Meskipun sudah lama meninggalkan dunia pengacaraan namun bakat dan nama Puan Sri Normala Samsudin masih diperkatakan hingga ke hari ini. Bersandarkan pengalaman yang luas dalam industri penyiaran, tidak hairanlah beliau sering dijadikan rujukan bagi mereka yang berhasrat menceburkan diri dalam pentas dunia glamor tersebut.
Berusia 60 tahun, Puan Sri Normala yang dilahirkan pada 4 Jun 1964 di Johor ini lebih bahagia selepas bergelar nenek dan membahasakan dirinya sebagai Tok Mama.
Puan Sri Normala selamat menimang cucu sulung lelaki diberi nama Aamin Yusuf yang juga anak sulung kepada Dr Ruhila dan suami, Majid Nazli pada 15 Jun 2022.
Walau umur sudah pun mencecah 60 tahun namun isteri kepada bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Azmi Khalid ini kekal jelita dan seolah-olah tidak dimamah usia.
Disifatkan seorang wanita yang gemar mengamalkan gaya hidup sihat dan aktiviti lasak, Puan Sri Normala menerusi media sosial miliknya turut berkongsi aktiviti seperti berbasikal, mendaki dan pernah menjejakkan kaki di Gunung Tahan, Gunung Kinabalu dan Gunung Batur di Indonesia.
Aktif orangnya!
Dalam temu bual bersama Nona suatu ketika dulu, jelitawan ini menitipkan pesan bermakna buat kaum wanita.
“Setiap wanita itu dilahirkan berbakat cuma ia berbeza-beza. Kalau cantik dan bijak serta berbakat namun kurang budi bahasanya, dia tidak dikenang sebagai manis dan santunnya.
Jadi, jadilah wanita yang bukan saja cantik, berbakat dan bijak, malah wanita yang penuh santun susila dan teguh imannya.
Benar, setiap wanita itu perlu diberikan pendidikan yang tinggi walaupun akhirnya sebagai suri rumah. Wanita berpendidikan adalah pengurus yang sangat baik.
Mengurus anak dan rumah tangga bukan sesuatu yang senang, ia perlu sentiasa ada instinct dan mengurus setiap masalah dengan baik, bijak dan tepat.
Wanita bijak tidak akan sentiasa serabut, kerana dia takda masa memikirkan sesuatu masalah terlalu lama dan jadi berkarat.
Jika dia tidak ada pendapatan dan terpaksa jadi ibu tunggal, dengan pendidikan walaupun tidak tinggi dia boleh menyara keluarga. Bayangkan kalau pendidikan tinggi, wanita itu akan hebat walau apa pun situasi yang menyusahkan dan menjengkelkan.”
Puan Sri Normala Samsudin merupakan bekas pengacara, wartawan penyiaran, penyampai berita dan pelakon. Sepanjang menceburi kerjaya itu, beliau cukup popular dalam industri dan salah satu program kendaliannya yang masih diingati sampai sekarang ialah program Nona di TV3.
This website uses cookies.