“The Best Feeling Ever!” IBU ANAK 6 Ini Kongsi Pengalaman Bersalin & Rahsia Kekal Cantik

Anak -anak merupakan pelengkap dan penyeri dalam rumahtangga. Dikurniakan anak yang ramai dianggap satu kurniaan rezeki yang harus disyukuri. Setiap karenah anak-anak umpama ‘hiburan’ yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pemilik Nailsmith Spa & Bar, Nikky Azura atau lebih mesra disapa sebagai Nikky dianggap bertuah kerana dikurniakan enam orang anak (termasuk kembar) yang comel dan bijak hasil perkahwinannya dengan suami tercinta, Erwan Dato’ Azizi.

Enam anaknya turut diberikan nama yang unik iaitu Idris Shah Petra (9 tahun), Ratu Adinda (8 tahun), Iman Ivanna dan Iman Ivanya (kembar) berusia 7 tahun, Ratu Adara Lima (4 tahun) dan Mohammad Shah Petra (11 bulan).

Apa yang mengagumkan walaupun memiliki enam anak, Nikky berjaya mengekalkan bentuk badan yang langsing serta menjaga kecantikan luar dan dalam.

Dalam usia 36 tahun Nikky yang memiliki ketinggian 160cm punya berat badan yang ideal iaitu 49kg.

KEKAL CANTIK & LANGSING

“Saya berkahwin pada usia 26 tahun. Sejak dulu saya memang seorang yang menjaga kesihatan dan kecantikan. Saya mengamalkan minum air suam setiap hari. Rutin ‘wajib’ ialah minum sebelum tidur dan ketika bangun pagi.

Air manis pula kalau ambil pun hanya jus epal, oren dan lobak. Saya akan minum sebelum makan dan setengah jam selepas selesai makan. Saya elakkan minuman bergula termasuk yang berais.

Untuk penampilan, walau sesibuk manapun menjaga keperluan suami dan melayan karenah anak-anak setiap hari saya akan pastikan sentiasa kelihatan kemas dan cantik. It is all about the effort. I want to feel good about myself. Bagi saya a happy mother makes a happy family.

MOMEN LUCU KETIKA BERSALIN

Ketika melahirkan anak bongsu ada momen lucu berlaku. Saya sempat tertawa sewaktu hendak meneran. Masih terbayang bagaimana raut wajah saya ketika itu. Jururawat juga terkejut dan secara spontan mereka turut tertawa.

Semasa hamil anak kembar pula perut saya sangat besar dan berat! Namun dengan izinNya saya dapat melahirkan anak kembar secara normal walaupun pada mulanya saya sangat panik dan takut. Nikmat yang tak dapat diluahkan dengan kata-kata. The best feeling ever!

Alhamdulillah semua anak dilahirkan secara normal dan sangat mudah. Tiada pengalaman ngeri sepanjang mengandung atau melahirkan mereka. Cuma seperti ibu-ibu hamil lain saya turut mengalami simptom di trimester pertama seperti mabuk dan muntah, tiada selera makan serta susut berat badan. Bila tiada selera makan saya rasa stres dan sedih sebab saya suka makan.

CARA DIDIKAN

Walaupun saya dan suami tegas dengan anak-anak tetapi kami sangat penyayang dan involved dalam kehidupan mereka. Kami anak beranak juga sangat rapat. Saya dan suami sentiasa ingatkan anak-anak agar saling menghormati termasuk terhadap orang yang lebih tua, orang sekeliling, rakan-rakan dan haiwan.

Setiap malam saya dan suami akan bergilir-gilir membaca bedtime stories kepada anak-anak. Sebelum tidur kami akan ucap I Love You kepada mereka. We love our get together time too. We laugh a lot, act silly and eat our favourite food. Food keeps us together.

Setiap petang adalah waktu riadah mereka seperti bermain bola, scooter, badminton dan berenang. Saya melarang mereka bermain iPad atau menonton TV pada hari sekolah.

RAGAM ANAK-ANAK

Saya dan suami melayan anak-anak sama rata kerana mahukan yang terbaik buat mereka. Semua anak mempunyai ragam masing-masing. Anak sulung sangat protective terhadap adik-adiknya dan akan pastikan mereka sentiasa selamat. Anak kedua pula terlalu mengambil berat dan ringan tulang. Saya dah boleh harapkan dia untuk apa saja kerja di rumah atau di luar.

Detik mencabar selalunya ketika menyediakan makanan. Masing-masing ada makanan kegemaran. Sebagai ibu saya akan masak makanan kegemaran mereka itu. Tapi kalau ada makanan yang mereka tak suka, mereka tetap akan makan.

Satu lagi cabaran ialah ketika anak tak sihat atau berlaku detik cemas. Saya pernah ada pengalaman anak demam panas dan terjatuh ketika bayi. Saya mudah rasa cemas dan sedih. Bila anak ramai, kalau seorang sakit semua akan sakit terutama semasa kecil dulu.

IBU SUMBER INSPIRASI

Ibu saya seorang yang tegas dan penyayang. Cara saya mendidik anak-anak serupa seperti ibu seperti menghormati orang lain dan tidak meninggalkan solat. I really had a good childhood day.

Kami mendoakan anak-anak berjaya dalam kehidupan, sentiasa sihat, berakhlak mulia serta menjadi anak yang soleh dan solehah. Kami juga sentiasa sokong apa jua minat mereka. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan sempurna.

Saya bersyukur kerana memiliki anak-anak yang sihat dan ceria juga rezeki. Saya juga gembira kerana anak-anak sudah pandai membaca Al Quran termasuk membantu saya di rumah tanpa perlu disuruh,” akhiri Nikky atau nama sebenarnya, Nik Azura Nik Aminaldin.

Kredit Foto: Instagram Nikky Azura

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad