Bukan ibu bapa saja sibuk memulakan rutin hidup norma baharu, golongan kanak-kanak juga tidak terkecuali bakal back-to-school tak lama lagi.
Meskipun kita tawakal dengan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), tapi bimbang juga dengan risiko penyebaran virus COVID-19 di kalangan anak kecil.
Hal ini turut disuarakan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan UniSZA, Dr Safiya Amaran. Sebagai ibu, Nona berkongsi kupasan beliau tentang isu kecil yang boleh menjadi gelombang besar jika tidak dikawal itu.
Dr Safiya Amaran
Jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak agak unik.
Masa awal pandemik dulu, ramai ingat kanak-kanak tidak kena jangkitan Coronavirus macam orang dewasa dan warga emas.
Malah, ada yang jangkakan kanak-kanak ada daya tahan dan imunisasi tersendiri terhadap jangkitan ini. Bukan apa, memang jarang sekali kanak-kanak dibawa ke klinik sebab nak test COVID-19.
Mereka tidak alami apa-apa gejala dan kalau ada kes positif pun, hanya tahu lepas buat contact tracing.
Menurut Profesor Dr Andrew Pollard, iaitu profesor dalam bidang jangkitan dan imuniti pediatrik, Universiti Oxford (Sinha et al., 2020), gejala yang dialami kanak-kanak adalah jauh lebih ringan berbanding orang dewasa dan warga emas.
Tahukah kita, kebanyakan kanak-kanak ini (yang bergejala COVID-19) cuma alami demam, batuk, hidung tersumbat, selsema dan sakit tekak.
Sama macam jangkitan lain?
Ads
Ya, sama sahaja! Tak nampak beza yang ketara.
Kenapa kanak-kanak kurang mengalami komplikasi COVID-19?
Sebenarnya memang ada kanak-kanak yang alami komplikasi akibat COVID-19 tetapi tidak ramai, sikit sangat. Menurut kajian oleh Sinha et al. (2020), ada beberapa penjelasan yang boleh diberikan berkenaan keadaan ini.
PERTAMA, SARS-CoV-2 perlukan protein di permukaan luar sel saluran pernafasan untuk ia masuk ke dalam sel badan kita. Protein ini namanya Angiotensin Converting Enzyme II (ACE-2) receptor.
Bagi kanak-kanak, bilangan protein ini ada sikit sahaja di bahagian paru-paru, sebaliknya lebih banyak di bahagian rongga pernafasan atas, iaitu mulut dan hidung.
Ini mungkin sebab kenapa gejala COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih kepada demam, batuk, selesema dan sakit tekak manakala dalam kalangan dewasa dan warga emas lebih kepada jangkitan kuman paru-paru dan sindrom akut kegagalan pernafasan.
KEDUA, kanak-kanak di taska, tadika atau sekolah sudah biasa terdedah kepada jangkitan kuman di saluran pernafasan.
Ads
Mereka mungkin sudah terdedah kepada jangkitan empat jenis Coronavirus yang lain seperti 229E (alpha coronavirus), NL63 (alpha coronavirus), OC43 (beta coronavirus) dan HKU1 (beta coronavirus).
Empat jenis Coronavirus ni tidak bahaya, malah memang biasa menjangkiti manusia dan tidak menyebabkan jangkitan yang teruk.
Pendedahan dengan keluarga Coronavirus yang lain mungkin menyebabkan daya imunisasi kanak-kanak terhadap jangkitan SARS-CoV-2 adalah lebih tinggi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas.
KETIGA,cytokine storm.
Cytokine storm ni adalah satu tindak balas dari sistem imunisasi badan kita untuk melawan SARS-CoV-2. Tapi dalam usaha nak serang SARS-CoV-2, cytokine storm ini juga boleh pergi serang badan sendiri dan mengakibatkan kerosakan organ badan yang terlibat!
Kalau bandingkan dengan orang dewasa, kanak-kanak ni sistem imunisasi badan mereka tak berapa matang dan sebab tu mungkin belum mampu untuk hasilkan cytokine storm untuk lawan SARS-CoV-2.
Jadi inilah tiga sebab kenapa gejala untuk kanak-kanak jauh lebih ringan berbanding orang dewasa.
Ads
Majalah Pa&Ma
Bolehkah kanak-kanak menjangkiti orang lain?
Ini soalan paling kritikal. Ramai nak tahu ni.
Kajian menunjukkan walaupun kanak-kanak tidak mengalami apa-apa gejala atau cuma mempunyai gejala ringan, mereka mampu menjangkiti orang lain di sekitar mereka, sama seperti orang yang mempunyai gejala yang teruk.
KANAK-KANAK PENYEBAR SENYAP
Apabila mereka tak ada gejala, ini yang buat penyakit ini boleh tersebar dengan cepat tanpa disedari (Sinha et al., 2020). Malahan kanak-kanak berpotensi menjadi penyebar senyap yang merbahaya dalam komuniti kerana orang tidak menyangka mereka sebenarnya pembawa virus SARS-CoV-2.
Oleh itu, ibu bapa janganlah bawa anak-anak ke tempat awam dan KENA ELAKKAN percampuran sesama kanak-kanak dan juga dengan orang tua.
Kesimpulannya golongan kanak-kanak pun berisiko untuk dapat penyakit COVID-19 sepertimana golongan dewasa.
Walaupun golongan kanak-kanak ni kurang berisiko untuk dapat komplikasi yang teruk tetapi mereka juga perlu dilindungi, terutama sekali kanak-kanak yang tidak mempunyai tahap kesihatan yang optima.
Bukan banyak, tapi hanya dua harapan saya…
Lindungi kanak-kanak.
Lindungi orang tua.
Kedua-duanya perlu kita lindungi sama-sama! Kredit: Facebook (Dr Safiya Amaran)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wah, kagum dengan kejayaan anak perempuan pelakon Zulkifli Ismail! Mana tidaknya, dalam usia muda dah ada kerjaya kukuh dan berjaya genggam PhD. Lebih istimewa, Dr Zulfati Izazi Zulkifli juga baru bergelar isteri dan suami tercinta juga merupakan graduan PhD. Memang sepadan pasangan suami isteri muda ini.
Terinspirasi dengan kisah kejayaan wanita ini, Nona menghubungi Dr Zulfati Izazi atau mesra disapa Dr Izazi. Teruja berkongsi pengalaman, dia mengharapkan agar perkongsian ini dapat menjadi suntikan semangat buat kaum wanita lain untuk menggapai impian.
Mengulas perkhabaran gembira pada majlis graduasi Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini, Izazi yang bakal meniti usia 30 tahun pada Ogos depan menzahirkan rasa syukur kerana pengorbanannya selama ini berbaloi.
Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Seri Bintang Selatan, Dr Izazi kemudian melanjutkan pengajian STPM di Victoria Institution hingga tahun 2011 sebelum menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Linguistik).
“Selepas tamat ijazah sarjana muda, saya lanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pula di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengajian Bahasa dari tahun 2015 hingga 2017. Beberapa bulan bekerja sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Malaya pada tahun 2017, saya mendaftar pula sebagai pelajar ijazah doktor falsafah dalam bidang linguistik di USM dan telah tamat pengajian pada awal tahun 2021.
Sekarang saya sedang berkhidmat sebagai pensyarah di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) di Korea Selatan. Saya mengajar kursus-kursus berkaitan bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar ijazah sarjana muda di sini.”
Ditanya mengapa memilih bidang linguistik, ini jawapan jujur Dr Izazi. “Saya ada banyak minat, jadi pada awalnya agak sukar untuk saya pilih bidang pengajian yang bakal diambil. Kemudian saya sedar bahawa minat saya terhadap bahasa sebenarnya telah mula mendalam sejak saya kecil lagi.
Saya sentiasa ada rasa ingin tahu tentang bahasa, kerana itu saya buat keputusan untuk mendalami ilmu tentang bahasa melalui bidang linguistik.
Tentang masa yang diambil untuk tamat pengajian, jika dikira bermula daripada sarjana muda sehingga PhD, kesemuanya mengambil masa kira-kira 9 tahun. Satu perjalanan yang panjang tapi cukup bermakna.
Saya percaya, seperti mana-mana ibu bapa lain, ibu bapa saya juga gembira dan bersyukur dengan kejayaan saya. Pelukan dan ucapan tahniah daripada mereka sangat bernilai untuk saya.”
Berstatus anak selebriti, Izazi yang merupakan anak sulung kepada pelakon Zulkifli Ismail dan Umi Salbiah Abdul Rahman ini mengakui kedua-dua ibu bapa memberi peluang kepadanya untuk memilih bidang kerjaya dan pendidikan yang diinginkan.
“Ibu bapa saya tidak terlalu tegas tentang keputusan peperiksaan. Bahkan mereka tak pernah marah kalau saya dapat C atau D sekalipun dalam peperiksaan, tetapi mereka sangat menyokong setiap proses pembelajaran.
Sejak zaman sekolah lagi mereka sentiasa sokong minat saya, aktiviti kebudayaan, kesenian, projek sains, aktiviti luar, apa sahaja yang membantu perkembangan minda dan pembentukan sahsiah saya, mereka akan sokong.
Pendekatan mereka ini juga menyebabkan saya sendiri rasa lebih terdorong untuk terus belajar dan menerokai minat saya.”
Bertuah Dr Izazi kerana dikurniakan ibu bapa yang sentiasa menyokong minat anak-anak. Berkongsi sisi peribadi pula, pendidik ini tanpa berselindung mendedahkan status dirinya sebagai isteri kepada Dr. Md Yushalify Misro kira-kira tiga bulan lalu.
“Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga kira-kira 3 bulan lepas, setelah tamat pengajian dan ketika sudah bekerja. Buat masa ini, saya dan suami berjauhan kerana saya masih di Korea dan suami yang merupakan seorang pensyarah matematik di USM pula sedang berkhidmat sebagai penyelidik jemputan di Shizuoka University, Jepun.
Jika ada rezeki, saya merancang untuk kekal berada dalam akademia dan terus menjadi seorang pendidik, inshaAllah.”
Semoga usaha murni dan kejayaan Dr Izazi mendidik anak bangsa menjadi sumber inspirasi buat semua wanita!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berkobar-kobar semangat wanita yang hadir ke Nona Superwoman Talkshow apabila bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan kata-kata inspirasi khusus buat mereka yang ingin dan sudah pun menceburi bidang perniagaan.
Tan Sri Shahrizat selaku Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) turut berbesar hati merasmikan private event berkenaan yang berlangsung di Bunglow 37, Kuala Lumpur pada 16 Januari lalu.
Tan Sri Shahrizat Rasmi Nona Superwoman Talkshow
Seramai lebih 50 wanita bertuah terdiri daripada ahli korporat dan usahawan dijemput meraikan Nona Superwoman Talkshow. Ia merupakan kesinambungan majlis pengiktirafan Nona Superwoman Award 2024 yang berlangsung dengan jayanya pada 8 Januari lepas.
Rentetan kejayaan itu, satu majlis ilmu iaitu Nona Superwoman Talkshow diadakan dengan kerjasama Bartech Beautee dan HAWA FG Ekonomi.
Antara pengisian utama Nona Superwoman Talkshow ialah sesi bual bicara bersama Pengasas Bartech Beautee iaitu Nurul Adlinna Mohd Bakri yang juga penerima Nona Best Business Development SME Award 2024 dan Nona Best Trusted Beauty & Whitening Brand Award 2024 serta Coach Borong China Expert yang juga penerima Nona Business Strategist Award 2024, Cikgu Samm.
Dalam sesi bual bicara selama kira-kira 20 minit tersebut, pelbagai input berkaitan perniagaan dibincangkan secara terperinci oleh kedua-dua panel. Ini termasuk mengenai kaedah pemasaran perniagaan baharu, cara mengembangkan bisnes dengan tepat dan kisah pengalaman mereka sepanjang mengendalikan empayar perniagaan.
Majlis Nona Superwoman Talkshow turut diserikan dengan kehadiran mantan Ahli Dewan Negara yang juga Pengerusi HAWA FG Ekonomi, Datuk Seri Dr Zurainah Musa. Nona Superwoman Talkshow ini mengetengahkan tema rona pastel baby blue dan silver. Acara pada malam berkenaan lebih ceria dengan celoteh dan gelagat menghiburkan daripada Kiffy Razak selaku pengacara majlis.
Semoga lebih banyak usaha berkaitan pembangunan golongan wanita sama ada dalam dunia perniagaan mahupun kerjaya akan terus diperhebat pelbagai pihak supaya kemampuan dan kredibiliti mereka mendapat perhatian di peringkat lebih tinggi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Orangnya bijak, ramah, bertubuh langsing dan menawan. Penampilan Dato’ Wahadaniah Abdul Wahab atau lebih mesra disapa Dato’ Dania memang tidak ubah persis seorang ratu cantik. Jadi, tak hairanlah ibu kepada seorang cahaya mata ini dinobat sebagai Mrs Fabulous Malaysia 2019. Ternyata, beliau layak menerima pengiktirafan berkenaan.
Dato’ Dania seorang wanita yang berdisiplin dan mengamalkan budaya kerja teratur. Barangkali kerana beliau sudah terbiasa dengan tuntutan kerja yang rapi sepanjang menjawat tugas Naib Presiden Limkokwing University of Creative Technology. Bukan calang-calang jawatan tu!
Bukan mudah seorang wanita yang sudah berkeluarga diberi mandat menggalas jawatan penting dalam sesebuah organisasi. Apatah lagi bagi institusi pendidikan tinggi yang membabitkan pembangunan modal insan dalam kalangan generasi muda. Pastinya, Dato’ Dania memiliki kredibiliti yang hebat sehingga beliau meraih kepercayaan menjadi salah seorang individu penting dalam pentadbiran universiti swasta terulung itu.
Mahu lebih berjaya dan memberi inspirasi serta mengangkat martabat wanita di mata dunia, Dato’ Dania nekad mengasah potensi diri dengan menyertai Mrs Fabulous Malaysia 2019, sebuah pertandingan ratu cantik yang mengasah bakat golongan wanita berkahwin termasuk ibu tunggal dalam bidang sosial dan ekonomi. Ujar pemenang Mrs Fabulous Malaysia 2019 ini, “Peranan wanita hari ini bukan sahaja menjadi suri rumah, mereka juga mampu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan.
Penglibatan saya dalam Mrs Fabulous Malaysia 2019 memberi peluang untuk membuktikan dan melakar kehidupan serta cita-cita pada masa depan. Memenangi pertandingan ini juga membantu meningkatkan kemahiran teknikal dan taktikal saya dengan lebih baik. Ia berjaya menjadikan saya lebih berkeyakinan dan berhati waja dalam memastikan segala kemahiran yang saya dapat dimanfaatkan dengan baik.
Kejayaan ini tidak akan diperoleh tanpa sokongan dan komitmen anak tunggal saya, Adi Muhammad Irfan, keluarga, teman istimewa, rakan kerja, mentor dan pasukan Teamworks yang banyak memberi latihan pembangunan diri kepada setiap wanita. Terutamanya melibatkan sektor keusahawanan, bakat dan pengucapan awam. Fokus pertandingan ini juga tidak tertumpu kepada kecantikan semata-mata tapi lebih menekankan keupayaan wanita itu sendiri.”
Selain terlibat dengan usaha kemasyarakatan, Dato’ Dania juga sedang rancak mengusahakan projek pemerkasaan wanita menerusi teknologi era digital dan perkhidmatan E-perdagangan secara dalam talian di Fabulous Tele Virtual (FTV).
Dato’ Dania ketika menyertai Mrs Fabulous Malaysia 2019
Ditanya mengenai pengurusan masa di antara kerjaya dan keluarga, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini mendedahkan, “Sebagai hamba Allah, ibu tunggal, anak dan juga wanita bekerjaya saya memerlukan komitmen pengurusan masa dan disiplin yang amat tinggi.
Tiada perbezaan ketara antara budaya wanita di Malaysia dengan negara lain cuma yang menjadi asas penting adalah kebijaksanaan seseorang wanita itu dalam mengimbangi tugas dan tanggungjawab kepada keluarga.
Setiap minit yang ada dalam hidup ini tidak boleh kita sia-siakan. Wanita hari ini perlu multitasking. Misalnya apabila berada di tempat kerja, segala masa dan tumpuan saya adalah sepenuhnya untuk menyelesaikan urusan pentadbiran dan perancangan strategik syarikat. Begitu juga apabila berada di rumah. Ia dua perkara yang tidak boleh dicampur-adukkan. Bagi saya, keluarga adalah segalanya. Tanpa keluarga, banyak perkara tidak akan berlaku.”
Walaupun sudah meniti usia 44 tahun, penampilan Dato’ Dania sentiasa mencuri tumpuan. Mana tidaknya, bersandarkan tubuh ramping dan tinggi lampai pasti ramai yang menyangka personaliti ini persis anak dara. Hakikatnya, Dato’ Dania merupakan ibu kepada seorang anak lelaki yang sudah meningkat dewasa.
Menyingkap rejim kecantikan yang diamalkan, Dato’ Dania lantas menyusun bicara. “Urich berpendapat bahawa, ‘Luar yang sihat bermula dari dalam.’ Tidak dinafikan, saya kerap melakukan rawatan kecantikan dan kesihatan diri di pusat kecantikan atau spa. Dengan rawatan spa yang konsisten juga menyumbang kepada kesihatan tubuh badan yang sihat dan menguatkan sistem imun badan.
Bagi saya, rawatan di spa juga mencegah diri daripada keletihan dan kegelisahan akibat tekanan hidup seharian. Bila tubuh badan kita sihat, semua pekerjaan yang kita buat jadi lebih mudah.
Selain berkunjung ke spa, saya juga pergi ke gimnasium selepas waktu bekerja bila ada masa terluang. Tujuan saya pergi ke gim adalah untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal agar saya tetap sihat dan tenang. Dalam masa sama, untuk jaga kecergasan tubuh badan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!