Solekan yang cantik pastinya menjadi dambaan setiap wanita. Namun, untuk mendapatan hasil solekan yang sempurna dan menawan, beberapa perkara perlu dilakukan sebelum anda memulakan solekan.
Selain itu, kaedah sebelum bersolek penting bagi memastikan wajah anda terhindar dari kotoran yang boleh menyebabkan jerawat, jeragat, bintik hitam dan pelbagai lagi yang tidak diingini. Malahan juga, solekan anda kekal cantik di wajah sepanjang hari.Jom kita lihat perkara yang perlu dilakukan sebelum bersolek!
1. Pertama sekali, cuci wajah menggunakan pencuci yang sesuai dengan jenis kulit.
2. Gunakan skrub wajah untuk proses pengelupasan kulit agar sel kulit mati dibuang sepenuhnya sebelum memulakan sesi solekan. Sapu rata skrub dengan urutan membulat pada bahagian wajah dan leher. Bilas dengan air suam.
3. Sapukan serum wajah terlebih dahulu sebelum anda menggunakan pelembap kulit agar kulit menyerap lebih banyak vitamin dan mineral. Serum juga boleh digunakan selepas proses skrub wajah kerana lapisan kulit yang tertutup dengan solekan menyebabkan liang pori tersekat dan berminyak.
4. Pastikan anda menggunakan krim pelembap yang sesuai dengan jenis kulit untuk mengekalkan kelembapannya. Pelembap kulit boleh memberikan ia lebih lembut dan mencantikkan kesan solekan. Jangan lupa untuk gunakan pelembap yang mengandungi pelindung SPF. Impak titip pelembap pada wajah sebenarnya lebih berkesan dari kaedah urutan agar serapan pelembap lebih cepat dan pantas.
5. Terakhir sekali sebelum anda memulakan solekan, sapukan primer pada wajah. Sebolehnya, cari primer yang mengandungi silikon sebagai bahan utama mereka. Ini akan membuatkan kulit lebih halus dan lembut untuk proses solekan.
Pernah Digelar ‘Anak Gajah’, ‘Dora The Explorer’, Amy Nur Tinie Kini Membesar Jadi Ratu Cantik Negara!
Namanya seringkali mengharumkan Malaysia. Amy Nur Tinie Abdul Aziz, atau Tinie bukan saja dilantik sebagai United Nations IIMSAM Youth-Goodwill Ambassador malah beliau juga adalah seorang ratu cantik, ahli perniagaan, pengacara, pelakon dan model terkenal.
Pernah menghiasi Fesyen Editorial Majalah Nona pada tahun 2016, langkah Tinie yang kini berusia 25 tahun semakin ligat dalam dunia seni.
Kecantikan gadis Ipoh, Perak itu juga begitu luar biasa, sehingga beliau selalu dimahkotakan sebagai juara pertandingan ratu cantik.
Namun satu perkara paling istimewa tentang Tinie adalah sifat merendah diri. Bayangkan meskipun jarang berutus khabar, namun hubungan kami kekal mesra sampai sekarang.
Lumrah anak bongsu walaupun ditatang bagai minyak yang penuh, namun ibu bapanya tetap mendidik dengan nilai ketimuran yang tinggi.
Mengimbau semula kenangan zaman remaja dan kanak-kanak, Tinie tergelak kecil apabila diajukan soalan tentang gelaran dirinya sewaktu kecil.
“Masa kecil dulu, Tinie selalu dipanggil ‘Anak Gajah’. Mungkin pasal saiz rangka badan yang besar dan lebih tinggi berbanding rakan-rakan yang lain.
Bila masuk alam persekolahan, kawan-kawan sekolah panggil ‘Dora The Explorer’ pula sebab bentuk muka Tinie yang lebar dan berbentuk segi empat tepat.
Ada juga di antara mereka yang negatif bila dapat tahu tentang penglibatan Tinie dalam dunia ratu cantik dan modelling. Mereka merendah-rendahkan kebolehan Tinie. Katanya, mesti Tinie tak boleh pergi jauh dalam bidang ni.
Kata-kata negatif tu dikumpul dan dijadikan pembakar semangat. Tinie mahu buktikan bahawa benda tu salah sama sekali.” Amy Nur Tinie
BUKAN GADIS POPULAR
Seperti kisah filem terkenal, Tinie juga sebenarnya bukanlah sebahagian gadis-gadis popular di bangku sekolah.
“Zaman dulu tak ada istilah Instafamous atau social influencer. Jadi selalunya akan ada kumpulan dari gadis-gadis yang merasakan mereka mempunyai kelebihan, lebih bijak atau lebih cantik daripada orang lain.
Tinie pula seorang yang suka buat hal sendiri. Kebanyakan masa difokuskan untuk pelajaran dan menyertai pertandingan sebagai wakil sekolah. Tidak pernah terlintas untuk menjadi popular dan sebagainya. Tetapi memang dari kecil Tinie suka bercakap, bergaya dan berdiri di depan kamera.
Disebabkan ibu memiliki perniagaan spa kecantikan, salon dan juga butik pengantin, Tinie dah didedahkan dengan cara menjaga penampilan diri sejak kecil lagi. Selalunya pulang je dari sekolah, Tinie akan tolong ibu dan kakak di kedai. Kami pun sudah diajar cara-cara untuk buat rambut dan spa.
Tinie juga melibatkan diri dalam dunia modelling seawal empat tahun, jadi sudah terbiasa dengan mekap, tapi tidaklah jenis yang tebal. Kadang-kadang Tinie curi-curi pakai barang mekap ibu atau kakak.
Cuma apabila meningkat remaja, Tinie kurang memakai mekap sehinggalah kembali aktif dalam pertandingan ratu cantik pada usia 16 tahun.”
Berdarah kacukan Melayu-Arab, gadis berketinggian 173cm ini rupanya mula melibatkan diri secara serius dalam pertandingan ratu cantik pada usia 15 tahun. Banyak gelaran yang telah disandang antaranya sebagai:
- Juara Pencarian Gadis Metro Perak (Harian Metro 2011)
- Top 16 Miss Perak Tourism 2015
- Juara Miss KBJ Ratu Kebaya 2015
- Juara Miss KLMCC International Pageant 2016 (Best Catwalk, Miss Popularity)
- Juara Miss KL Kebaya 2016
- Juara Miss Malaysia Kebaya 2016/2017
- Naib Juara Beauties Search Prima Oligo 2017
- Tempat Ketiga Miss Lumière International World 2017 (Singapura)
- Ikon Wanita Melayu PWM 2018
- Top 18 Miss World Malaysia 2018
- Juara Miss Eco International 2019/2020
“Menjadi seorang ratu bukanlah semata-mata rupa paras dan bentuk tubuh yang menarik. Bagi Tinie, banyak kualiti lain yang mesti dititikberatkan.
Antaranya memiliki keyakinan diri, tidak mudah berputus asa, mempunyai keazaman dan kesabaran, bijak, berkarisma, sentiasa merendah diri dan mampu menjadi ikon yang positif untuk generasi sekarang.
Untuk para wanita yang sering merasa kurang keyakinan diri, nasihat Tinie jangan pernah jadikan apa yang orang lain fikir sebagai beban kepada kita. Yang penting adalah apa yang kita percaya tentang diri sendiri.
Percayalah setiap individu adalah unik dengan cara tersendiri. Jadi gunakan keunikan itu dan keluarlah dari zon selesa. Kejayaan tak akan datang bergolek jadi sentiasalah berusaha dengan keimanan bahawa Tuhan sentiasa bersama kita.
Hadapi segalanya dan banyakkan berdoa kepada-Nya,” Amy Nur Tinie
PETUA KECANTIKAN
“Tinie suka amalkan petua orang-orang lama, misalnya membasuh muka dengan air basuhan beras, daun sireh untuk hilangkan parut jerawat dan gunakan putih telur sebagai masker.
Itulah yang Tinie amalkan sekarang. Pada Tinie, petua ini bukan saja menjimatkan malah tiada bahan kimia yang merosakkan kulit,” akhirinya.
Sia-Sia Sapu Krim Muka Kalau Kulit Masih Kotor. Amalkan 5 Cara Efisien Ini Agar Rejim Kecantikan Anda Berkesan
Pernahkah anda terfikir, kenapa orang lain yang membeli dan menggunakan produk penjagaan wajah yang sama… amat ketara hasilnya tapi tidak pada anda?
Ada pula produk yang nampak baik pada permulaan, tapi lama-kelamaan langsung tak menunjukkan sebarang peningkatan. Sebenarnya menurut Pengasas Honey Berry dari Thailand iaitu Tammy, terdapat cara yang efisien bagi menggandakan potensi krim wajah anda. Jom semak perkongsian beliau ini.
5 Cara Bijak Mesti Diamalkan
(a) Kekotoran ‘melemahkan’ kulit. Jadi pilih pembersih solekan yang baik
Hanya kulit yang bersih mampu menyerap segala khasiat dari produk penjagaan kulit anda. Dari luaran mungkin nampak bersih tapi sebenarnya masih ada sisa kotoran, sisa krim tabir suria, debu pencemaran atau solekan yang terperangkap di bawah kulit. Inilah penyebab kulit kusam.
Pembersih solekan merupakan keperluan setiap wanita. Gunakan jenis krim atau losen untuk kulit kering dan jenis air atau gel untuk kulit berminyak. Kalau salah pilih jenis ini, umpamanya kulit berminyak guna jenis losen, kulit boleh menjadi lebih berminyak dan seterusnya mencetuskan masalah jerawat pula.
Selepas membersih, cuci wajah sekali lagi dengan sabun wajah untuk memastikan kulit betul-betul bersih.
(b) Kalau krim macam tak berfungsi, cuba pakai masker
Kulit kita terdedah pada debu pencemaran, asap, haba kepanasan atau cahaya lampu neon. Belum lagi dicampur stres atau masalah hormon. Tahukah anda semua sebab-sebab ini akan mempercepatkan kerosakan kulit?
Jadi atasi dengan pemakaian masker. Atau gunakan produk Manuka Honey White Soap Mask yang dicampur dengan serbuk vitamin C atau tomato lenyek sebagai masker selama 2 minit. Cara ini dapat menjernihkan semula kulit wajah anda.
(c) Kulit kusam? Cuba sental kulit anda
Walaupun guna produk penjagaan kulit yang mahal dan ternama, kenapa wajah anda masih kurang serinya? Barangkali tiba masanya untuk skrub tiap seminggu sekali. Sekali lagi, gunakan produk Manuka Honey White Soap Mask dengan campuran timun kisar dan sental wajah anda.
Jangan kasari wajah dengan produk penyental kulit yang kuat. Anda hanya punya satu wajah dan jika rosak, anda perlu membayar harga yang mahal untuk merawatnya. Sental saja dengan lembut dengan cara yang selamat seperti ini.
(d) Buat urutan wajah untuk serlahkan keserian
Urutan dapat mengembalikan keserian wajah tapi pastikan ia bebas dari suntikan botoks atau filler! Jika tidak, bahan suntikan akan merebak ke tempat lain.
Sebenarnya urutan boleh dibuat semasa mencuci wajah. Untuk mendapatkan kesan terbaik, gunakan sabun berkonsentrasi tinggi dan bukannya sabun biasa kerana ia boleh mengeringkan kulit jika digunakan lebih daripada seminit. Kulit juga akan kering dan mengelupas. Contoh sabun yang sesuai adalah Manuka Honey White Soap yang berfungsi seperti perawatan mesoterapi.
(e) Jangan lupa bersihkan berus mekap dan aksesorinya
Pernah bayangkan bahawa sebenarnya berus solekan, paf dan span yang digunakan untuk mekap itu penuh dengan bakteria tersembunyi? Sama seperti papan kekunci komputer, ia memang kotor! Jadi sentiasa bersihkan alat-alat ini supaya kulit bebas daripada masalah.
Anda boleh menggunakan sabun pembersih solekan seperti Manuka Honey White Soap Mask untuk membersihkannya. Lebih menjimatkan, bukan?
Hakikatnya tidak ramai yang mempunyai masa atau rajin untuk mengikut setiap prosedur penjagaan wajah yang rumit. Kerana itu anda harus bijak memilih produk terbaik agar ia bekerja secara multifungsi dan boleh menjimatkan wang.
Kebaikan madu Manuka:
- Kaya antioksidan
- Mengandungi multi-vitamin premium yang meresap ke struktur kulit
- Ekstrak pati pekat dan tulen
Infusi madu Manuka dari New Zealand dalam setiap produk Honey Berry membantu menyahaktifkan pembiakan bakteria punca jerawat, merawat inflamasi kulit akibatnya dan menjadikan wajah lebih halus, bebas akne dan lembut. Satu lagi pilihan versatil namun berpatutan harganya. Cubalah! Norzalina Mohd Alias
Hujan-hujan Pun Badan Kena Fit, Cuba Tips Ini Supaya Anda Boleh Bersenam Walaupun HUJAN!
Bila sebut soal penjagaan kesihatan, ramai juga yang culas. Apatah lagi bila diajak untuk bersenam sebagai langkah untuk menjaga kesihatan. Ramai yang mengelak kerana ‘sayangkan’ lemak di badan dan sikap malas yang menyelubungi diri. Kalau boleh, janganlah sampai tubuh mula sakit dan penyakit mula menyerang, baru teringat perkhidmatan gymnasium di rumah.
Cuaca juga memainkan peranan penting untuk menggerakkan tubuh agar rajin bersenam. Tentunya cuaca redup menjadi pilihan tetapi siapalah kita sebagai manusia untuk menentukan musim monsoon dunia. Namun, jangan letakkan itu sebagai alasan! Ada beberapa cara boleh anda gunakan untuk teruskan rutin senaman walaupun pada hari hujan.
- Panaskan badan
Jangan tinggalkan langkah pertama ini. Persiapkan diri dengan memanaskan badan terlebih dahulu sebelum memulakan apa juga senaman. Tidak ada hubungkait di antara senaman dan aktiviti pemanasan badan jadi mulalah dari sekarang!
Memanaskan badan sebelum bersenam boleh mengelakkan diri dari kecederaan. Amalkan selama 15 minit dan barulah anda mulakan rutin senaman yang berat. Anda boleh juga berjalan sekeliling rumah terlebih dahulu sebelum mula melangkah keluar.
- Baju tebal
Baju daripada material kapas serap-peluh boleh merendahkan suhu badan dan meningkatkan risiko hipotermia. Simptom hipotermia termasuk keletihan, mengantuk dan hilang kesedaran.
Sarungkan baju dan celana berlapis yang diperbuat daripada sintetik untuk mengelakkan perkara ini terjadi. Ingat, ketebalan pakaian anda sangat penting kerana pengeluaran peluh seringkali berlaku apabila pakaian yang disarungkan itu tebal.
- Krim tabir suria
Memang benar awan melindungi kebanyakkan cahaya suria tetapi ia tidak melitupi radiasi UV. Menurut Skin Cancer Foundation, awan hanya meliputi 20 peratus radiasi UV secara total. Pendedahan berpanjangan pada cahaya UV menjadi faktor kepada penyakit kanser kulit.
Sapukan pelembap kulit, balm bibir dan krim tabir suria dengan SPF 15 hingga SPF 30 walaupun pada cuaca redup dalam musim hujan.
- Kekal hidrasi
Cuaca sejuk ketika musim hujan sering membuatkan kurang dahaga tetapi perspirasi masih berlaku apabila kita bersenam. Untuk menggantikan cecair yang hlang, minum air putih secukupnya dengan 15 hingga 20 minit dalam selang waktu.
Anda juga boleh menilai tahap hidrasi tubuh dengan melihat kepada warna air kencing. Semakin gelap warna air kencing menandakan tubuh anda memerlukan air.
- Topi dan sarung tangan
Perasan atau tidak, kepala, tangan dan kaki terdedah untuk berasa sejuk dengan cepat. Apabila anda menggayakan topi dan sarung tangan, setidak-tidaknya boleh mengurangkan rasa sejuk dan mengelakkan anda menggigil dengan tiba-tiba.
- Cool down
Selepas senaman, jangan lupa rutin menyejukkan badan. Tak semestinya pada cuaca sejuk anda boleh skip rutin ini. Hanya 10 minit sahaja diperlukan untuk memastikan aliran darah dari otot ke jantung.
Aktiviti cooling down mengurangkan suhu keletihan otot dan membiarkan ia kembali pulih seperti biasa dengan cepat dan mengelakkan kesakitan. Ia juga mengurangkan gejala otot kejang.
TIP SENAMAN MUDAH!
- BENT-OVER ROW
Genggam botol air di kedua-dua belah tangan. Berdiri tegak dan mula membengkok lutut dan menolak dada ke hadapan secara perlahan. Luruskan tangan pada paras dada seperti sedang mengayuh basikal. Ulang 12 hingga 16 kali.
- PUMPING
Buat dengan lutut, berbanding luruskan kaki. Buat menegak menghadap dinding. Sesuai untuk meningkatkan kekuatan tangan, juga menguatkan bahagian sekitar dada.
- CRUNCHES ATAU TEKAN TUBI
Untuk kekuatan abdomen atau perut. Tidak perlu risau jika kepala tidak dapat dinaikkan habis asalkan dapat bangun dan anda dapat rasa tekanan pada bahagian perut.