Terharu melihat muat naik terkini ibu kepada Allahyarham Ashaf Sinclair, Dida Sinclair mengenai sambutan Hari Raya keluarganya minggu lalu. Mana tidaknya, meskipun Allahyarham Ashraf sudah tiga tahun kembali ke Rahmatullah, kasih sayang terhadap menantunya, Bunga Citra Lestari tetap utuh.
Meskipun berjauhan, kasih sayang seorang mentua untuk anak menantu tidak pernah terpisah dari keperibadian ibu kepada tiga orang anak ini. Malah anak perempuan serta dua menantunya dianggap sama seperti anak sendiri dan menyayangi mereka tanpa berbelah bahagi. Itulah kasih sayang sebenar naluri seorang wanita bergelar ibu!
Meskipun tahun ini tidak dapat meraikan lebaran bersama-sama, namun Dida atau nama sebenarnya Khadijah Abdul Rahman bersyukur dapat meraikan lebaran bersama dua lagi anaknya iaitu Aishah Sinclair sekeluarga serta Adam Sinclair bersama isterinya, Yuna. Tahun ini Yuna pulang ke tanahair meraikan lebaran bersama keluarga tersayang.
Hubungan kekeluargaan antara mereka sememangnya utuh meskipun berada di negara berbeza.
“Waiting to be together with Bunga, InshaaAllah they are my 3 angels. Aamiin”– ujar Khadijah dalam muat naik di Instagram miliknya sempena kedatangan 1 Syawal minggu lalu.
Tahun ini, keluarga ini berkumpul meraikan Aidilfitiri di kediaman keluarga yang terletak di Kuala Lumpur. Meskipun beraya di ibukota, kemeriahan Syawal keluarga ini dapat dilihat melalui muat naik di laman Instagram mereka yang penuh keceriaan.
Pada tahun 2020, Khadijah pernah meraikan sambutan Aidilfitri di Jakarta bersama Bunga Citra Lestari dan anaknya, Noah di mana Dida menetap selama tiga bulan untuk menemani menantunya itu.
Untuk rekod, Aishah Sinclair mendirikan rumahtangga dengan Sheikh Abdul Shahnaz pada tahun 2006 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Soraya Ann dan Aina Elisabeth. Manakala Adam Sinclair pula berkahwin dengan Yuna atau nama sebenarnya Yunalis binti Mat Zara’ai pada tahun 2018 yang lalu.