Alhamdulillah, tanggal 19 April 2022 genap tiga tahun usia perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bersama isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson.
Mengimbas detik bersejarah pasangan diraja ini, YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz dan Che Puan Sofie melangsungkan majlis pernikahan pada 19 April 2019 dalam suasana ringkas tetapi meriah. Istiadat pernikahan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan.
Bersempena ulang tahun perkahwinan ke-3, Che Puan Sofie berkongsi foto persandingan ketika beliau menyuapkan kek kepada suami tercinta. Menerusi posting tersebut juga, Che Puan Sofie memberitahu, “19 April, today is our 3rd
wedding anniversary. The 3rd wedding anniversary is known as the leather anniversary.”Che Puan Sofie yang berasal dari Sweden ternyata berjaya menambat hati khalayak dengan penampilan dirinya yang anggun dan sopan. Biarpun bukan dilahirkan di Malaysia dan menjalani perbezaan budaya sebelum bergelar suri hati Tengku Mahkota Kelantan, namun beliau bijak menyesuaikan diri.
Misalnya, ketika awal perkahwinan dan pertama kali muncul di khalayak apabila mengikuti Tengku Muhammad Fa-iz Petra mengunjungi rakyat Kelantan yang terlantar sakit dan kurang bernasib baik.
Waktu itu, Che Puan Sofie baru empat hari bergelar isteri dan menarik perhatian ramai dengan penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos.
Begitu juga ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyaksikan Che Puan Sofie hadir bersama Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Setia berada di sisi suami tercinta, beliau kelihatan cukup anggun dalam persalinan kebaya labuh songket dan selendang kuning.
Pada sebelah malam pula ketika Majlis Santapan Diraja, Che Puan Sofie menggayakan baju kurung emerald green yang digandingkan dengan selendang rona senada.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit.
Dalam sambutan Ramadan kira-kira tiga tahun lalu, Che Puan Sofie pernah menyantuni orang ramai dan membuat jualan amal meat ball serta cinnamon bun hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan Kota Bharu.
Difahamkan beliau menggunakan sebanyak 7 kilogram daging untuk jualan meat ball tersebut di samping tidak melepaskan peluang menyediakan juadah berbuka buat suami tercinta. Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga YTM Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie.
This website uses cookies.