Namanya seringkali meniti di bibir ramai selebriti tanah air. Dia di antara jurusolek artis yang menjadi ‘orang kuat’ dalam menghasilkan solekan yang indah di wajah-wajah persona negara. Hasil karyanya diminati dan personalitinya disenangi orang-orang sekeliling. Sheila Mohamad bukanlah nama asing lagi dalam industri solekan. Perintis muda yang baharu ingin menceburi bidang ini turut mengangkat Sheila Mohamad sebagai ‘guru’ bidang solekan.
Tidak pernah sunyi laman Instagram daripada post yang menunjukkan hasil karyanya, Sheila Mohamad bangga kerana apa yang dilakukannya ini mendapat perhatian. Usaha dan kegigihannya selama ini juga diabadikan dalam sebuah pertandingan pencarian makeup artis, Malaysian Makeup Artis Awards (MMA) yang diadakan dengan gah sekali pada Ogos lalu.
Bagaimana bermulanya kerjaya sebagai jurusolek?
Saya sudah mula sebagai jurusolek sejak tahun 1995 dan ini adalah tahun ke 26 saya bergelar jurusolek artis. Waktu itu, saya masih di tanah kelahiran saya iaitu Alor Setar Kedah. Apabila tinggal bersama keluarga dan adik beradik perempuan, saya jadi seronok melihat mereka bersolek. Calit sana, calit sini.
Lebih seronok lagi apabila saya melihat orang bersolek sakan untuk menghadiri majlis-majlis yang diadakan. Mungkin menjadi lumrah setiap insan, suka melihat kecantikan dan kesempurnaan. Sejak itu, saya mula menanam minat dan berusaha ke arah minat ini.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Alhamdulillah, keluarga saya tidak pernah membantah. Mereka tahu apa yang terbaik untuk anak-anak asalkan apa yang saya lakukan ini dilaksanakan dengan sepenuh hati. Minat itu sangat mendalam, tidak mungkin saya akan sia-siakan kepercayaan yang keluarga berikan kepada saya selama ini.
Apakah cabaran anda sebagai jurusolek?
Setiap kerjaya ada cabarannya tersendiri. Walaupun saya sudah lama di dalma industri, tipulah jika saya boleh bersenang-lenang dan terus hidup dalam kepompong ‘aku otai’. Persaingannya sangat sengit tambah-tambah lagi bidang solekan kini melahirkan ramai jurusolek-jurusolek baru melalui sosial media khususnya.
Untuk bersaing dengan mereka, saya juga perlu banyak belajar. Teknik-teknik yang mereka gunakan melalui peredaran zaman dan mengikut permintaan ramai. Jadi, saya tidak boleh duduk diam dan terus belajar, waima daripada jurusolek baru sekalipun.
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Saya meletakkan bapa saya sebagai idola dalam kehidupan. Selain itu, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad adalah idola yang sangat saya hormati.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Tidak susah sebenarnya untuk kekal relevan dalam industri. Just be professional, never stop learning and be creative.
Sebagai jurusolek, kita bagai mempunyai hubungan erat dengan selebriti dan pelanggan yang memberi kepercayaan kepada kita untuk mencantikkan mereka. Jadi, dalam apa juga keadaan kita perlu sentiasa bersedia.Sebagai contoh, apabila saya menerima job dan konsep diberikan pada hari penggambaran, saya perlu bersedia dengan peralatan yang ada. Kita perlu bijak menyampaikan apa yang diingin pelanggan walaupun peralatan tidak mencukupi.
Dan sebagai jurusolek ‘lama’, jangan pernah ego untuk belajar Teknik-teknik baru dalam solekan daripada orang lain. Lain orang, lain kelebihan mereka. Jangan segan untuk belajar, jangan sombong untuk bertanya. Kita cuba kekalkan kedudukan kita sebagai jurusolek artis.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Semakin lama kita menyolek orang, kita sebenarnya mengasah skil yang kita ada. Jujurnya saya merasakan skil, teknik dan pengalaman saya adalah perkara yang membuatkan orang mengenali siapa Sheila Mohamad. Teknik dan skil ini boleh dipelajari tetapi untuk lebih menajamkan keupayaan dan kelebihan itu, kita perlu sentiasa praktis.
Dari segi pengalaman pula, mungkin saya sudah lama dalam industri ini membuatkan saya sudah faham apa yang dikehendaki seseorang. Apabila bertemu pelanggan, saya sudah mengenali karaktor mereka dan sesuaikan dengan solekan yang betul. Kita tak boleh syok sendiri. Apa yang cantik di mata kita, mungkin tidak sesuai dengan personaliti mereka jadi kita perlu memahami pelanggan itu.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Ia sangat bagus! Dek kerana kebanjiran jurusolek ini membuatkan saya mengadakan pertandingan MMA bersama teman seperjuangan, Deq Sha. Mereka mempunyai bakat yang sangat besar dan kreativiti mereka benar-benar mengikut arus zaman. Apa yang mereka miliki itu adalah satu cabaran yang perlu kita sahut kerana dari situlah persaingan jurusolek lama dan baru akan mengembangkan lagi skil dan dunia solekan kini.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Nasihat saya, walaupun jauh mana kita berada sebagai jurusolek, kita tetap perlu terus belajar dan mencari ilmu supaya skil yang ada tidak hanya setakat itu sahaja. Paling penting, belajar merendah diri dan buangkan sikap ego dan sombong agar disenangi orang sekeliling. Sekalipun kita ada bakat namun andai personaliti kita negatif, ia tidak akan ke mana.
This website uses cookies.