TINGGALKAN KERJAYA DI AWAN BIRU, EMMA BEE TEKAD JUAL NASI LEMAK SEBELUM JADI PENGASAS JAMU!

Impian Nurbasma Binti Khalid (Emma) 38 tahun, “Saya harap produk Jamu Diva akan dikenali, diterima dan menjadi kegemaran oleh seluruh pelosok dunia. Moga satu hari nanti juga, saya mampu menggapai impian untuk menjadi seorang jutawan yang dermawan.

Semoga segala pahala yang saya dapat daripada perjuangan ini dapat juga diberikan kepada arwah mak saya, Allahyarhamah Rahimah Mohd Salleh di dunia abadi,” bicara Emma yang merupakan salah seorang peserta Pencarian Nona Supewoman 2021.

“Sebagai seorang pengasas Jamu Diva, setiap kali pengeluarannya saya akan turun padang untuk quality check (QC) bagi memastikan jamu dihasilkan dengan sempurna. Selain itu saya bertanggungjawab untuk memastikan stok produk ini sentiasa ada di pasaran dan jualannya mencapai tahap yang memuaskan.”

Antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Emma pada era pandemik ini ialah bahan mentah premium untuk menghasilkan jamu sering kali terputus. Kawasan pemasaran dan jualan tidak dapat ditembusi kerana kekangan pergerakan yang terhad.

Malah jualan secara offline juga tidak dapat diteruskan kerana mengikut SOP kerajaan dan atas sebab-sebab keselamatan dalam membendung wabak COVID-19.
“Saya percaya ramai peniaga baru atau lama pasti mengalami masalah yang sama. Namun ia tidak langsung menjatuhkan semangat saya yang pernah melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun kehidupan. Semua ini saya perlu hadapi dengan sabar dan tenang,” ujar Emma sambil bercerita kisah hidupnya.

“Selepas menggenggam Diploma in Business Admin di KLIUC, saya telah memulakan kerjaya sebagai seorang pramugari di Malaysia Airlines System (MAS) dan selepas itu saya menyertai AirAsia Berhad sebagai Ketua Pramugari selama 10 tahun.

Namun, selepas pemergian bonda tercinta, semangat dan passionate of flying tu semakin pudar. Saat itulah saya rasakan inilah masa dan keputusan yang paling tepat untuk pulang kekal ke darat mencari rezeki.

Pada tahun 2017, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya di awan biru untuk selamanya. Maka bermulalah bab baru saya sebagai seorang peniaga. Disebabkan saya hanya ada pengalaman bekerja di pesawat, sudah tentulah kemahiran dalam dunia perniagaan agak terhad.

Jadi saya memutuskan untuk mula berniaga nasi lemak di TESCO Ampang. Tanpa kedai, di tepi jalan. Bayangkan berniaga ketika itu, berhujan ribut terpaksa dilalui. Ianya tidaklah seindah sewaktu bekerja di awan biru.

Namun saya tidak pernah berputus asa dan mengalah. Saya ingin merasai dugaan ini untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman dan belajar dari kepayahan. Saya percaya untuk berjaya, saya bakal menghadapi lebih banyak dugaan di masa hadapan.

Selepas tiga bulan, alhamdulillah saya berjaya menyewa kedai dan membuka Kedai Nasi Lemak Bonda di Suntex, Batu 9, Cheras. Sayangnya, kedai ini hanya bertahan lebih kurang setahun setengah.

Selepas itu, saya menjadi ejen/stokis untuk beberapa produk bumiputera sampai berjaya menjadi jurucakap untuk produk tersebut di beberapa rancangan stesen TV. Namun, rezeki tidak menyebelahi saya lagi. Panas tidak sampai ke petang, mungkin disebabkan kekuarangan ilmu dalam diri ini, saya terkandas di situ.

Ketika itu saya amat kecewa dengan diri saya sendiri dan juga dengan produk yang dijual. Boleh dikatakan hampir semua bisnes yang diusahakan, terhenti separuh jalan. Banyak air mata tumpah ketika itu, jiwa niaga hampir terbunuh dalam diri saya.

Demi mereka yang banyak bersusah payah bersama saya dalam bidang perniagaan ini, saya bangkit. Pada Mac 2021, saya memutuskan untuk melahirkan produk Jamu Diva di bawah naungan syarikat sendiri, Jaan Dhuha Empire. Saya ingin buat sesuatu produk yang bermanfaat untuk orang ramai.

Saya percaya produk ini dapat memberi manfaat untuk ramai orang di seluruh dunia. Jamu Diva merupakan jamu asli yang telah diperbaharui mengikut cita rasa dan cara minum yang lebih mudah. Pasti menyelerakan.

Sebenarnya, banyak khasiat jamu ini untuk kesihatan. Dan alhamdulillah, khasiat jamu saya juga dapat membantu mereka untuk menimang cahaya mata pertama.
Saya ingat lagi, betapa peritnya ujian apabila 1000 botol pertama yang sepatutnya dikeluarkan, rosak sebelum dijual. Saya mengambil keputusan untuk membatalkan seluruh operasi jualan ketika itu dan mengambil keputusan untuk keluarkan yang baru.

Sekarang perniagaan saya ini telah beroperasi selama lima bulan, masih lagi merangkak dan saya berharap ia akan dapat berjalan, berlari dan teguh suatu hari nanti.
Ada juga suara-suara sumbang yang merendahkan jualan jamu produk saya ini. Tetapi dugaan dan cabaran itu tidak sesekali melemahkan semangat saya untuk terus berjuang. Saya percaya, setiap kisah pahit yang berlaku pasti ada manisnya nanti. Tidak mudah mengalah adalah salah satu KUNCI untuk berjaya, insyaAllah,” bicara Emma sambil menguntumkan senyuman.

Beberapa kali jatuh, pasti Emma punya tulang belakang yang kuat sentiasa memberi sokongan dalam perniagaan. “Sejujurnya, suami saya Mohamad Fairuzz Samirin adalah mentor utama dan tulang belakang yang sama-sama berusaha menaikkan nama Jamu Diva.

Walaupun beliau ada perniagaan sendiri, beliau sanggup berkorban membahagikan masa, menjaga anak-anak kami. Saya dan suami sentiasa berusaha mencari idea-idea baru dan strategi marketing yang terbaik dalam memperkenalkan produk Jamu Diva yang masih lagi merangkak ini. Selain itu, suami juga banyak membantu dari sokongan emosi. Terutamanya ketika saya berasa sangat demotivated dan kecewa.

Selain itu seluruh keluarga terdekat, partners Jamu Diva dan sahabat-sahabat baik, anda semua adalah faktor untuk saya tidak mudah menyerah kalah. Mereka sentiasa ada menyokong saya dari sebelum Jamu Diva dilahirkan lagi. Tanpa sokongan moral, tidak mungkin saya sekuat ini dengan izin Allah. Alhamdulillah,” ujar Emma dengan rasa syukur dan sentiasa memilih persekitaran yang positif dalam kehidupannya.

Nasihat terbaik yang Emma dapat kongsikan kepada wanita lain, “Pesanan saya kepada mereka yang kecewa dengan dunia perniagaan adalah ‘Jangan Berhenti’. Kalau terdetik rasa itu dalam hati, cuba fikir balik, ‘Kenapa anda nak bermula dulu?’ Dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Percaya dan yakin dengan diri dan rezeki Allah. Tak penting cara kita bermula, yang penting bagaimana kita ‘MELEDAK’ menggapai ‘MIMPI’.

Saya sentiasa menanam semangat dalam diri untuk menjadi seorang manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain. Kerana sebaik-baik manusia di muka bumi ini adalah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lain. Keberkatan dalam perniagaan juga adalah amat penting dalam dunia perniagaan,” bicara Emma mengakhiri bualan.

Saksikan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.

Share
Published by
KR