Ramai wanita yang mahu mengamalkan diet untuk menguruskan badan tetapi sering gagal meneruskan program diet pilihan mereka. Akibatnya diet terputus di tengah jalan. Lebih malang lagi setelah gagal program diet, badan semakin naik.
Tubuh memerlukan kalori sebagai sumber tenaga untuk melakukan aktiviti harian. Karbohidrat pula merupakan sumber utama kalori yang menjana tenaga. Nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia yang kaya dengan karbohidrat dan sumber membekalkan tenaga.
Namun, ramai yang mengelak mengambil nasi terutama ketika dalam program diet. Roti telah menjadi pilihan untuk mengganti nasi sebagai alternatif sumber karbohidrat.
Roti mengandungi karbohidrat yang boleh menggantikan nasi. Roti bukan hanya pilihan mereka yang mahu menurunkan berat badan tetapi turut menjadi pilihan bagi mereka yang mencuba untuk makan sihat.
Ramai wanita berdiet memilih roti untuk memberi rasa kenyang. Roti yang terbaik adalah roti yang berasaskan gandum.
Roti tawar gandum dapat memenuhi keperluan kalori setiap hari dengan kandungan serat yang tinggi dan hanya mengandungi 12.26 gram karbohidrat dalam sepotong roti.
Manakala protein dalam gandum yang digelar gluten dapat diukur dengan kadar kekerasan roti. Semakin keras tekstur roti, maka semakin banyak protein di dalamnya. Kandungan protein dalam sepotong roti sekitar 5 gram.
Manfaat Roti Tawar Gandum
- Membantu program diet kerana kandungan serat tinggi yang baik untuk pencernaan.
- Menurunkan kolesterol kerana mampu mengikat asid yang dikeluarkan oleh hempedu (bile asid). Asid ini yang menjadi punca kolesterol.
- Mengandungi serat tinggi.
- Mengandungi vitamin dan mineral seperti vitamin E, B2 dan niasin.
- Elok untuk pesakit diabetes kerana kandungan glikemik rendah.
Jenis-jenis roti
(a) Roti tawar
Karbohidrat yang terdapat dalam roti tawar baik untuk menambah tenaga. Mengambil roti tawar sebagai sarapan dapat memberikan rasa kenyang.Namun, bergantung pula kepada beberapa jumlah keping roti yang diambil.
Selain itu, roti tawar juga kaya dengan serat. Serat berfungsi untuk melancarkan sistem pencernaan sehingga sistem pencernaan menjadi sihat. Roti tawar juga mengandungi vitamin B untuk keperluan tubuh.
(b) French bread/baguette
Terkenal sebagai roti tongkat kerana bentuknya yang panjang dan bertekstur keras. Permukaan baguette selalu dibuat berbelah tengah. Masyarakat Barat menggemari roti ini sebagai sandwic atau di permulaan makanan. Boleh juga dibuat roti bawang putih atau bruschetta dan sedap dimakan bersama sup.
(c) Roti Pita
Roti pita memiliki kalori lebih sedikit daripada roti gandum biasa. Roti ini paling ideal buat mereka yang mahu menurunkan berat badan. Diadun sempurna dengan biji-bijian dan mengandungi mineral dan vitamin. Roti pita berupaya mengurangi risiko kolesterol dan darah tinggi.
(d) Croissant
Croissant adalah jenis roti yang berasal dari Perancis. Roti ini mempunyai tekstur tidak terlalu padat dan menjadi pilihan penggemar sandwic. Kulitnya rangup dan bahagian dalam lembut sehingga membuat permukaan roti muda retak ketika ditekan.
(e) Roti gandum
Roti gandum yang dibuat dari biji gandum, merupakan sumber karbohidrat yang terbaik untuk sarapan. Roti jenis ini mengandungi nutrisi yang bermanfaat untuk tubuh, seperti protein, vitamin B, antioksidan, zat besi, magnesium, dan mineral.
Roti gandum sangat baik untuk kesihatan kerana rendah lemak dan bebas kolesterol. Roti gandum juga dilengkapi dengan campuran fitokimia yang dapat melawan perkembangan sel-sel kanser. Hamizatul Maizan Mohamed