Tidak Kekok bertemu Masyarakat, Aktif Aktiviti Kebajikan CHE PUAN SOFIE Tambat Hati Rakyat

Diam tak diam, sudah setahun Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson menjadi sebahagian keluarga kerabat diraja Kelantan. Dalam tempoh yang singkat itu juga, namanya semakin dekat di hati rakyat Kelantan.

 

Mana tidaknya, beliau sering menemani suami tercinta, Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra ke acara rasmi serta beramah mesra dengan rakyat Kelantan sambil sekuntum senyuman sentiasa terukir di bibirnya.

Walaupun berasal dari Sweden, Che Puan Sofie tidak kekok menjalani kehidupan seharian sebagai isteri kepada Tengku Mahkota Kelantan yang sememangnya amat prihatin dengan kehidupan rakyat Kelantan. Memahami kepentingan hubungan di antara raja dan rakyat jelata, Che Puan Sofie sering turun padang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat Kelantan yang disifatkan sebagai masyarakat yang kaya dengan sopan santun budayaTimur.

“Rakyat Kelantan telah memenangi hati saya dalam pelbagai cara. Mereka bukan sahaja kaya dengan sopan santun budaya Timur, malah kaya dari pelbagai aspek kehidupan.
Saya merasa amat bertuah diterima sebagai isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujar Che Puan Sofie yang menerima penghormatan sebagai penerima NONA ROYAL AWARD sempena NONA SUPERWOMAN 2020.

Tambah Che Puan Sofie, meskipun berada jauh beribu batu dari tanah tumpah darahnya, dia tidak sesekali melupakan adat serta tradisi yang banyak membentuk nilai serta keperibadian dirinya kini.

“Di Sweden, kami berpegang pada tradisi dikenali sebagai ‘Jäntelagen’ atau the law of Jante, yang bermaksud anda tidak boleh percaya anda lebih baik atau sebaliknya dari orang lain.
Kata-kata tersebut saya pegang sehingga kini sebagai azimat untuk diri saya tatkala melalui fasa terkini dalam kehidupan. Mungkin kata-kata tersebut juga banyak mengajar saya menerima proses perubahan dari golongan kebanyakan ke lingkungan istana. Sesuai dengan pepatah Melayu, Raja dan rakyat berpisah tiada,” ujar Che Puan Sofie merendah diri tatkala penulis mengajukan persoalan mengenai perubahan status buat dirinya dari orang kebanyakan ke istana.

Apa yang pasti, Che Puan Sofie mempunyai pakej yang lengkap sebagai salah seorang wanita yang boleh dijadikan idola masyarakat kerana bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, malah berpendidikan tinggi serta bijak menyesuaikan diri dengan status yang dipegangnya kini. Wanita yang dilahirkan pada 6 Jun 1986 ini merupakan seorang graduan kelulusan dalam bidang Bahasa Inggeris dan Sosiologi ini mempunyai sikap yang baik hati dan penuh sense of humour sekaligus membuatkan ramai kenalan senang berdampingan dengannya.

Che Puan seorang yang aktif menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuklah Buy & Eat For Charity, menziarahi kanak-kanak dan warga emas yang terlantar sakit di hospital, membantu golongan yang kurang berkemampuan, memberi sokongan buat para peniaga di Kelantan dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang disertainya. Malah Che Puan turut menemani Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan melawat bayi kembar yang kehilangan ibu sewaktu bersalin baru-baru ini.


Penampilan Che Puan Sofie yang santun dan sering mengukir senyuman turut menjadi tumpuan rakyat apabila bijak memilih busana yang bakal digayakan ke majlis yang bakal dihadirinya. Tidak hairanlah kelibat pasangan diraja ini disayangi oleh rakyat Kelantan kerana keperibadian serta keprihatinan yang ditunjukkan kepada rakyat jelata. Che Puan Sofie juga dilihat semakin selesa mendampingi rakyat malah setiap kali penampilannya, Che Puan Sofie pasti akan mengenakan lilitan tudung di kepalanya bagi menghormati mereka dan langsung tidak kekok. Kebijaksanaan beliau dalam menyesuaikan diri dengan masyarakat turut membuatkan masyarakat berasa selesa untuk menyapa dirinya.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit. Wah, memang beruntung Tengku Mahkota Kelantan!


Selain sibuk dengan tugas-tugas rasmi, Che Puan Sofie tidak mengabaikan kedudukannya sebagai seorang isteri dan memastikan keperluan Tengku Mahkota diberi keutamaan. .
Pasangan diraja ini juga gemar melakukan aktiviti rekreasi seperti hiking

dan meneroka kawasan rekreasi baharu di Kelantan seperti lukisan mural jalanan serta berkunjung ke kafe yang kini mula berkembang pembukaannya di sekitar Kota Bharu,Selain aktif menyertai aktiviti kebajikan, terbaharu Che Puan Sofie dikhabarkan sudah boleh memandu kenderaan di Malaysia. Ini selepas beliau berjaya memperoleh lesen memandu negara ini pada pertengahan November lepas. Tahniah!
“Kelantan merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai destinasi pelancongan yang boleh diterokai. Mana tidaknya, ia bukan sahaja mempunyai pantai yang cantik, sawah padi yang menghijau, gunung serta hutan yang kaya dengan flora dan fauna.
Saya amat menggalakkan masyarakat untuk sama-sama menjaga keindahan alam. Sebagai langkah permulaan, apa kata kita semaikan tabiat untuk mengasingkan sampah dengan meletakkan sampah di dalam tong yang dikhaskan seperti tong untuk hasil buangan sisa makanan, kaca, plastik dan aluminium dan kertas. Sumbangan kecil ini mempunyai impak yang besar jika dijadikan amalan,” ujar Che Puan yang turut membuat posting mengenai isu alam sekitar ini di laman Instagram miliknya.


“Rakyat Kelantan juga amat berbakat dalam kerja seni seperti pembuatan wau, batik dan songket yang penuh teliti dan halus pembuatannya. Saya merasa amat bertuah kerana kini menjadi sebahagian dari keunikan budaya Kelantan. Saya juga sedang belajar untuk bertutur dalam dialek Kelantan kerana terpikat dengan keunikan serta lemah lembut pertuturan dalam dialek Kelantan,” ujar Che Puan penuh sopan mengatur kata.
Penampilan Che Puan Sofie yang lemah lembut itu bukanlah penghalang untuk dirinya bergiat aktif dalam aktiviti sukan apatah lagi pelbagai jenis sukan menjadi kegemaran Che Puan Sofie ketika mengisi masa lapang.
“Saya amat meminati sukan dan setiap sukan mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara sukan kegemaran saya termasuklah badminton, bola keranjang, bola sepak, ping pong dan hiking. Selain itu, saya juga gemar berbasikal dan bermain golf,” cerita Che Puan Sofie yang pernah mengalami kecederaan patah tangan kanan akibat terjatuh dari basikal. Tetapi ia sedikit pun tidak membuatkan beliau serik untuk menunggang basikal. Baru-baru ini, Che Puan berkongsi pengalamannya berbasikal di kawasan kampung sambil menghirup udara segar.


Umum sedia maklum pendemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia banyak memberi impak serta merubah gaya hidup setiap individu. Ada yang terkesan dek kekangan ekonomi, ada juga terpaksa berkorban mengerah tenaga membantu menangani wabak ini daripada terus merebak.
Prihatin dengan keadaan semasa terutamanya di kalangan rakyat Kelantan, pasangan diraja ini tidak melepaskan peluang menyumbang bagi meringankan beban individu yang memerlukan bantuan di saat dilanda musibah.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Tengku Mahkota Kelantan dan isteri berkenan menyumbang 12 unit penyaman udara kepada hospital-hospital di negeri tersebut sebagai tanda penghargaan mereka terhadap barisan frontliners.
“Saya dan Tuanku turut berdukacita di atas musibah yang melanda di seluruh dunia apatah lagi terhadap keluarga mangsa yang terlibat dengan pendemik COVID-19. Sebagai pemimpin, Tuanku sentiasa mengikuti perkembangan terkini COVID-19 yang dipersembahkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Tuanku turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat petugas barisan hadapan yang menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi membendung penularan kes COVID-19 ini.
“Pihak istana turut prihatin dengan keadaan semasa. Baru-baru ini, saya turut menyediakan hidangan untuk dinikmati oleh petugas hospital dan anggota tentera. Saya menyediakan Tekakor atau Swedish tea cakes untuk dihadiahkan kepada barisan hadapan yang bekerja keras menyelamatkan negeri daripada ancaman COVID-19.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk meminta semua masyarakat mematuhi arahan pemakaian topeng muka dan menjaga jarak sosial seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara. Semoga semua rakyat Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia amnya terhindar dari pendemik ini,” tutur Che Puan Sofie seraya mengakhiri perbualan pada petang itu.

Share
Published by
Rosmah Idayu