Memulakan kerjaya awalnya sebagai pegawai perubatan kerajaan, nyata membibitkan rasa cinta yang mendalam terhadap bidang estetik buat Dr Wan Hidayu Wan Ahmad yang akhirnya menubuhkan Klinik Nur Raisha kerana minat terhadap dunia kecantikan.

Ads

Dress labuh Shanell Harun direka khas untuk Dr Ayu yang lekuk tubuhnya langsing sempurna. Walau sudah beranak tiga, badannya sepertikan anak dara. Setiap tutur kata disusun kemas, Dr Ayu sememangnya seorang wanita moden yang bijak dan tahu apa yang terbaik untuk dilakukan.

Pegawai Perubatan Kerajaan

Berusia 37 tahun, Pengarah Klinik Nur Raisha ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Surgeri dari Universiti Malaya. Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai perubataan kerajaan selama tujuh tahun, antaranya di Hospital Sungai Buloh, Pusat Darah Negara dan klinik kesihatan di daerah Kuala Selangor.

“Sebenarnya ketika saya masih bekerja sebagai doktor, ramai pesakit yang mengadu masalah kulit antaranya parut jerawat dan jeragat. Mereka bimbang dengan kesihatan kulit wajah mereka. Jadi itulah yang membuat saya terpanggil untuk membantu.

Selepas meninggalkan sektor kerajaan, saya kembali meneruskan pengajian dalam bidang estetik. Banyak yang perlu didalami walaupun pendidikan saya berlatarkan perubatan. Gabungan ilmu dan pengalaman yang ditimba membuatkan saya bertambah yakin menerokai perniagaan ini,” luah Dr Ayu sambil tersenyum.

Tinggal Kerjaya Pegawai Perubatan Kerajaan, Kini Dr Wan Hidayu Pengasas Klinik Nur Raisha
Dr Wan Hidayu Wan Ahmad, Nona Best Aesthetic Award

Klinik Nur Raisha

Klinik Nur Raisha ditubuhkan pada Januari 2018 di Puncak Alam, Selangor. “Mengambil inspirasi nama anak kedua saya yang kebetulan baru lahir, saya mula memperkenalkan rawatan estetik di kalangan penduduk setempat. Sekarang anak saya dah berumur lapan tahun, dan alhamdulillah klinik juga sudah memiliki ramai pelanggan tetap.

Kami mengambil sedikit masa untuk dikenali kerana memandangkan ada banyak klinik di Puncak Alam. Selepas setahun, Klinik Nur Raisha mula mendapat sambutan dan meningkat dari semasa ke semasa.

Demografi pelanggan juga berkembang, bukan setakat di kalangan warga Puncak Alam malah dari pelbagai negeri. Berkat rezeki yang mengalir, saya berjaya membuka cawangan kedua Klinik Nur Raisha di Publika, Solaris Dutamas pada September 2022.”

Selain layanan mesra, Klinik Nur Raisha cukup disenangi kerana servis dan rawatan estetik yang ditawarkan membantu menyelesaikan masalah pesakit. Kata Dr Ayu, mereka amat mementingkan pendekatan holistik termasuk teknologi yang digunakan.

Umpamanya teknologi rawatan laser yang diiktiraf FDA (Food and Drug Administration), selamat dan efektif untuk merawat sesuatu masalah. “Majoriti pesakit yang datang mengalami masalah jeragat, bintik-bintik hitam, jerawat dan parut jerawat. Semua ini boleh diselesaikan dengan berkesan menggunakan rawatan laser kami,” terang Dr Ayu.

Berbicara soal kenangan manis sepanjang penubuhan Klinik Nur Raisha, Dr Ayu tanpa berfikir panjang terus berkongsi perihal testimonial pesakit yang berjaya dirawat. “Ya, mestilah ramai. Banyak pelanggan saya mengalami masalah jeragat atau melasma. Ia perlukan banyak rawatan yang berulang.

Ada yang datang selepas pergi ke pelbagai klinik dan habis ribuan ringgit untuk merawat jeragat. Jadi apabila mereka berjumpa saya, saya akan pantau pada setiap sesi. Rawatan ini biasanya mesti dibuat lima ke lapan kali untuk menampakkan kesan. Ada pelanggan Klinik Nur Raisha yang dah buat rawatan 13 kali dan wajahnya memang betul-betul bersih tanpa cela!

Tinggal Kerjaya Pegawai Perubatan Kerajaan, Kini Dr Wan Hidayu Pengasas Klinik Nur Raisha
Dr Wan Hidayu Wan Ahmad, Nona Best Aesthetic Award

Beliau pun sangat gembira walaupun datang dari Subang setiap tiga minggu sekali. Kerana puas hati, beliau selalu bercerita tentang klinik saya kepada kenalannya. Bila kulit sihat, pelanggan pun happy!” kongsi Dr Ayu dengan teruja.

Ditanya pendapat Dr Ayu tentang pertumbuhan klinik estetik yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, wanita jelita ini pantas menjawab, “Memang sekarang ia berkembang pesat dan ramai doktor estetik membuka klinik sendiri kerana permintaan tinggi. Tapi saya rasa itu adalah persaingan yang sihat. Pelanggan ada pilihan untuk memilih klinik yang terbaik, selamat dan menawarkan harga paling kompetitif.

Sebagai usahawan, saya perlu fikir cara terbaik untuk pemasaran dan gunakan strategi bijak untuk menarik pelanggan. Saya fikir usaha perlu lebih dari segi marketing agar Klinik Nur Raisha makin dikenali.”

Ads

Menyedari lumrah perniagaan ada naik dan turun, Dr Ayu terbuka bercerita detik paling struggle sepanjang menjalankan perniagaan. “Pertama mestilah modal. Modal untuk membuka klinik sangat besar, apatah lagi kami perlu membeli mesin rawatan yang termaju dan berteknologi tinggi. Semakin bertambah mesin, semakin banyaklah servis rawatan yang boleh ditawarkan.

Macam saya, start dari kecil-kecil dulu. Bila ada duit, baru beli mesin baru dan tambah secara berperingkat. Tak perlu buat besar-besar pada peringkat awal kerana risikonya sangat tinggi,” nasihat Dr Ayu.

Tinggal Kerjaya Pegawai Perubatan Kerajaan, Kini Dr Wan Hidayu Pengasas Klinik Nur Raisha
Dr Wan Hidayu Wan Ahmad, Nona Best Aesthetic Award

 

Selain modal, beliau juga berdepan tentangan ibu bapa yang bekerja dalam sektor kerajaan. Jadi agar sukar pada awalnya untuk meyakinkan mereka ketika berhasrat meninggalkan kerjaya pegawai perubatan. Mujurlah kini ibu bapa Dr Ayu memahami dan menjadi pendorong terkuatnya untuk terus cekal berniaga.

“Alhamdulillah saya buat keputusan tepat. Saya sebenarnya didorong push factor tersendiri. Saya mahu anak-anak menjadikan saya contoh untuk berjaya. Jadi sebab tu saya kena kuat semangat walaupun ada waktu-waktu tertentu kita rasa down.

Sebagai manusia biasa, memang normal untuk rasa down tapi jangan terlalu lama dibuai perasaan tu. Betulkan mindset dan fikir positif, insyaallah kita akan baik,” ujar Dr Ayu yang gemar menjadikan hobi melancong sebagai terapi ‘me time’.

Ads
Tinggal Kerjaya Pegawai Perubatan Kerajaan, Kini Dr Wan Hidayu Pengasas Klinik Nur Raisha
Dr Wan Hidayu Wan Ahmad, Nona Best Aesthetic Award

 

Baca Lagi: https://www.nona.my/mantan-gabenor-bank-negara-aktif-gym-tan-sri-nor-shamsiah-yunus-bahagia-meniti-usia-bersara/

Selain berniaga, Dr Ayu rajin menyertai aktiviti kemasyarakatan sebagai usaha kebajikan membantu orang ramai. Antaranya bergiat aktif sebagai ahli PEKAWANIS dan menyumbangkan pengalamannya bersama Biro Hal Ehwal Wanita & Kebajikan di Puncak Alam.

“Saya suka beri kesedaran kepada wanita agar berdikari. Perlunya ada pendapatan sendiri dan jangan terlalu bergantung pada lelaki. Di Puncak Alam umpamanya, kawasan ini terdiri golongan middle-class yang mana ramai wanita tidak bekerja dan menjaga anak sepenuh masa.

Jadi yang mana datang ke klinik saya, saya akan galakkan mereka agar membuka mata dan rebut peluang pekerjaan dari rumah. Buat bisnes kecil-kecilan asalkan ada duit sendiri.”

Sebelum bual bicara kami berakhir, wanita yang diiktiraf Nona Best Aesthetic Award ini bercerita perancangan masa depannya. “Sebenarnya saya dalam proses untuk menghasilkan satu produk baharu iaitu produk kesihatan untuk wanita.

Idea untuk menghasilkan formula produk ini tercetus ketika saya mendapati ramai pelanggan di klinik, hampir 50% daripadanya mengalami masalah stres, depresi dan insomnia. Jadi produk suplemen ini dirumus khas untuk menstabilkan hormon kita. Apabila emosi stabil, insyaallah keluarga juga akan harmoni.

Mengakhiri perbualan, Dr Ayu menyifatkan karakter seorang Superwoman itu bukan berdasarkan kecantikan mata, tapi mestilah berkeyakinan dan berilmu. “Wanita kena selalu ada azam untuk belajar. Sebab dengan setiap ilmu itu, hidup kita akan meningkat dan menaikkan level ke satu tahap lebih tinggi,” akhiri wanita yang menjadikan sikap tidak mudah berputus asa sebagai superpower yang dimilikinya.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/berkilauan-bak-berlian-tokoh-wanita-berjaya-diraikan-di-nona-superwoman-award-2024/

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI