Kehebatan bakat lakonan dalam diri aktres jelita ini sememangnya diperakui oleh peminat seni tempatan. Tidak bersandarkan wajah semata-mata Farah Nabilah mampu membawakan pelbagai watak dengan jayanya. Bakatnya terus terserlah sehingga dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.
Hari ini Farah Nabilah melakar sejarah buat dirinya dan industri seni apabila telah dilantik sebagai Duta Kemanusiaan pertubuhan Asia Development Relief Foundation atau ADRF. Pertubuhan ADRF ini telah ditubuhkan di Korea Selatan dan telah aktif menjalankan usaha murni dengan bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan.
Sebuah sidang media telah dianjurkan bagi mengumumkan perlantikan Farah sebagai Duta Kemanusiaan organisasi tersebut. “Saya akan terbabit dengan kerja kemanusiaan dengan pertubuhan ADRF. Penglibatan saya ini sebagai ruang untuk gives back
kepada masyarakat terutama mereka yang memerlukan dan hidup dalam serba kekurangan.Jujur tahun ini fokus saya bukan untuk mengejar populariti semata-mata. Saya mahu mengimbangi kerjaya seni dengan pembabitan projek kemanusiaan. Saya lihat contoh seperti bintang antarabangsa, Angelina Jolie merupakan antara aktivis kemanusiaan yang masih terbabit di arena seni dan dalam masa sama melakukan hal yang memberikan manfaat sejagat.
Saya percaya pengaruh yang dimiliki golongan artis patut dimanfaatkan untuk perkara sebegini. Membuat mereka yang memerlukan ini tersenyum sudah membuat saya gembira daripada duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa,” katanya.
Farah juga kelihatan turut sama memeriahkan dunia kecantikan dengan memperkenalkan produk kecantikannya sendiri di bawah jenama Fawaa Beauty. Cecair kolagen jenama Fawaa Beauty merupakan rahsia penjagaan dalaman dan rejim kecantikan dirinya yang dilancarkan hujung tahun lalu.
Kata pemilik nama sebenar ini, Farah Nabilah Saipuddin dia dan pasukan kerja Fawaa Beauty memulakan perancangan rapi bagi menghasilkan produk berkenaan sejak tahun lalu. “Saya percaya kita mungkin boleh menutupi cela atau apa saja yang tumbuh di permukaan kulit dengan mekap. Namun soal penjagaan dalaman itu nak dijaga atau dirawat dengan cara bagaimana pula? Kalau setakat menjaga kecantikan luaran saja namun mengabaikan hal dalaman pun tiada guna juga. Sebaliknya penjagaan dalaman dan luaran itu perlu diimbangi.
Menyentuh tentang sisi kerjaya seninya, Farah saat ini sedang menyiapkan telefilem Cik Reen Encik Ngok Ngek edisi raya arahan Hadith Omar bergandingan dengan Fikry Ibrahim. “Tahun ini tumpuan saya juga untuk terus mengukuhkan syarikat produksi sendiri, Fawaadeanfilms. Selain itu, program travelog 13 episod berjudul Coffee Roaster Traveller yang saya hoskan juga akan disiarkan tak lama lagi,” tutur Farah yang optimis merencana masa depannya.
This website uses cookies.