Penyanyi nombor satu negara, Dato Sri Siti Nurhaliza kini berada di Madinah untuk menunaikan umrah di 10 malam terakhir Ramadan.
Perkongsian di IG story milik ibu kepada dua cahayamata ini menunjukkan dia kini sudah berada di bumi Madinah untuk mengerjakan umrah.
Tahun lepas, Tok Ti ke Tanah Suci ditemani pengurusnya, Rozi Abdul Razak dan kakak ipar, Datin Zaiton Mohd Jiwa.
“Kita menjadi tetamu-NYA atas jemputan. Seperti tahun lepas, seminggu selepas berpuasa terasa rindu nak ke tanah suci. Jadi saya terus daftar, cari hotel di Mekah dan Madinah dan juga tiket penerbangan walaupun last minute dan harga pun murah.
Meskipun Tok Ti pernah memaklumkan tahun ini dia tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Mekah, nampaknya rezeki dirinya menjadi tetamu Allah termakbul jua apabila diberi kesempatan menunaikan umrah.
Tok Ti turut berkongsi momen diberi kesempatan menunaikan solat di Raudhah dan berdoa di tempat yang istimewa di dalam masjid An Nabawi itu. Jelas terbayang rasa bersyukur dan gembira diberikan ruang dan peluang menjejakkan kaki ke taman syurga yang sememangnya menjadi lokasi istimewa di Masjid An Nabawi.
Kunjungan kali ini turut disertai oleh Datuk K menerusi perkongsian IG Story Tok Ti. Turut sama ke sana kali ini, dia ditemani beberapa orang sahabat karibnya untuk mengerjakan umrah.
“Alhamdulillah, ALLAH permudahkan segalanya,”ujar Siti Nurhaliza.
Sementara itu, Siti Nurhaliza sedang sibuk membuat persiapan untuk Konsert Satu Suara Volume 3 anjuran Yayasan Nurjiwa yang bakal berlangsung pada 13 Mei depan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.
Tok Ti berkata, ia bakal menampilkan dua artis jemputan dari era yang berbeza iaitu Jay Jay dan Ernie Zakri. Konsert itu antara lain bertujuan mengisi dana Yayasan Nurjiwa bagi meneruskan misi bantuan kemanusiaan, kebajikan, bencana alam dan pembiayaan sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin.