Jangan biarkan wajah kusam menutupi kecantikan semula jadi anda! Saat membelek wajah di cermin, hampir histeria rasanya kerana kulit wajah semakin gelap, kusam dan tidak sekata.
Langkah pertama perlu dilakukan adalah mengembalikan kecantikan kulit. Kulit terdedah kepada sinar matahari, debu serta kotoran yang menyebabkan kulit rosak. Kerosakan kulit perlu dielak sebelum menjadi lebih parah serta perlu ditangani segera.
MENGAPA PERLU EKSFOLIASI?
Regenerasi kulit berlaku 14 hingga 28 hari sekali namun apabila kulit terlalu terdedah kepada cahaya matahari, cuaca tidak menentu dan berbagai bahan kimia, proses regenerasi menjadi tidak optimum dan perlu dirangsang dengan eksfoliasi. Eksfoliasi berfungsi untuk membuang sel-sel kulit mati yang tertinggal lantas menghasilkan kulit wajah lebih cerah dan lembut.
Eksfoliasi penting kerana ia membersihkan wajah jauh ke dalam berbanding rutin cucian biasa yang hanya menyentuh lapisan atas kulit sahaja. Malah eksfoliasi juga mampu mengecilkan pori-pori dan meningkatkan produksi kolagen sambil memelihara kelembapan kulit.
EKSFOLIASI DIY
Ketika tidur, sel-sel tubuh melakukan regenerasi. Setiap sel yang rosak akan diganti dengan sel baru termasuk bahagian wajah. Penggantian sel baru ini bergantung kepada kebersihan kulit. Jika tidur dengan wajah bersolek sel-sel kulit tidak boleh berkembang dan berganti. Malah kulit wajah menjadi kusam. Bagi menjaga kulit dan membantu pengelupasan sel kulit mati boleh melakukan eksfoliasi sendiri di rumah.
Kini kerana terdapat banyak produk yang membantu eksfoliasi. Pilih gel khusus untuk eksfoliasi agar selesa dan bersesuaian dengan kulit. Gosok lembut ke wajah dan bilas dengan air bersih sehingga sempurna. Boleh juga menggunakan bahan yang terdapat di dapur seperti kombinasi gula pasir dan madu. Campur satu sudu gula pasir dengan dua sudu madu. Sapu ke seluruh wajah dan setelah rata urut secara perlahan-lahan. Bilas dengan air bersih.
RAWATAN SELEPAS EKSFOLIASI
Merawat wajah selepas melakukan eksfoliasi sangat penting agar kulit terus terpelihara. Jangan lupa memberi nutrisi semula kepada kulit selepas pengelupasan. Sapu pelembap ke seluruh wajah untuk mengembalikan kelembapan wajah dan menghindar kulit menjadi kering.
Vitamin dan serum juga perlu di sapu untuk mengunci kelembapan dan minyak semula jadi di bawah kulit. Di samping itu, jangan tinggalkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pemakanan harian. Lebih baik jika mengamalkan pemakanan seimbang.
Sebaik-baiknya selepas melakukan eksfoliasi, elakkan wajah daripada terlalu terdedah pada cahaya matahari, berenang di siang hari, mencuci wajah dengan air panas, ekspresi wajah berlebihan atau menggaru kulit wajah dengan kuku tajam.
KEKERAPAN EKSFOLIASI
Eksfoliasi tidak boleh dilakukan setiap hari kerana lapisan kulit akan menjadi semakin nipis. Seelok-eloknya lakukan eksfoliasi kulit sebulan sekali agar kesejahteraan kulit terus terpelihara cantik.
Namun, jika sudah melakukan eksfoliasi tetapi masih tidak yakin kulit cantik dan bersih boleh melakukan cara mekanikal seperti micro dermabrassion atau thermal laser. Tetapi, sebelum melakukan rawatan mekanikal perlu mendapat rundingan daripada doktor kulit yang bertauliah terlebih dahulu.