Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat pameran produk kraf Jordan River Design di Amman, kelmarin. Menurut catatan di Facebook Istana Negara, pameran itu mempamerkan produk rekaan hasil seni tradisional Jordan yang diselitkan elemen kontemporari.
Produk berkenaan dibuat oleh golongan wanita kurang bernasib baik dengan dibantu Jordan River Foundation.
“Permaisuri Jordan, Permaisuri Rania, adalah pengerusi yayasan itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memfokuskan kepada keselamatan kanak-kanak dan pengukuhan komuniti.
“Produk yang dipamerkan turut dipasarkan ke seluruh dunia,” menurut catatan itu.
Tunku Azizah kini berada di Amman, Jordan, mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi lawatan khas selama empat hari bermula semalam atas persilaan Raja Jordan Raja Abdullah II. Memilih busana baju kurung berbunga, penampilan Tunku Azizah sememangnya dipuji mengenakan busana tradisional yang menawan.
Sementara itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat bertemu dengan Baginda Raja Jordan Raja Abdullah II di Beit Al Urdun, Amman, Jordan semalam.
Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan di Zahran Palace hari ini disusuli dengan keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Al Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.
Dalam lawatan khas itu, Seri Paduka Baginda turut diiringi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan paduka-paduka anakanda Baginda – YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air esok.
Sumber: BERNAMA