Kecomelannya sering menarik perhatian. Sejak dulu, ribuan pengunjung Hagia Sophia di Istanbul pasti tidak mahu melepaskan peluang berjumpa haiwan kesayangan Rasulullah ini, dan salah seekornya adalah Gli yang tinggal di masjid ikonik tersebut.
Namun Sabtu lepas, pencinta kucing mula berduka dengan berita kematian Gli, selepas ia dirawat di sebuah klinik haiwan swasta sejak hujung September lalu. Menurut Datuk Bandar Istanbul, Ali Yerlikaya dalam ciapannya, Gli disahkan mati akibat sakit tua.
Gli, 16 tahun, pergi selepas menjalani kehidupan yang penuh warna-warni, malah ia sangat disayangi, baik mereka yang pernah melawat Hagia Sophia dan bertemunya, atau pun mereka yang hanya memerhati dan mengagumi dari jauh.
Pada awal tahun ini, sedang Hagia Sophia menjalani kerja-kerja mengubah bangunan itu dari sebuah muzium kepada masjid, Gli terus dengan kehidupan riangnya, berlegar-legar dan bermain di dalam Hagia Sophia yang dianggap sebagai tempat tinggal.
Solat Jumaat berjemaah pada 24 Julai 2020 di Hagia Sophia menandakan kali pertama ibadah dilakukan di sana sejak lebih 80 tahun. Sebelum ini, ia tersergam sebagai gereja selama 916 tahun sehingga Istanbul ditawan dan menjadi sebuah masjid dari 1453 hingga 1934, iaitu hampir 500 tahun sebelum dijadikan muzium selama 86 tahun.
10 Fakta Menarik
1) Gli dilahirkan pada 2004. Ibunya, Sofi, juga penghuni Hagia Sophia.
2) Gli (betina) dilahirkan tiga beradik, iaitu Pati (jantan) dan Kizim (betina).
3) Nama Gli pada mulanya ialah Gri (bermaksud kelabu, atau Grey dalam bahasa Inggeris). Nama itu diberikan oleh salah seorang pekerja yang bertugas di Hagia Sophia.
4) Nama itu kemudiannya berubah menjadi Gli, bermaksud penyatuan kasih sayang.
5) Gli hanya pernah melahirkan seekor anak. Namun, anaknya mati selepas dilanggar bas pelancong.
6) Gli mula popular di seluruh dunia selepas ia difoto bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan Presiden Turki, Tayyip Erdogan.
7) Gli mula jatuh sakit dan dirawat di sebuah klinik haiwan di Istanbul sejak hujung September lalu.
8) Gli menghembuskan nafas terakhir jam 8 malam Sabtu, kerana sakit tua.
Sumber: Astro Awani