Rakyat Malaysia sememangnya berjiwa penyayang dan penuh dengan sikap prihatin. Tidak kira para pemimpin, ahli korporat, selebriti mahupun orang kebanyakan, semuanya tidak mahu melepaskan peluang mencurah keringat kepada insan memerlukan. Terbaharu, situasi banjir yang melanda negara turut menarik perhatian Dr Jezamine Lim yang merupakan isteri kepada pelawak terkenal, Harith Iskander. Terpanggil untuk membantu mangsa banjir yang terjejas khususnya Orang Asli, Dr Jezamine dan suami tersayang mewakili badan amal mereka The Hope Branch bagi menjayakan misi bantuan berkenaan baru-baru ini.
Terharu dan sangat terinspirasi melihat komitmen pasangan suami isteri ini membantu mereka yang terjejas. Mana tidaknya, walau menyedari risiko jangkitan Covid-19… Dr Jezamine dan Harith Iskander sanggup ‘berjuang’ memastikan segala sumbangan berupa keperluan harian kepada mangsa banjir sampai dengan selamat.
Malah, pujian juga harus diberikan kepada mereka kerana memiliki jiwa kental untuk ‘berpisah’ dengan ketiga-tiga anak selama beberapa hari demi usaha murni ini. Bukan mudah bagi ibu bapa untuk berbuat demikian. Namun Dr Jezamine dan Harith Iskander optimis membuat kebajikan selain berfikiran positif serta mengharapkan segala urusan mereka dipermudahkan dan berada dalam lindungan-Nya.
Menerusi perkongsian Dr Jezamine, ibu muda ini terpaksa mengharungi perjalanan selama beberapa hari ke Kelantan dan Terengganu bagi misi menghantar bekalan keperluan kepada ribuan keluarga Orang Asli yang berada di kawasan pedalaman dan terjejas teruk akibat banjir. Apatah lagi, keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di kebanyakan negeri menyukarkan usaha berkenaan.
Bagaimana pun, memasuki hari kelima mereka akhirnya tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat. “Ia sesuatu yang diluar jangkaan dan kami berjaya lakukannya! Lima hari kami berdepan pelbagai kesukaran termasuk soal logistik. Pada saat-saat akhir, kami terpaksa mencari jalan segera apabila helikopter tak dapat mendarat di kawasan yang dirancang atas sebab tertentu. Kami mendarat di Pos Brooke dan kem tentera Semur untuk menghantar bekalan barang keperluan kepada lebih 2000 keluarga. Kemudian dari Kem Semur kami ke Pos Brooke untuk penghantaran bekalan beras. Penempatan Orang Asli di sini hanya boleh sampai melalui helikopter dan mereka juga mengalami insiden banjir yang teruk.”
Ujar Dr Jezamine lagi, momen paling terkesan baginya adalah apabila melihat golongan terjejas ini berlari kegembiraan kepada pasukan bantuan sebaik mendarat. “Kami mengembara dari Kota Bharu-Kuala Besut-Gong Kedak-Gua Musang-Pos Brooke iaitu kawasan pedalaman di Kelantan. Perjalanan ini sangat bermakna dan berbaloi. Kami mendarat di Kem Semur dan Pos Brooke untuk mengagihkan sumbangan kepada penduduk di Pos Hau dan Pos Balar di mana masyarakatnya telah terputus hubungan dengan dunia luar kerana tanah runtuh dan banjir.”
Dalam pada itu, Dr Jezamine mewakili The Hope Branch mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah terlibat menjayakan bantuan berkenaan termasuklah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memudahkan urusan logistik, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Difahamkan selepas misi bantuan di Kelantan dan Terengganu, Dr Jezamine akan meneruskan usaha sama ke Johor pula.
Yang pasti, aktiviti sukarelawan sudah sebati dalam diri ratu hati Harith Iskander sejak beberapa tahun lalu. Misalnya pada situasi PKP tahun lepas juga Dr Jezamine aktif membantu golongan terjejas Covid-19 dengan menyediakan ribuan pek makanan kepada mereka. Paling mengharukan, semua makanan tersebut dimasak sendiri oleh Dr Jezamine!
Kagum dengan semangat Dr Jezamine. Dalam kesibukan menguruskan keluarga tetap mempunyai masa untuk membuat kerja amal. Satu Tindakan yang patut dijadikan pencetus inspirasi kepada masyarakat. Beruntung Harith Iskander dikurniakan isteri yang bukan hanya cantik, berpendidikan tinggi dan bekerjaya tetapi juga memiliki hati penyayang!
Dr Jezamin mendirikan rumah tangga dengan Harith Iskander pada 12 Jun 2010. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne Iskander, Alessandrea Jayne Iskander dan Zydane Xayne Iskander. Dr Jezamine juga pemegang ijazah doktor falsafah (Phd) in Stem Cell and Tissue Engineering dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kredit: Instagram Dr Jezamine, Harith Iskander & The Hope Branch
This website uses cookies.