Satu ketika dahulu, Lynn Alkhaired sering menjadi bualan bukan sekadar bakat lakonannya yang mantap malah turut terkenal dengan jolokan nama ‘Julia Roberts Malaysia’ hanya kerana iras wajahnya yang persis aktres antarabangsa tersohor itu.
Agak lama juga kita tidak mendengar cerita tentang Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar Al Khaired atau nama komersilnya Lynn Alkhaired. Dramatis popular ini seakan ‘membisu’ seketika dari dunia seni tanahair.
Namun baru-baru ini tercetusnya kisah penghijrahan wanita berusia 45 tahun ini. Penampilannya kini lebih sopan dan manis dengan bertudung. Biarpun usianya kini mencecah 40-an namun Lynn masih kelihatan anggun serta awet muda! Keramahannya masih seperti dahulu.
Terserlah sisi bahagia yang sedang dinikmati oleh Lynn bersama keluarga. Kini bidang seni bukan lagi menjadi keutamaan buat Lynn sebaliknya dia menjadikan bidang perniagaan sebagai satu platform demi masa depan yang lebih baik.
Lynn kini sedang rancak bergelar seorang usahawan di samping menjadi ibu kepada lima orang anak iaitu Alif Ronan Yan Tzen (19 tahun), Aimaan Yaacob Merican (12 tahun), Aaron Iskandar Shah Merican (9 tahun), Aireen Ibtisam Aleexandria (7 tahun) dan Aireezlynn Humairah Azzahra (6 tahun).
Lynn kini lebih banyak menumpukan perhatiannya terhadap keluarga. Selain bergelar Pengarah di Muayfit Fitness Sdn Bhd, Lynn juga aktif mengusahakan perniagaan kek dan biskut homemade yang dilakukan secara online. Atas nama komersilnya, Dapur Lynn Alkhaired Resources menerima sambutan yang sangat menggalakkan walaupun baru diusahakan sejak setahun yang lalu.
“Bukan sudah tidak ada tawaran untuk berlakon tetapi kini saya lebih selesa bersama anak-anak yang sedang meniti usia remaja. Sebagai ibu saya rasa bertanggungjawab untuk memantau dan melihat mereka membesar di hadapan mata, di samping menguruskan perniagaan yang kian mendapat sambutan.
Dari situlah tercetusnya idea untuk melakukan perniagaan kek dan biskut secara homemade walaupun permulaannya sekadar cuba-cuba. Bukan sekadar mengisi masa terluang bahkan mengembangkan hobi serta bakat saya dalam masakan.
Sementara Muayfit Fitness, saya kembangkannya menjadi sebuah pusat kecergasan yang turut menyediakan pengurusan acara kepada mereka yang berminat. Ini pengalaman pertama saya dan idea ini tercetus daripada keadaan ekonomi kini yang kian mencabar,” kongsi Lynn.
PENGHIJRAHAN
“Ia bermula dari dalam jiwa. Saya mula kurang bersosial serta mula memikirkan tentang kehidupan. Selain itu, saya juga banyak menghadiri majlis-majlis agama. Kebetulan anak pula cenderung ke arah agama. Mungkin ini satu petunjuk buat diri saya untuk berubah menjadi seorang wanita yang lebih baik.
Selain kerap menghadiri majlis agama, saya turut membuat inisiatif sendiri pergi ke Indonesia untuk menggali ilmu agama dengan lebih mendalam. Saya tinggalkan seketika anak-anak yang masih kecil ketika itu demi mengejar ilmu akhirat.
Sejujurnya ilmu agama saya masih cetek maka sebab itulah saya mengambil tindakan sedemikian. Jiwa sentiasa tidak tenteram selagi tidak ‘mencarinya’. Di sana saya banyak bertemu dan bergaul dengan mereka yang pandai ilmu agama.
Alhamdulillah hasil usaha tersebut saya menjadi siapa diri saya sekarang. Pun begitu, saya masih Lynn Alkhaired yang dahulu, masih rapat dengan rakan-rakan lama dan baru. Cuma mungkin ada batas-batasnya mana yang boleh dan tidak. Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana Allah SWT telah membuka pintu hati saya lebih awal untuk berubah ke arah kebaikan.
Ketenangan jiwa adalah nikmat paling mahal buat saya. Kini saya lebih banyak fikirkan tentang kehidupan, diri sendiri serta keluarga. Anak-anak juga sering mendoakan saya agar terus menjadi ibu yang terbaik buat mereka. Semua ini petunjuk daripada Allah SWT untuk saya berhijrah.
Bertahun-tahun saya rasa lost dan tercari-cari. Jiwa saya bergolak dan akhirnya apabila bertudung jiwa saya merasa tenang sangat. Dan itulah sebenarnya apa yang saya tercari-cari selama ini. Biarpun perubahan ini tidak terlalu drastik semoga saya terus istiqamah.
Sebagai manusia yang lemah lagi kerdil semua orang pasti melakukan kesilapan. Kesilapan itulah ‘guru’ saya. Siapa yang tidak melakukan kesilapan itu sangat rugi. Bukan kata perlu sengaja melakukan kesilapan sebaliknya ia satu titik permulaan untuk kita belajar tentang kehidupan sebenar,” akhiri Lynn yang menjadikan Ustazah Sharifah Khasif sebagai sumber inspirasi.
This website uses cookies.