Tinggalkan Kerja Makan Gaji Demi Kejar Impian, Nur Farhanah ‘Ambil Semangat’ Bonda Rozita Ibrahim Dalam Perniagaan

Bukan mudah membuat keputusan berhenti kerja. Bagi ramai orang, kerjaya makan gaji lebih memuaskan dan terjamin pendapatan. Namun bagi Nur Farhanah Najmi pula sebaliknya. Anak Kuala Terengganu ini tekad melepaskan jawatan demi mengejar impian bergelar usahawan kosmetik, pertanian dan peruncitan.

Bertuah dikurniakan wajah cantik menawan. Kulit putih kemerah-merahan, wajah Nur Farhanah sekali imbas persis artis Korea.

Pada usia 29 tahun, wanita yang tinggal di Selangor ini mengambil keputusan menubuhkan perniagaan K Korean Cosmetics pada Februari 2020.

Tambah Nur Farhanah, dia sedikit pun tidak menyesal berhenti kerja kerana minat yang mendalam terhadap bisnes serta yakin masanya akan lebih fleksibel apabila mempunyai perniagaan sendiri.

“Sebelum memulakan bisnes, saya adalah pekerja sepenuh masa di syarikat swasta sehinggalah awal tahun 2018, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja disebabkan masalah peribadi.

Pada awal tahun 2019, terdetik di hati saya ketika itu ingin mencuba nasib untuk menjadi ejen produk orang dan belajar secara mendalam untuk pasarkan produk secara atas talian.

Sehinggalah pada bulan Jun tahun yang sama, saya tekad buat produk sendiri berdasarkan minat yang mendalam di dalam bidang kosmetik seperti lipmatte.

 

 

Ketika itu saya ambil masa hampir 3 bulan untuk buat kajian. Keutamaan saya tentulah bahan asli atau organik yang lebih selamat untuk kulit.

Sehinggalah saya menjumpai sebuah kilang yang memasarkan produk berkualiti setaraf antarabangsa.

Produksi keluaran produk mengambil masa selama 6 bulan. Bermulanya dengan modal wang simpanan kerja sebelum ini, saya tekad untuk memulakan bisnes kosmetik disamping menambah ilmu yang meluas untuk pasarkan produk secara atas talian.

Setahun kemudian dengan duit keuntungan produk ini juga, saya cuba nasib pula dalam bidang pertanian dan peruncitan secara kecil-kecilan.

Saya anggap ini adalah pendapatan sampingan saya jika bisnes kosmetik yang dijalankan tidak lagi relevan pada masa akan datang.” Nur Farhanah

 

BISNES PANDEMIK

Sayangnya, segala pelan bisnes yang direncanakan oleh Nur Farhanah terjejas apabila seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Cabaran yang paling sukar ialah pada awal Mac 2020. Ketika itu kami baru ingin melancarkan produk pada umum.

Memang sukar masa tu, disebabkan pandemik yang melanda buat pertama kali dan dikala itu juga PM mengumumkan perintah lockdown selama 2 minggu dan bersambung kepada minggu-minggu seterusnya.

 

 

Bermula dari PKP 1.0, saya mengalami kesukaran untuk mendapatkan pelanggan-pelanggan baru. Iklan-iklan yang dibuat juga tidak berkesan kerana orang ramai lebih mementingkan keperluan daripada kehendak.

Tapi ia sedikit pun tidak melemahkan semangat, malah membuat saya lebih gigih mencari peluang demi memajukan bisnes ini.” Nur Farhanah

Bercerita tentang pengalaman berniaga yang paling pahit dikenang, Nur Farhanah tanpa berselindung berkongsi kisah kerugian ribuan ringgit oleh sebuah syarikat terkemuka.

“Ya, saya pernah ditipu oleh mereka yang konon-kononnya menjanjikan perkhidmatan pakej terbaik untuk memasarkan produk di seluruh Malaysia dan antarabangsa.

Sehinggalah saya menyedari ditipu dan mengambil tindakan sewajarnya untuk dijadikan pengajaran kepada orang ramai. Ini juga menjadikan saya lebih berhati-hati dalam membuat pilihan untuk berurusan dengan orang yang tepat.”

Foto: Facebook Rozita Ibrahim

 

Menjadikan pengasas produk Sendayu Tinggi iaitu Bonda Rozita Ibrahim sebagai sumber inspirasi, Nur Farhanah tekad menurut jejak langkah wanita tersebut membina empayar dalam perniagaan kosmetik.

Antara pencapaian terbaik wanita ini adalah mencapai target yang ditetapkan dalam tempoh yang singkat. Semua ini berjaya terlaksana sewaktu PKP 2020 setelah puas berusaha memasarkan produk secara online dan offline.

Selain itu, jaringan K Korean Cosmetics juga kian berkembang. Nur Farhanah kini mempunyai sokongan dan pertambahan ahli-ahli yang hebat seperti dropship, ejen dan stokis. Bahkan, mereka juga turut dijemput oleh stesen TV Alhijrah baru-baru ini bagi membicarakan tentang bisnes tersebut.

 

“Alhamdulillah suami menyokong dan membantu dari segi pengurusan bisnes dan juga kewangan walaupun dia masih bekerja dalam sektor kerajaan. Keluarga saya pula sentiasa menyokong dari belakang sejak bermulanya perniagaan kecil saya ini sehinggalah sekarang.

Harapan saya agar suatu hari nanti produk K Korean Cosmetics lebih dikenali di seluruh Malaysia dan juga antarabangsa serta dapat membuka syarikat sendiri di masa akan datang.

Dalam masa yang sama, saya juga ingin membantu lebih ramai wanita untuk belajar berniaga secara online mahupun offline untuk menjana dan meraih pendapatan sendiri.” akhiri Nur Farhanah

Share
Published by
Norzalina