Siri The Crown musim ke-5 kini menjadi topik perbualan hangat di laman sosial. Daripada barisan pelakon yang berwajah baru sehinggalah kepada plot cerita yang dikatakan bakal memusnahkan sistem monarki Britain, pelbagai perspektif yang dilontarkan berkaitan musim terbaru ini.
Namun, kita tolak ketepi dahulu perihal kontroversi tersebut. Fokuskan mata anda kepada setiap rekaan yang membaluti tubuh Puteri Diana yang dilakonkan oleh Elizabeth Debicki, setiap satu persalinannya sentiasa membuatkan penampilannya mahal dan menarik.
Puteri Diana Spencer yang dikenali sebagai ikon fesyen seringkali berjaya mencuri tumpuan umum dengan gaya fesyennya. Ada kalanya, fesyennya tampak santai dengan t-shirt polo polos bersama seluar denim. Ada harinya juga, dia memakai gaun labuh mewah dan eksklusif. Diana sering kali mendapat sentuhan hebat pereka Catherine Walker dan Versace. Ternyata, gaya fesyennya tidak pernah ditelan zaman.
Dari gaya jalanan yang bersahaja sehingga rekaan gaun cantik dipanggil ‘revenge dress’, ini adalah antara pilihan ikonik gaya fesyem Puteri Diana yang boleh anda jadikan rujukan dalam penggayaan anda.
Ketika ini, usianya baru sahaja 19 tahun dan Diana masih menjalani kehidupannya seperti orang biasa. Namun, kehidupannya sudah mula berubah sedikit demi sedikit apabila dia dalam proses mengenali Price Charles. Dikejar paparazzi, Diana tampak begitu elegan dengan jaket baldu rona merah bersama dengan beg tangan sebagai aksesori tambahan. Mencedok inspirasi gaya formal, dia gayakan bersama skirt jenis pinstripe untuk melengkapkan gaya hariannya.
Mana mungkin masyarakat dunia melupakan gaya fesyennya ini. Sut biru muda ini digayakan olehnya untuk foto pertunangannya bersama Putera Charles. Sut yang dibeli dari Bellville Sassoon merupakan pilihan terakhirnya saat dia ingin mencari rekaan yang sesuai untuk disarungkan pada sesi mengambil gambar foto pertunangannya. Ternyata, Diana kelihatan ayu dan manis dalam rona biru.
Gaun perkahwinan Diana ketika ini mendapat liputan seluruh media dari setiap negara. Ia juga menghasilkan sebuah gaya baru dalam rekaan gaun perkahwinan pada era itu. Perincian ‘ruffle’ di bahagian kolar serta potongan ‘veil’ yang dramatik hasil dari cetusan idea Elizabeth dan David Emanuel, gaun perkahwinannya semestinya mencipta sejarah baru dalam diari dunia fesyen.
Puteri Diana tampil menawan dan anggun dalam gaun baldu rona seakan-akan buah plum ini menghadiri tayangan perdana Back to the Future pada tahun 1985. Meskipun tampak biasa pada bahagian depan rekaan ini, namun potongan dramatik di bahagian belakang memberi sebuah gaya yang tidak bisa dilupakan. Apa yang menariknya, tambahan aksesori rantai mutiara yang dibiar gantung bersahaja sehingga ke bawah melengkapkan gaya klasik si puteri kesayangan ramai ini.
Gaun pendek rona hitam ini popular dengan gelaran ‘revenge dress’. Sebaik sahaja Putera Charles mengakui tentang hubungannya bersama Camilla Parker Bowles, kisah curangnya ini menberi kesan kepada Diana sehingga dia memutuskan untuk menyarungkan rekaan gaun ini tanda kekentalan hatinya menangani isu tersebut. Menghadiri majlis gala di Serpentine Gallery, London, gaya ikonik ini mencuri tumpuan tetamu yang hadir. Rekaan dress yang menampakkan bahunya serta ditambah dengan potongan perincian fabrik chiffon meleret panjang, dengan padanan rantai bersama kristal biru, Puteri Diana tidak pernah silap dalam gaya fesyennya.
Santai dan bersahaja. Puteri Diana yang hanya memakai baju panas bersama seluar basikal pendek dan digayakan dengan kasut sneakers memberi inspirasi kepada gaya fesyen hari ini. Paparazzi menangkap foto Diana saat dia keluar meninggalkan Chelsea Harbour Club, London.
Amat jarang sekali melihat Puteri Diana dalam rekaan rona merah jambu. Namun, rekaan sut Versave ini menyerlahkan sisi seorang puteri dalam dirinya apabila menyarungkannya saat lawatan rasmi ke Argentina.
Jika dilihat setiap satu gaya fesyen Puteri Diana ini, kebanyakkan gaya bersahajanya amat menarik untuk dijadikan rujukan. Hanya dengan kemeja putih biasa lengan panjang bersama dengan seluar denim ‘high-waist’ serta tali pinggang kulit rona tanah, memberikan sentuhan ‘chic’ dan kemas.
Saat menghadiri Anugerah Fesyen Britain yang pertama kali diadakan di Royal Albert Hall London, bagaikan seperti seorang bidadari, Puteri Diana memakai ‘cropped’ jaket rona putih dan juga gaun putih yang disulami dengan butiran manik memenuhi seluruh rekaan ini. Rekaan dari Catherine Walker ini menjadi simbol ‘haute-couture’ apabila rekaan di bahagian lehernya sedikit dramatik dengan kolar berstruktur tinggi.
Sentiasa memahami konsep budaya setiap negara yang dilewatinya, Puteri Diana tidak kekok menggayakan turban dalam kunjungan rasminya di negara Dubai. Lengkap gaya formalnya dengan sut rona putih dan biru, Puteri Diana tampak kemas dan anggun. Ditambah pula dengan gaya topi bersama turban yang digayakan oleh Philip Somerviller, semuanya seperti cukup rasa.
This website uses cookies.