Sejuk saja mata memandang apabila melihat penampilan terbaru isteri kepada pelawak dan penyanyi terkenal tanahair, Mark Adam. Norazah Redzuan atau Ezan mula terbuka hati untuk berhijab sebaik mereka pulang menunaikan ibadah umrah penghujung tahun lalu.
“Alhamdulillah sampai ke saat ini, dah nak masuk tiga bulan saya berhijab. Memang atas kerelaan saya sendiri. Ia tak dipengaruhi, disuruh atau dipaksa oleh suami atau sesiapa saja. Pintu hati saya sendiri yang terbuka untuk berhijab selepas balik umrah.
Penerimaan Mark sendiri sangat baik malah bangga dengan saya, begitu juga dengan keluarga. Paling teruja dan gembira ialah sahabat kami, Siti Sarah dan Shuib. Setiap 3-4 jam mereka akan buat video call semata-mata nak tengok saya masih berhijab atau tak. Macam nak buat spot check pula. Memang kelakar sangat!
HIDAYAH
“Kisahnya bermula apabila sebaik tiba di Malaysia kami singgah ke rumah Shuib untuk mengambil kereta yang kami tumpang parking di situ. Sepanjang perjalanan ke rumah, saya tiba-tiba menangis teresak-esak. Perasaan sedih saya ketika itu seolah-olah seperti ditinggalkan atau ada kematian. Tapi saya tak tahu bagaimana nak luahkan apa yang saya rasa ketika itu.
Sampai Mark pun jadi risau dan tanya kenapa. Sampailah keesokan harinya saya langsung tak boleh tidur. Saya termenung, tak mahu keluar rumah termasuk ke pejabat. Saya nak duduk rumah saja. Saya tengok TV, tonton video tentang Mekah dan umrah. Setiap kali tengok, saya akan menangis. Dua hari saya begitu.
Masuk hari ketiga saya beritahu Mark yang saya dah tak boleh lagi macam ni. Saya bertanya kepada ustaz dan mereka ketawa saja. Ustaz kata bukan semua orang akan rasa apa yang saya rasa. Saya masih tak faham dan terus bertanya. Kata ustaz..itulah hidayah yang saya dapat. Lantas dalam hati terdetik, layakkah aku? Bermula saat tu saya nekad. Kalau nak keluar rumah saya mesti berhijab.”
KEKUATAN
“Sejak berhijab saya rasa lagi selesa. Saya juga sangat berterima kasih kepada Siti Sarah dan Shuib yang banyak encourage saya dan Mark. Bukan sekadar bersahabat, kami dah macam keluarga. Susah senang saya dan Mark mereka juga tahu. Saya bersyukur sangat dikelilingi dengan orang-orang yang baik seperti mereka.
Selain diri sendiri, kekuatan untuk terus berhijab semestinya suami yang sentiasa positif dan memberi semangat buat saya. Mark kata, cantik you berhijab…walaupun for the first time tu saya rasa kekok sangat. Rasanya dalam 10 kali juga saya asyik betulkan tudung. Ada juga rakan-rakan yang terkejut dengan perubahan. Saya gembira sebab kebanyakan mereka memberi kata-kata positif.”
“Agar terus istiqomah saya perlu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebelum ni jarang nak ke majlis-majlis berunsurkan agama. Sering sibuk uruskan kerjaya Mark dan sebagainya. Lepas balik umrah kami menghadiri satu majlis maulid di rumah kawan Shuib. Alhamdulillah saya rasa tenang, Mark sendiri pun suka mengkaji tentang Islam.
Sekarang ini saya dan Mark sedang mencari ustaz dan ustazah untuk mengajar kami mengaji. Niat tu dah lama sebenarnya tapi memandangkan masa Mark tak menentu hal ini tertangguh. Tapi hasrat untuk belajar mengaji tu tak pernah padam. Mark sendiri nekad nak belajar.
Yang banyak membantu dan encourage Mark tentang Islam ialah Shuib. Mark juga banyak bertanya kepadanya. Saya bersyukur kerana Mark gemar bertanya kepada yang lebih arif tentang Islam. Saya sendiri pun masih belajar. Shuiblah yang banyak ajar kami tentang Islam.”
PERUBAHAN
“Dari segi penampilan, saya masih seperti dulu. Cuma dari segi berpakaian pula, semua baju lama saya dah berikan kepada anak-anak buah dan kakak ipar di Filipina. Bukanlah perubahan yang terlalu drastik sebab saya berubah secara perlahan-lahan dan konsisten. Apa yang penting menutup aurat yang wajib. Saya masih berkawan dengan sesiapa saja. Dari segi perbuatan dan percakapan turut dijaga. Doakan yang terbaik buat saya.”
Kredit Foto: Instagram Ezan Marzan Echivarre