Nekad tinggalkan kerjaya stabil iaitu juru ukur tanah (surveyor) demi impian buka tadika sendiri, Raihana Rosdan kini miliki 8 cawangan Al Kauthar Eduqids.

Impiannya untuk mendirikan perniagaan sendiri bersama suami akhirnya berjaya direalisasikan. Dalam tempoh yang singkat, ibu anak tiga ini berjaya bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Aqesyra Eduqids Sdn Bhd dan mendirikan lapan buah cawangan Al Kauthar Eduqids, merangkumi program asuhan dan didikan awal kanak-kanak di sekitar Selangor.

Ads

Nampak lembut dari luaran namun di dalam sebenarnya sangat cekal dan bersemangat tinggi, Raihana membuktikan kemampuannya sebagai usahawan tadika dan taska. Berusia 39 tahun, wanita yang memiliki kelulusan Sarjana Pengurusan Pejabat (UiTM Shah Alam) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik (UTM Johor) itu tidak kesal beralih bidang meski awalnya mendalami ilmu berbeza.

Tiba ke studio ditemani suami tercinta, Mohammad Faazil, Raihana tenang bercerita permulaan minatnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. “Sebelum ni saya dah bekerja berbelas-belas tahun dalam bidang ukur tanah serta terlibat dalam pelbagai projek di tapak bina. Sampailah suatu hari, saya diuji dengan sakit dan terpaksa berhenti kerja.

Dalam tempoh dua bulan berehat di rumah, terdetik hati untuk mulakan perniagaan sendiri yang boleh memanfaatkan orang lain. Niat itu saya bincangkan dengan suami kerana kebetulan kami ada sebuah lot kedai milik keluarga di Setia Alam.

Tinggalkan Kerjaya Stabil Demi Buka Tadika Sendiri, Kini Raihana Rosdan Miliki 8 Cawangan Al Kauthar Eduqids
Instagram @ryefz

Kami pernah berkira-kira untuk mulakan bisnes kelengkapan Umrah dan Haji. Saya buat solat istikharah minta petunjuk Allah jika inilah lorong rezeki yang ditetapkan-Nya, saya akan usaha bersungguh-sungguh. Tak lama kemudian, saya hadiri satu majlis reunion sekolah dan di sanalah saya bertemu Pengasas dan CEO Al Kauthar Eduqids (AKE) iaitu Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim. Beliau berhasrat mahu kembangkan bisnes AKE yang ketika itu baru mempunyai tiga cawangan.

Hasil perbincangan, kami bersetuju untuk sama-sama mengembangkan AKE. Saya mula mendalami bidang pendidikan awal kanak-kanak dan jatuh hati dengan keindahan bisnes tersebut. Tahun 2018, lahirlah Aqesyra Eduqids Sdn Bhd milik kami suami isteri dengan tadika dan taska pertama di Setia Alam.

Alhamdulillah, rupanya doa saya termakbul mahu menubuhkan bisnes yang memanfaatkan masyarakat. Saya bersyukur kerana segala proses memulakan bisnes juga dipermudahkan,” cerita Raihana yang mendapat ilham nama ‘Aqesyra’ dari singkatan nama anak-anaknya iaitu Aqeef, Aisyah dan Ayra.

Menyedari hakikat bahawa berniaga adalah sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda yang menjadi ibadah, Raihana tekad meninggalkan kerjaya lamanya biarpun sudah stabil dan berjawatan tinggi. “Sampai satu tahap sebagai wanita, saya fikir sampai bila mahu bekerja dalam site? Bekerja di tapak bina, kerja saya bukan di dalam pejabat tapi outdoor. Terpaksa tinggalkan anak-anak seawal pagi, keluar-masuk site dan proses data sampai ke larut malam.

Suami pula seorang kontraktor G7 dan sentiasa di tapak pembinaan. Dia pun cukup sibuk dengan kerja sehinggakan anak-anak kami tiada penjagaan yang sepatutnya. Jadi inilah yang mendorong kami suami isteri berniaga, satu kerana sunnah Nabi dan satu lagi kerana mencari keberkatan dalam famili,” ujar Raihana dengan lembut.

Lembut bicaranya namun tangkas berfikir dan bertindak sebagai usahawan, ikuti temu bual vodcast Nona bersama Raihana Rosdan ketika sesi fotografi Nona Superwoman Award baru-baru ini…

Nekad meninggalkan kerjaya ukur tanah (surveyor) demi impian mahu menubuhkan perniagaan sendiri dengan suami, Raihana Rosdan kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Aqesyra Eduqids Sdn Bhd.

Dalam tempoh yang singkat, ibu anak tiga dan isteri kepada Mohammad Faazil ini berjaya mendirikan lapan buah tadika serta taska cawangan Al Kauthar Eduqids, merangkumi program asuhan dan didikan awal kanak-kanak di sekitar Selangor. Kegigihan beliau mendapat pengiktirafan Nona Best Edupreneur Award dalam Nona Superwoman Award 2024 ✨

Solekan: Ann Karim

#majalahnona
#nonasuperwomanaward2024
#nonasuperwomanaward
#nonasuperwoman” />

Tidak pernah mendalami mana-mana ilmu keusahawanan selain latihan yang dipimpin Pengasas Bersama Al Kauthar Eduqids, Datin Nor Fadilah Alias dan business coaching oleh Dato’ Bakhtiar, Raihana beruntung kerana berkat pendidikan akademik dan pengalaman lalunya sangat membantu untuk menguruskan perniagaan pendidikan awal kanak-kanak swasta, prasekolah serta taska berkonsep Montessori Islamik.

Ads

“Dulu waktu mula-mula buka tadika, setiap malam saya akan tengok YouTube untuk dalami ilmu Montessori. Rasa semangat untuk belajar dan kaji kebaikan sesuatu aktiviti untuk perkembangan minda kanak-kanak. Ditambah lagi dengan penambahbaikan oleh Dato’ Bakhtiar dan Datin Nor Fadilah, kursus-kursus dan sebagainya, langkah saya dalam bisnes ini semakin mara ke depan.

Tinggalkan Kerjaya Stabil Demi Buka Tadika Sendiri, Kini Raihana Rosdan Miliki 8 Cawangan Al Kauthar Eduqids
Instagram @ryefz

Sejak ditubuhkan enam tahun lepas, tadika AKE di bawah Aqesyra Eduqids Sdn Bhd sudah berkembang sebanyak lapan cawangan. Saya yakin apabila lebih banyak tadika dibuka, bermakna saya dapat bagi lebih banyak manfaat kepada orang lain. Umpamanya kepada ibu bapa dan anak-anak di kawasan setempat serta peluang pekerjaan kepada guru-guru yang mengajar. Ada rezeki tersendiri di setiap tempat baharu yang dibuka.

Tiga daripada tadika Aqesyra Eduqids Sdn Bhd juga adalah milikan bersama dengan bekas guru di tempat saya dulu. Saya tumpang bangga melihat pencapaian guru-guru ini yang akhirnya mampu memiliki tadika sendiri berkat pengalaman bekerja dengan saya. Ia sesuatu yang mengharukan apabila melihat kejayaan mereka.”

Menyifatkan musim pandemik sebagai detik paling sukar sepanjang berniaga, Raihana mengimbau semula kejutan yang dialami apabila tadikanya kosong tanpa penghuni. “Terkejut sangat masa tu kerana niche of business tadika dan taska ini adalah servis secara bersemuka. Dalam erti kata lain, jika ibu bapa tak menghantar anak-anak mereka, maka tiadalah bayaran yuran untuk kami.

Dengan inisiatif sendiri, pada awalnya saya dan team saya tekad adakan program membaca dan mengaji kepada anak-anak secara online dirumah. Kemudian, kami mula sediakan bahan mengajar yang diberikan oleh pihak AKE di sekolah dan kemudian hantar ke rumah. Dari situ kami akan adakan sesi online dengan anak-anak di bawah pantauan ibu bapa untuk bersama melaksanakan projek yang dibuat oleh anak mereka.

Usaha ini berhasil apabila banyak ibu bapa pada masa itu tetap membayar yuran meskipun tidak sepenuhnya. Namun fasa pandemik itu banyak mengajar saya tentang struggle ibu bapa bekerja dan dalam masa yang sama perlu menjaga anak di rumah. Sesungguhnya bukan mudah terutama sekali bagi yang mempunyai anak-anak berusia enam tahun ke bawah. Bayangkanlah, saya sendiri bergelut untuk uruskan sesi PDPR anak sambil buat bisnes!

Ads
Tinggalkan Kerjaya Stabil Demi Buka Tadika Sendiri, Kini Raihana Rosdan Miliki 8 Cawangan Al Kauthar Eduqids
Instagram @ryefz

Mujurlah kebanyakan ibu bapa di tadika saya merupakan frontliners. Mereka memang mengharapkan taska dibuka untuk menghantar anak dan keluar bekerja. Selepas mendapat kelulusan kerajaan, kami teruskan operasi bisnes seperti biasa dalam fasa pandemik,” kata Raihana sambil tersenyum mengimbau kenangan tersebut.

Bercakap tentang pencapaian terbaik Raihana sepanjang mengusahakan tadika dan taska AKE, wanita hebat itu menyifatkan kejayaan anak-anak didiknya pandai membaca, menulis, mengira dan menghafal surah-surah lazim sebagai satu momen paling membanggakan. “Satu lagi kejayaan apabila guru-guru saya berjaya menjadi rakan kongsi membuka cawangan tadika yang baru. Selain itu, kami juga pernah menerima anugerah Outstanding Preschool & Playschool (Selangor) daripada Malaysia Education & TVET Awards 2024. Semua ini menjadi the best moments in my life!”

Selain berniaga, Raihana tidak lupa memberi semula kepada masyarakat melalui sumbangannya dalam aktiviti kebajikan. Beliau sebagai Bendahari di AKE Care, banyak turun padang menyertai program amal AKE umpamanya menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa di Sri Muda dan Padang Jawa, Shah Alam lewat bencana banjir 2022.

Pernah juga mereka menyalurkan sumbangan melalui program kemasyarakatan di penempatan Orang Asli Kuala Mu di Perak, selain Raihana sendiri terlibat secara aktif dalam Pertubuhan Pembangunan Kanak-Kanak Istimewa Malaysia (PPKIM) untuk menyebarkan kesedaran terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.

“Tulang belakang kekuatan saya adalah suami dan team yang banyak membantu. Dari segi inspirasi menjalankan bisnes tadika, sudah tentulah Datin Nor Fadilah kerana minat mendalam beliau untuk memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak ke tahap tertinggi. Kalau dalam Islam pula, saya menjadikan isteri Rasulullah SAW iaitu Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid RA sebagai idola usahawan wanita.

Sejujurnya sebagai pengusaha tadika dan taska, tiada istilah Sabtu atau Ahad kerana kami sentiasa sibuk dengan pelbagai program. Cuma kadangkala dapatlah saya bawa anak-anak iaitu Aqeef, Aisyah dan Ayra ke tadika untuk tunjuk apa yang Mama dan Papa buat setiap hari. Dan kalau ada cuti sekolah, kami selalunya akan pergi berjalan untuk ‘our we-time’.

Meskipun memakai pelbagai topi kehidupan, saya tetap memilih untuk duduk rumah, kalau tidak menonton video untuk belajar saya akan membaca buku sebagai terapi ‘me-time’ yang paling berkesan. Saya perlukan waktu sunyi atau ‘quiet time’ saya walau setengah jam untuk diri sendiri,” jelas Raihana yang menggemari buku-buku berunsurkan motivasi.

Mengakhiri temu bual, Raihana menyatakan harapannya untuk melihat lebih ramai guru-guru di bawah kendaliannya memiliki tadika sendiri. Beliau juga berhasrat meningkatkan lagi mutu dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia agar berkembang pesat, bahkan membuka peluang agar lebih ramai wanita untuk menyertai perniagaan ini.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/ada-firma-arkitek-jadi-pengusaha-tadika-swasta-usahawan-ar-nalira-azmee-mahu-wujudkan-suasana-yang-gembira/

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI