Sejak virus COVID-19 mula menyerang negara China sehingga ke hari ini langsung tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia berjaya dilupuskan. Malah saban hari jumlah kematian akibat virus ini semakin meningkat.
Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Feverish Iraj Harirchi antara mangsa serangan virus berbahaya ini. Timbalan Menteri Kesihatan Iran ini dilaporkan telah memuat naik sebuah video bagi mengumumkan kondisi kesihatannya, “Saya ingin memberitahu semua bahawa saya telah dijangkiti dengan corona virus,” katanya.
“Saya mengalami demam pada malam tadi dan ujian awal menunjukkan keputusan yang positif. Saya telah mengasingkan diri dan beberapa minit yang lalu saya telah mendapat keputusan akhir ujian tersebut, tetap positif. Saya dah mula ambil ubat. Secara dasarnya saya rasa sihat cuma rasa penat,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu berkenaan COVID-19 di Malaysia, penerbangan AirAsia AK8265 telah bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan pada jam 1.45 pagi tadi (26 Februari 2020).
Pesawat ini telah membawa pulang 66 orang rakyat Malaysia bersama keluarga yang bermastautin di Wuhan dan kawasan sekelilingnya. Di samping itu, pesawat juga telah membawa 12 krew penerbangan dan 9 wakil agensi kerajaan dari Malaysia bersama 2 pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Penerbangan ini dijangka mengambil masa 4 jam 30 minit untuk sampai ke KLIA.
Namun begitu enam orang yang hadir di lapangan terbang tidak dapat menaiki pesawat tersebut disebabkan isu kesihatan. Manakala seorang penumpang pula telah menarik diri atas faktor kesihatan tanpa hadir ke lapangan terbang. Seorang lagi tidak dapat menaiki pesawat disebabkan komitmen kerja.
Salah seorang rakyat Malaysia yang dijadualkan mengikuti penerbangan ini juga tidak dapat meninggalkan Wuhan kerana masalah logistik. Beliau telah mengalami kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk menuju ke lapangan terbang. Ini bermakna dari 75 penumpang yang dijadualkan pulang ke Malaysia, 9 orang tidak dapat berbuat demikian.
Kejayaan misi kali kedua ini adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Luar Negeri, NADMA dan Kementerian Kesihatan. Hubungan baik dan kerjasama yang erat antara Kerajaan Malaysia dan China juga menjadi penyumbang utama kejayaan ini. Sudah pasti ianya telah menggambarkan hubungan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua buah negara.
Sumber: theguardian.com & BERNAMA
Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
This website uses cookies.