Baru-baru ini pemuzik, komposer dan penyanyi MonoloQue memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan upacara Jejak Tanah anak lelaki tunggal mereka, Gema Lela Bimasakti. Tidak ketinggalan, isterinya Dahlia Nadirah turut berkongsi momen upacara itu di Instagramnya.
Menurut perkongsian MonoloQue, mereka sekeluarga masih memastikan adat Jejak Tanah ini diteruskan dari generasi ke generasi.
“Kami sekeluarga memang turun temurun masih memastikan adat “urang Rao” yang telah diturunkan dari generasi ke generasi sejak nenek moyang diteruskan jua dalam era globalisasi kini.
“Yang istimewa kali ini kerana meraikan seorang putera, saya dulu pun ber”jejak tanah” Kira lengkaplah satu kitaran hidup, Alhamdulillah.
“Kalau ikut Mak saya, dulu-dulu upacara Jejak Tanah lagi meriah lagi lagi kalau putera. Ada naik kuda pergi ke sungai, ada tembakan berdas das meriam atau senapang dan banyak lagi. Jadi untuk upacara Gema Lela kali ini kami cuba dekatkan jurang kegemilangan itu diiringi Bonang, Saron dan Gong Ibu (terima kasih Sanggar Seni!) Alhamdulillah, upacara cukup sifatnya!”
“Semoga adat budaya ini diteruskan lebih ramai terutamanya buat keluarga kami di abad seterusnya nanti, dan semoga Gema Lela Bimasakti kini bersedia menghadapi pancaroba dunia yang fana ini! Amin”
Menjengah di Instagram isterinya, Dahlia Nadirah yang merupakan pengasas jenama SO.LEK Cosmetics dan Gempikat, berkongsi momen-momen upacara yang dilakukan.
“Alhamdulillah rasa lega teramat selesainya sudah upacara Jejak Tanah anak lelaki kami. Hampir 11 bulan, kami amat jaga Bimasakti dengan rapi. InsyaAllah Bima can finally touches flowers, daun dan jejak kakinya ke tanah & rumput.
“Selepas itu, Bima diberi 3 pilihan pulut kuning, beras dan bertih jagung (Bima chose pulut kuning). Selepas selawat, Bima dijejak 3 pusingan lagi sebelum dicalit dengan kunyit. Selepas itu, Bima disiram dengan air limau. Untuk penutup, Bima diberi makan pulut kuning, wajik dan ayam. Alhamdulillah.
Semoga Gema Lela Bimasakti membesar menjadi seorang anak soleh, cekal menghadapi cabaran hidup serta berjaya di dunia mahupun akhirat.
This website uses cookies.