Berbekalkan pengalaman bekerja bertahun-tahun di dapur restoran, seorang wanita bernama Jesse sering berkongsi pelbagai rahsia dan petua memasak oleh cef terkenal.
Tapi satu perkara yang paling menarik adalah bagaimana cef-cef mahir di sana menguruskan ruang kerja mereka supaya sentiasa teratur. Mise en place atau bermaksud ‘semua di tempatnya’ adalah moto di setiap dapur restoran.
Susunan ini memang amat berbeza dengan cara kita di rumah kerana ia perlulah efisien dan senang dicapai. Sekaligus, membuatkan proses memasak menjadi lebih mudah, pantas dan menyeronokkan. Jom tiru trik bijak ni!
(1) Simpan bahan-bahan pantri yang kecil seperti rempah ratus dalam bekas deli
Bekas plastik deli seperti ini selalu didatangkan dalam pelbagai saiz, murah dan boleh disusun kemas bertingkat-tingkat. Warna bekas yang jernih juga memudahkan anda melihat apa isinya. Di restoran, kami simpan segala macam bahan dalam bekas ini, termasuk serbuk kopi, dan ia membantu kami mencari apa yang diperlukan dengan cepat.
(2) Masukkan bahan yang berat seperti gula dan tepung dalam bekas ini
Di restoran, kami menggunakan bekas-bekas seperti ini untuk menyimpan stok gula dan tepung. Cuma buka penutupnya dan keluarkan kuantiti yang perlu sahaja. Tapi untuk kegunaan rumah, anda boleh mencari bekas serupa yang sedikit kecil. Ia juga boleh disusun bertingkat-tingkat dan selamat dibasuh.
(3) Amalkan F.I.F.O (First in, First out)
Untuk merekod stok keluar masuk di restoran memang sangat sukar tapi satu cara yang kami amalkan adalah F.I.F.O. Jadi susun barangan pantri atau peti sejuk anda dalam barisan. Letak stok baru di belakang stok lama. Jadi jika nak cepat, mestilah anda capai stok yang paling depan, kan?
(4) Wujudkan ruang selamat untuk menyimpan pisau bagi mengelakkan kerosakan
Pisau berkualiti memang mahal, jadi tentu mengecewakan jika ia patah atau terserpih. Atasi dengan menggunakan penggantung magnetik atau bekas khas untuk pisau. Sentiasa ingat bahawa tidak semua bekas pisau sesuai untuk semua jenis pisau, ia sebenarnya direka mengikut saiz-saiz spesifik.
(5) Gunakan span hijau yang tahan lasak untuk membasuh pinggan mangkuk
Anda tidak akan menemui span lembut di restoran kerana ia cepat kotor dan rosak. Kami selalu menggunakan span penyental berwarna hijau ini kerana ia tidak mudah rosak walaupun selepas membasuh bekas pembakar keju atau kuali hangus. Ia juga murah dan tahan lasak daripada span basuh pinggan biasa.
(6) Pastikan ada 2 papan pemotong
Di dapur restoran, papan pemotong kami mempunyai warna berbeza yang mewakili kegunaan yang berbeza bagi mengelakkan kontaminasi atau pencemaran makanan. Tapi di rumah, anda perlu memiliki sekurang-kurangnya dua papan pemotong, satu untuk kegunaan memasak dan satu lagi untuk makanan manis. Jadi coklat anda tidak akan terasa bawang putih!
(7) Susun ruang memasak anda seperti meja kerja
Memasak juga adalah satu kerjaya. Jadi pastikan setiap peralatan diatur kemas agar memudahkan kerja anda. Gunakan tikar nonslip agar papan anda tidak bergerak dan pastikan semuanya dalam jangkauan tangan.
(8) Gunakan rak besi untuk menyimpan
Jika anda sedar, hampir setiap restoran memiliki rak besi seperti ini. Terdapat banyak saiz rak di pasaran, tidak mahal dan mudah dipasang. Ketinggiannya juga mudah dilaras dan ia boleh dimuatkan di ruangan sempit.
(9) Dapatkan peralatan di kedai industri
Kedai yang membekalkan peralatan industri untuk restoran mempunyai pelbagai pilihan unik untuk dapur. Kebanyakannya tidak dijual di kedai biasa dan jauh lebih murah.
(10) Jangan simpan barang makanan di tempat yang mudah panas
Contohnya kabinet di atas dapur. Elakkan menyimpan makanan dalam tin di kawasan ini. Ia lebih sesuai untuk menyimpan pinggan mangkuk atau peralatan memasak. Di restoran, kami juga tidak menyimpan bahan kering berdekatan kawasan yang panas.
(11) Belajar menyusun atur peti sejuk anda seperti di restoran
Susun barangan di dalam peti sejuk anda dengan kemas dan teratur. Makanan yang perlu dimasak dengan suhu tinggi (ayam dan daging) perlu diletakkan di bahagian paling bawah untuk mengelakkan pencemaran. Jangan simpan bahan seperti herba atau sayuran hijau di bahagian paling dalam kerana di situ sangat sejuk. Kesejukan boleh membuatkan ia layu dan rosak dengan cepat.
(12) Dapatkan botol ini untuk menyimpan cecair penting
Memang kelihatan kurang sesuai jika menggunakan botol seperti ini di rumah tapi tahukah anda, ia memberi lebih ketepatan semasa memasak berbanding jika menggunakan botol biasa? Saiz yang kecil juga sesuai untuk menyimpan cecair perasa atau sos tertentu yang tidak perlu digunakan secara banyak.
(13) Ruang di sebelah dapur memasak adalah untuk menyimpan sudu, sudip dan senduk
Ia dapat mengehadkan pergerakan anda semasa memasak. Jika semua keperluan ini disimpan berdekatan, tentu ia lebih memudahkan dan mempercepatkan.
(14) Jangan letakkan barangan berat di atas rak teratas
Susun barang-barang di atas rak mengikut beratnya. Jangan sesekali meletakkan barang yang berat di bahagian paling atas. Anda pasti terkejut bila mengetahui proses memasak akan bertukar lebih mudah jika mesin pengisar makanan disimpan di bawah singki. Begitu juga barangan penting seperti periuk atau kuali.
Selain semua trik ini, Jesse turut menyarankan supaya anda menggantung papan putih di dapur bagi mencatat inventori atau memo penting. Ia juga mengelakkan anda terlupa atau membantu mengingati tip memasak yang berguna. Norzalina Mohd Alias
Sumber: Buzzfeed