“Tiada Lagi Adegan Peluk Cium Di Mahkamah…,”- NURUL IZZAH Syukur Bapa Kembali Ke Pangkuan Keluarga

USIA 17 TAHUN NURUL IZZAH BERTINDAK DEWASA MENYAKSIKAN SAAT BAPA DITAHAN

Pembabitannya dalam dunia politik bermula sejak usianya masih muda lagi. Sebaik Datuk Seri Anwar ditahan di jeriji besi, YB Nurul Izzah Anwar memperjuangkan agenda pembebasan dan kebajikan rakyat. Anak sulung Anwar ini, sejak awal lagi mengikuti perjalanan politik bersama ibu dan ayahnya.

Malah, tidak hairanlah ibu kepada dua cahaya mata ini turut mendapat gelaran sebagai Puteri Reformasi lantaran perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.

Kesempatan bertemu dengan wanita cekal ini yang sering mengungkap kata-kata positif untuk melihat negara bebas dari belenggu permasalahan

“Hidup ini kita harus banyak bersabar. Frasa yang sering diungkapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dari TS Elliot “The Greatest Wisdom One Could Hope To Acquire Is Humanity”. Humanity Is Endless. Itulah pegangan yang menjadi tunjang dalam diri saya,” ujar Izzah.

Ini bermaksud sifat tawadduk itu tidak diambil dengan serius, tapi sebenarnya segala kehebatan, kedudukan dan pangkat hanya datang dengan izin Allah. Jika kita merasakan sesekali kita dihina, ingatlah bawah Rasulullah S.A.W tidak pernah marah jika dihina. Baginda hanya marah apabila keluarga atau teman-teman dihina.

Jadi, dalam kita melakukan sesuatu tentu kita akan berhadapan dengan cabaran. Kecekalan hati harus lahir kerana hidup ini sementara, ada hukum dan hisab yang diaplikasi dalam kehidupan. Apa yang penting, kita perlu mengejar jannah.

Sebagai kakak sulung kepada enam bersaudara, tidak dinafikan Izzah bertanggungjawab membantu ibunya menyatukan adik-beradik yang lain yang terpalit dengan memori duka ketika mereka masih kecil lagi.

“ Tidak dinafikan, saya sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menjalani kehidupan berdasarkan prinsip keadilan.

“ Nikmat bersama ayah harus disyukuri walaupun berada di sebalik jeriji besi, mahkamah mahupun di rumah. Kami bersyukur kerana papa bukanlah seorang yang cerewet dan memilih. Kalau dapat jamah kurma favorit iaitu kurma Ajwa pun sudah memadai baginya,” ujar Izzah yang teruja menyambut Aidilfitri tahun ini dengan menikmati hidangan raya bersama keluarga tercinta.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini sememangnya terkenal dengan semangat bercerita soal reformasi dan kini usaha untuk menyaksikan Malaysia menjadi negara yang lebih aman, adil dan harmoni semakin berkembang dengan semangat Malaysia Baharu yang dibawa bersama.

Sering melaungkan untuk mengubah pentadbiran negara untuk menyelamatkan ekonomi rakyat, kini usaha tersebut bakal direalisasikan dengan gabungan pentadbiran yang baharu.

Jatuh bangun Anwar dalam politik turut dilalui Nurul Izzah. Menurut anak sulung Anwar ini turut berkongsi momen hitam tragedi yang meragut kegembiraan keluarganya.

“Papa sudah lama terpisah dari keluarga mengikut fasa, hampir 10 tahun. Saya sering menganggap ia adalah dugaan dari Yang Maha Esa untuk mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan sekaligus kemelut yang dihadapi oleh rakyat.

Sebagai anak sulung, saya dan adik-beradik yang lain amat merindui papa. Semasa papa di dalam tahanan, beliau sangat optimis dan sentiasa mengukir senyuman. Tanggungjawab sebagai bapa tidak pernah diketepikan kerana beliau memahami masa bersama keluarga adalah nikmat yang harus disyukuri.

Selalunya, cucu-cucu akan rindu untuk bertemu dengan Papa Tok mereka. Tapi kini, Alhamdulillah kerinduan itu dapat diubati. Tiada lagi adegan peluk cium di mahkamah. Tetapi kini, kami semua dapat mencium tangan papa di pagi raya, di kediaman keluarga,” jelas Izzah sambil disambut dengan senyuman dari adik-beradik yang lain.

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri yang masih hangat dirasai, menurut Izzah saat bersama keluarga yang kini sudah ‘cukup kuorum’ sangat berharga untuk dikenang. Malah, suasana berbuka puasa di bulan Ramadan lalu menjadi lebih bermakna apabila dapat berbuka puasa bersama setelah beberapa tahun dinikmati dalam kesedihan dan penantian.

“Iftar sebenar pertama kami bersama-sama. Saat seperti ini, tidak kira jika ia dinikmati dalam lingkungan dinding penjara atau di rumah kita sendiri,” katanya yang turut memuat naik gambar berbuka puasa kali pertama selepas Anwar pulang ke rumah.

Nurul Izzah turut menyifatkan kepulangan Anwar suatu jalan terbaik mengalu-alukan kedatangan Ramadan. Perpisahan kini berakhir dengan pelukan penuh kesyukuran.

“Kehidupan dan masa kini adalah bagaimana anda memilih untuk menerimanya. Sama ada antara perikemanusiaan, ketulusan, keyakinan dan harapan, atau putus asa, kemarahan, kekecewaan dan kepahitan. Kehidupan adalah berdasarkan prinsip. Ba­nyak lagi yang perlu dilakukan dan banyak lagi usaha untuk melawan ketidakadilan,” luah Izzah yang amat prihatin soal kebajikan rakyat Malaysia.

Sebagai seorang anak, saat pa­ling membahagiakan apabila bersama ibu dan ayah. Lebih-lebih lagi mereka sudah ‘terpisah’ bertahun lamanya. Walaupun Anwar merupakan figura awam yang perlu berkongsi ‘kasih’ itu de­ngan penyokongnya tetapi kepulangan bermakna itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan  dan Syawal harus dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Kenali dengan lebih rapat lagi 5 puteri kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah ini dalam naskhah Julai 2018!

Share
Published by
Rosmah Idayu