-momen upacara yang dilakukan.
“Alhamdulillah rasa lega teramat selesainya sudah upacara Jejak Tanah anak lelaki kami. Hampir 11 bulan, kami amat jaga Bimasakti dengan rapi. InsyaAllah Bima can finally touches flowers, daun dan jejak kakinya ke tanah & rumput.
“Ia dimulakan dengan Bima dan saya diring masuk. Bima yang lengkap berbaju Melayu bersama keris kecil dijejak kakinya ke atas bunga dan daun, kemudian dijejak 3 pusingan sambil dibaca selawat.
“Selepas itu, Bima diberi 3 pilihan pulut kuning, beras dan bertih jagung (Bima chose pulut kuning). Selepas selawat, Bima dijejak 3 pusingan lagi sebelum dicalit dengan kunyit. Selepas itu, Bima disiram dengan air limau. Untuk penutup, Bima diberi makan pulut kuning, wajik dan ayam. Alhamdulillah.
“To those who are wondering what’s Jejak Tanah, well basically.. upacara ini diadakan semasa bayi berumur 11 bulan atau 12 bulan dan sudah pandai berjalan. Selagi upacara belum diadakan bayi tidak dibenarkan sama sekali memegang bunga, memijak tanah dan ada sesetengahnya juga percaya bayi tidak boleh memakan ayam dan memakai perhiasan yang diperbuat daripada emas. Jika berbuat demikian ditakuti bayi akan menjadi lemah dan sering sakit atau mengalami gangguan mental dan fizikal. And during upacara, bayi hendaklah memakai warna kuning.”
Semoga Gema Lela Bimasakti membesar menjadi seorang anak soleh, cekal menghadapi cabaran hidup serta berjaya di dunia mahupun akhirat.