Supermodel ternama dunia dan juga bekas peragawati untuk jenama Victoria’s Secret, Naomi Campbell mengumumkan kelahiran anak keduanya yang juga bayi lelaki pada Khamis.
Menurut laporan portal media antarabangsa, kehamilannya selama ini tidak pernah dikongsi dengan orang ramai menyebabkan sebilangan besar peminat Campbell terkejut mendengar berita terbaharu yang dikongsinya di akaun Instagram peribadinya.
“Sayangku, ketahuilah sejak kau hadir dalam hidup kamu, kau sangat dihargai dan dikelilingi oleh kasih sayang. Kamu adalah anugerah sejati daripada Tuhan,” tulis personaliti berusia 53 tahun itu dalam hantaran di Instagramnya.
Kapsyen itu mengiringi gambar tangan Campbell dan anak perempuannya memegang tangan bayi yang baru lahir itu.
Agensi berita CNN juga telah menghubungi jurucakap Campbell untuk mendapatkan komen mengenai berita itu.
Sejak kelahiran anak sulung pada bulan Mei 2021, Campbell tidak banyak berkongsi kisah kehidupan peribadinya termasuk memuat naik gambar anaknya.
Bagaimanapun, tahun lalu, Campbell dan anak sulungnya membenarkan wajah mereka berdua dirakamkan untuk muka depan majalah fesyen ternama dunia, Vogue edisi Britain .
Dalam wawancara itu, dia memberitahu, sebelum ini, hanya segelintir sahaja orang yang mengetahui dia akan menjadi seorang ibu.
Hal yang sama dilakukan kali ini ketika hamil anak keduanya.
“Saya boleh bilang dengan hanya sebelah tangan saja jumlah orang yang tahu bahawa saya sedang mengandungnya (anak sulung),” katanya.
Bahkan, ketika ditanya adakah dia akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah ahli keluarganya, Campell tanpa ragu-ragu menjawab: “Kenapa tidak?”
Kepada Vogue Britain juga, Campbell menegaskan, dia “selalu tahu bahawa suatu hari nanti” dia akan memiliki seorang anak dan dalam hantaran di Instagramnya pada Khamis, perasaan yang sama diungkapnya sekali lagi.
“Tidak pernah terlambat untuk menjadi seorang ibu,” tulis Campbell. – Agensi
Sumber: ASTRO AWANI
This website uses cookies.